Budak 11 tahun dimasukkan ke hospital, disyaki termakan biskut campur ganja
SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dimasukkan ke hospital selepas menunjukkan kesan sampingan yang serius akibat termakan biskut coklat disyaki dicampur dadah jenis ganja.
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata polis menerima laporan pada 10.26 malam semalam daripada pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Lawin, Gerik selepas mangsa mengalami sesak nafas, pening kepala dan loya kerana termakan biskut yang dibuat ayahnya.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa termakan biskut disyaki dicampur dengan ganja yang menyebabkan dia mengalami simptom tersebut.
“Mangsa dibawa ke Hospital Gerik dan dirujuk ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan dan rawatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa yang dibawa ke hospital oleh ayahnya sendiri itu, kini dalam keadaan stabil, manakala saringan ujian air kencing terhadap kanak-kanak itu bagi memastikan sama ada positif ganja belum dilakukan kerana mendahulukan rawatan.
Pada masa sama, Yusri berkata polis menahan ayah mangsa berusia 38 tahun yang bekerja sebagai penoreh getah dan saringan ujian awal air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
Menurutnya suspek direman hingga 3 Jun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama, 30 Mei, 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan