Israel isytihar 2024 tahun perang
TEL AVIV – Israel melalui pasukan pertahanannya (IDF) mengisytiarkan tahun 2024 yang akan menjelang kurang dari sebulan sebagai tahun perang.
Media Israel, The Juruselam Post melaporkan, IDF telah menyatakan ia kini dalam fasa kedua perang dengan Hamas yang menumpukan pada aktiviti serangan di Khan Yunis dan meneruskan kemajuannya menguasai utara Semenanjung Gaza.
Selagi fasa kedua diteruskan, askar simpanan akan dikehendaki berkhidmat dalam jumlah yang besar.
Bagaimanapun, tarikh permulaan fasa ketiga, yang melibatkan kawalan operasi semua kawasan, masih belum ditentukan.
Hanya dalam fasa ketiga, pasukan simpanan akan dibebaskan
Menurutnya, dengan pengisytiharan 2024 sebagai tahun perang, semua batalion simpanan semasa Israel akan dikehendaki berkhidmat selama sebulan.
“Perkhidmatan ini akan melibatkan operasi darat sebagai tambahan kepada serangan udara. IDF percaya bahawa apa yang mereka capai di Semenanjung Gaza akan memberi kesan kepada tindakan Hizbullah dan dinamik Timur Tengah,” katanya.
Negara zionis itu meneruskan serangan ke atas semua kawasan di Gaza iaitu di utara, tengah dan selatan.
Penduduk Palestin diasak dengan bom bertalu-talu dari udara yang mengorbankan lebih 18,000 nyawa dan memusnahkan berpuluh-puluh kediaman.
Hampir 50,000 lagi cedera dan sukar untuk mendapatkan rawatan kerana Israel telah memusnahkan pusat kesihatan.
Akhbar Israel itu melaporkan, walaupun penduduk Palestin tempatan telah berpindah jauh ke selatan, masih terdapat sejumlah besar yang tinggal di pelbagai bahagian di Gaza.
Sebagai tambahan kepada operasi mereka di Gaza, IDF juga telah melakukan tindakan balas dan serangan yang disasarkan di Syria, termasuk tindakan terhadap keupayaan udara Hizbullah.
Katanya, usaha sedang dijalankan untuk membentuk semula sempadan Lubnan untuk menukar kaedah operasi, dasar kebakaran, dan meningkatkan infrastruktur dan tentera di rantau ini.
Media sebelum ini melaporkan, Israel nekad menjadikan Gaza sebahagian daripada wilayah baharu negara itu dan tidak akan keluar selepas serangan tamat.-Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan