Hassan patut cermin diri sendiri – Puad
KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, D Puad Zarkashi membidas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang meminta UMNO supaya mengantikan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.
Puad turut menyifatkan Hassan sebagai ahli PKR yang ‘tidak tahu cermin diri’ susulan kenyataannya berkenaan parti sekutu itu.
“Hassan patut cermin diri sendiri. Sepatutnya dia desak PMX tukar menteri PKR yang tidak perform. Apa kejayaan Rafizi (Ramli) untuk ekonomi rakyat. Setakat daftar PADU?
“Jangan lupa Premier Sarawak juga memberi komen negatif terhadap Menteri Pendidikan dari PKR. Patut Hassan desak PMX buat penilaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Hassan berkata, UMNO perlu membuat rombakan pemimpin baharu untuk mendapatkan undi Melayu bagi Barisan Nasional-Pakatan Harapan dan selagi ia dipimpin Ahmad Zahid masyarakat Melayu sukar menyokong UMNO, BN atau gabungan BN-PH.
Dalam pada itu, Puad menegaskan, PKR tidak perlu masuk campur dalam urusan UMNO kerana pemilihan Ahmad Zahid sebagai presiden telah ditetapkan oleh akar umbi parti.
“UMNO tidak campur urusan PKR bila Rafizi menang jawatan Timbalan PKR yang kononnya tidak telus. Hassan jangan hipokrit soal terpalit, UMNO turut terpalit dengan formula kosong Rafizi. Ringgit tetap jatuh. Harga barang tidak turun. Jangan buta sebelah,” katanya lagi. –
Tiada ulasan:
Catat Ulasan