Rabu, 3 Mei 2023

SATU LAGI RESIDEN 12 TAHUN TEMAN NAJIB



Mahkamah tolak tangguh hukuman, Siti Bainun dihantar ke Penjara Kajang

PENGASAS Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali terpaksa meringkuk di Penjara Kajang bermula hari ini untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Hakim Izralizam Sanusi berkata tiada keadaan khas dan luar biasa bagi membolehkan mahkamah membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman.

“Tertuduh disabitkan bersalah di mahkamah ini dan tiada sebab untuk saya menangguhkan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya. Faktor bahawa tertuduh menjaga ibunya adalah perkara peribadi tertuduh. 

“Dalam kes ini, saya berpendapat keadilan dapat disampaikan sebaik-baiknya melalui pelaksanaan hukuman dengan serta-merta dan oleh itu, permohonan tertuduh ditolak dan mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dengan serta-merta,” katanya.

Terdahulu, beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.

Siti Bainun, 31, yang memakai blaus berwarna kuning cair dan berseluar hitam dilihat tenang semasa mahkamah membuat keputusan itu.

Dalam permohonan itu, peguam Mohammad Farhan Maaruf berhujah Siti Bainun tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah dan kesalahan yang dipertuduh ke atasnya di mahkamah ini merupakan yang pertama.

“Dia tidak pernah melanggar sebarang syarat jaminan selain tiada risiko untuk melarikan diri memandangkan pasportnya telah diserahkan kepada mahkamah sejak kes bermula.

“Anak guam saya juga dikenakan ikat jamin yang tinggi iaitu sebanyak RM17,000 dan dia sentiasa menghadiri prosiding berkenaan.

“Sekiranya penggantungan pelaksanaan hukuman ini tidak dibenarkan maka rayuan anak guam saya ke Mahkamah Tinggi akan menjadi sia-sia dan status quo tertuduh tidak dapat dikekalkan sama sekali memandangkan tertuduh perlu menjalani hukuman terlebih dahulu,” katanya sambil menambah Siti Bainun mempunyai masalah kesihatan iaitu asma dan penyakit hempedu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria berkata tiada keadaan khas dan istimewa yang membolehkan mahkamah membenarkan pemohonan itu.

“Tertuduh telah dibebaskan sementara dengan ikat jamin sejak awal pendakwaan dan hanya selepas mahkamah mensabitkan kesalahan, barulah dia dijatuhi hukuman penjara maka kami mohon penangguhan ditolak,” katanya.

Nor Azizah Mohamad, yang membantu Zahida, pula berkata alasan peguam bahawa tertuduh perlu menanggung ibu yang sakit tidak boleh dijadikan faktor khas kerana bukan individu itu yang dituduh di mahkamah sebaliknya Siti Bainun.

“Alasan peguam menyatakan tertuduh aktif dalam kerja amal namun dalam kes ini, terbukti dia berselindung di sebalik kerja amal sehingga dituduh serta disabitkan kesalahan.

“Peguam juga memberi alasan bahawa tertuduh menggunakan isu masalah kesihatan sedangkan kemudahan perubatan di penjara Malaysia tersedia setiap masa,” katanya.

Terdahulu, Izralizam menjatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan mengabai dan 12 tahun bagi kesalahan menganiaya namun Siti Bainun hanya perlu meringkuk dalam penjara selama 12 tahun selepas mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara. 

Dia didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Selepas mahkamah mengumumkan keputusan itu, beberapa ahli keluarga Siti Bainun yang berada di galeri awam dilihat berpelukan dan menangis.

Sementara itu, kedengaran laungan Allahu Akbar oleh penyokong Bella yang hadir pada prosiding hari ini.  – Bernama, 3 Mei 2023.

PENJARA KAJANG

TERIMA SATU

LAGI RESIDEN

UNTUK 12 TAHUN

KHALAS

Tiada ulasan: