Ahad, 10 Disember 2023

PEMBUNUH MASIH BEBAS




Penduduk bimbang keselamatan anak selepas Zayn terbunuh

PENDUDUK sekitar Apartmen Idaman, Damansara Damai kini bimbang dengan keselamatan anak mereka ekoran kehilangan dan penemuan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Seorang jiran yang tinggal bersebelahan dengan rumah kanak-kanak malang itu berkata, mereka tidak lagi berani meninggalkan anak sendirian di rumah untuk keluar ke kawasan berhampiran.

Abdul Rashid Tatwi, 39 berkata mereka turut membawa anak ke tempat kerja untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Selepas berlakunya kejadian ini, saya lebih berhati-hati untuk membiarkan anak bermain di kawasan apartmen termasuk di balkoni.

“Tiga anak saya yang masih kecil dibawa sekali ke tempat perniagaan kerana takut berlaku apa-apa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Abdul Rashid berkata keluarga tersebut baru sahaja menetap di kawasan itu tiga tahun lalu dan beliau mengenali Zayn seorang pendiam dan memang tidak bercakap dengan orang.

Menurut pemerhatiannya, ibu kanak-kanak malang tersebut biasanya hanya membenarkan Zayn yang berusia 6 tahun itu bermain di sekitar balkoni apartmen mereka.

“Kadang-kadang dia akan bermain sebentar di hadapan rumah kami selepas balik dari sekolah dengan pemerhatian ibunya.

“Namun apabila ibunya menyuruhnya masuk ke dalam rumah, dia akan menuruti arahan ibunya dan dia kanak-kanak yang tidak banyak ragam,” katanya.

Abdul Rashid berkata beliau sedang berniaga sewaktu menerima berita mengenai kehilangan Allahyarham.

“Pada hari kejadian, ayahnya bertanya dalam kumpulan WhatsApp komuniti jika kami ada melihat anaknya. Ketika itu baru saya tahu Zayn hilang,” katanya.

Sebaik sahaja mengetahui perkara itu pada Selasa, beliau menyertai penduduk Apartmen Idaman untuk membantu mencari kanak-kanak tersebut.

Jasad Zayn kemudiannya ditemui tidak bernyawa di satu kawasan saliran air berhampiran, sehari selepas ibunya membuat hebahan di media sosial dan juga laporan polis mengenai kehilangan tersebut.

“Bapa Zayn pengsan sebaik mengetahui keadaan Zayn, sayalah orang yang menyambutnya ketika dia jatuh.

“Saya memahami kesedihannya kerana saya sendiri seorang bapa yang mempunyai anak berusia setahun hingga 18 tahun,” katanya.

Seorang lagi jiran yang tinggal di tingkat sama di apartmen itu, Shida Rajali, 35 berkata beliau juga tidak lagi membiarkan anak-anaknya berseorangan di rumah.

“Selalunya, saya akan meninggalkan dua anak saya berusia lima dan enam tahun di rumah sementara saya menghantar anak sulung ke sekolah.

“Selepas berlakunya kejadian ini, saya mula membawa mereka bersama walaupun destinasinya hanya 10 minit dari rumah,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak pernah melihat kanak-kanak bermain di bahagian belukar sunyi itu.

“Dari tingkap rumah, saya boleh lihat bahagian belakang tapi tidak pernah ada budak yang bermain di situ,” katanya.

Tinjauan di lokasi kejadian juga mendapati suasana di blok kediaman Zayn juga sunyi kerana ibu bapa melarang anak masing-masing daripada bermain di luar rumah.

Shida kini berharap Badan Pengurusan Bersama (JMB) apartmen itu memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan perumahan ini untuk keselamatan penduduk.

“Saya dan suami juga bercadang untuk memasang CCTV di luar rumah kerana rumah kami terletak di tepi tangga, ramai orang akan gunakan tangga untuk turun naik, agak membimbangkan juga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata polis sudah merakam percakapan lima individu termasuk ibu bapa Zayn Rayyan bagi membantu siasatan kes itu.

Polis juga mengambil keterangan lelaki yang menemui mayat Zayn sewaktu operasi pencarian, katanya yang menambah beberapa jiran dan kakitangan sekolah juga akan membantu siasatan.

“Polis turut menyiasat kemungkinan mangsa mengenali suspek kes itu,” katanya.

Pasukan itu mengesyaki kanak-kanak itu dibunuh di tempat lain dan jasadnya diletakkan di kawasan anak sungai tersebut sebelum ditemui pada jam 10 malam Rabu.

Siasatan forensik mendapati Zayn mungkin sudah meninggal dunia selama 48 jam dan siasatan diklasifikasi semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis percaya suspek tahu kawasan itu, memandangkan tempat di mana Zayn ditemui bukan laluan harian orang ramai. – 10 Disember, 2023.

PEMBUNUH

KANAK KANAK

MASIH BEBAS

AMIN

INI MENAKUTKAN

EMAK AYAH

AMIN

BILA BILA

SI PEMBUNUH

BOLEH MENERKAM

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: