Jumaat, 8 September 2023

ADA HARIMAU ERTINYA HUTAN KITA SEHAT


Pelawat, penduduk Hulu Selangor bimbang jumpa harimau

PENGUSAHA kegiatan luar dan penduduk Hulu Selangor bimbang keselamatan terancam ekoran laporan mengenai kelibat seekor harimau di sekitar kawasan tersebut.

Seorang pengusaha rumah inap desa di Kuala Kubu Bharu berkata, penganjur aktiviti luar kini bimbang untuk meneruskan aktiviti apabila Pak Belang itu dikesan berhampiran kawasan mereka.

Ekoran itu, mereka tidak lagi menerima tempahan baharu sejak dua minggu lalu apabila tular laporan mengenai kelibat pemangsa tersebut, kata Wan Naziah Wan Mohd Salleh, 60.

Menurut beliau pelbagai aktiviti diadakan hampir setiap hujung minggu di Hulu Selangor termasuk berbasikal, aktiviti ekstrem seperti luncur udara, mendaki gunung dan mengecam unggas.

“Meskipun lokasi penampakan harimau belang itu jauh dari kawasan pekan namun kami tetap risau. Hulu Selangor ini sering menjadi tumpuan penggemar aktiviti ekstrem.

“Jika aktiviti seperti ini tidak dijalankan semestinya perniagaan rumah inap desa turut terjejas sedikit tetapi apa pun keselamatan penduduk sini dan orang ramai yang perlu menjadi keutamaan semua pihak,” katanya.

Kawasan Hulu Selangor yang berbukit-bukau dan kaya dengan hutan simpan dan air terjun dan jeram serta empangan memukau itu menarik pelbagai penggemar kegiatan luar.

Aktiviti paragliding, berakit juga diadakan di kawasan hutan berdekatan lokasi harimau tersebut dilihat bulan lalu, katanya.

Seorang lagi pemilik inap desa di Hulu Selangor berkata satu acara berbasikal yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan bulan ini mungkin terjejas dengan kehadiran pak belang itu.

Afnan Ahmad, 40, pemilik Afnan Homestay berkata beliau bimbang peserta akan membatalkan tempahan penginapan sekiranya acara King Of Mountain itu dibatalkan.

“Jika harimau kumbang, saya sendiri pernah nampak tetapi harimau belang ini memang jarang sikit.

“Setakat ini tiada pembatalan tempahan di rumah inap desa saya cuma saya bimbang ada satu pertandingan berbasikal yang akan diadakan pada 17 September ini akan terjejas berikutan menggunakan laluan Bukit Fraser.

“Hampir semua rumah inap desa di Kuala Kubu Bharu sudah ditempah penuh pada minggu itu oleh peserta pertandingan itu. Jika pertandingan itu dibatalkan semestinya satu tamparan hebat kepada semua pengusaha rumah inap desa di Hulu Selangor,” katanya.

Seorang lagi pemilik inap desa dan rumah sewa berkata kes kelibat harimau sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk tempatan tetapi mungkin membimbangkan pelawat baharu.

Shakir Din, 60, yang mempunyai dua unit rumah inap desa dan beberapa rumah sewa berkata mereka bagaimanapun tidak pernah berkonflik dengan pemangsa tersebut.

“Bagi kami, nampak harimau minum di kaki bukit ketika pergi berkebun adalah sesuatu yang biasa. Itu memang habitat dia dan jarang mengacau manusia yang lalu di situ.

“Janji kita jangan kacau habitat dia. Harimau memang suka minum air bukit,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta luncur udara yang ditemui di Kuala Kubu Bharu, M Gopikrishnan, 40, berkata sesetengah aktiviti kini dibatalkan ekoran kelibat harimau itu.

“Selepas aktiviti paragliding memang biasa kami akan ke kawasan kaki bukit. Aktiviti itu sahaja dibatalkan buat masa sekarang atas nasihat keluarga,” katanya.

Beliau lega kerana tetap dapat menjalankan aktiviti itu bersama lima lagi rakan sepejabat dari Johor.

“Meskipun ada rasa takut sedikit tetapi apabila saya mula terbang dan menikmati pemandangan yang cukup luar biasa dari atas udara, semua perasaan tersebut akan hilang dibawa angin.

“Ini bukan kali pertama isu harimau belang ini tular,” katanya.

Pemimpin sebuah kampung Orang Asli di Serendah, Tok Batin Sira berkata harimau belang dan harimau kumbang memang sering dilihat sekitar Batang Kali dan Gerachi Jaya.

“Harimau ini jangan kita kacau dia. Hutan ini kawasan dia. Tetapi saya sentiasa ingatkan penduduk sini untuk berhati-hati apabila ke hutan untuk mencari madu atau sayur hutan.

“Jika dia (harimau) turun ke bawah mungkin dia cedera atau lapar. Dalam keadaan itu mungkin berbahaya tetapi sepanjang saya lahir dan tinggal di sini, harimau tidak pernah kacau kami,” kata Sira, 63.

Pihak berkuasa percaya aduan mengenai pemangsa tersebut melibatkan haiwan sama tanpa libatkan harimau lain.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor sedang mengesan punca harimau itu keluar mendekati habitat manusia.

Individu yang mengesan harimau tersebut digesa menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60641222. – 8 September, 2023.
 

KITA AMBIL

TANAH MEREKA

AMIN

KERA MONYET

CIKAH BEROK

JADI TERGANGGU

AMIN

KEBUN KITA

ASALNYA TANAH

MEREKA

AMIN

TANAH RIMAU

PUN KITA AMBIL

PASTI RIMAU

JADI MARAH

TEMPAT CARI BABI

KINI JADI KEBUN

AMIN

MANUSIA BINATANG

SAMA SAMA

PEMILIK BUMI INI

KHALAS

Tiada ulasan: