TEATER
HAJARUL ASWAD
Teater ini perkataan Inggeris yang telah diterima pakai. Dalam Bahasa Melayu teater ialah sandiwara. Berteater adalah bersandiwara.
Sandiwara atau teater ini ada dilakonkan atas pentas. Dan ada juga di udara. Justeru satu ketika dulu Radio Malaya ada rancangan Sandiwara Di Udara.
Berteater bersandiwara sebenarnya adalah berlakon.
Saya sendiri ada sedikit pengalaman dalam hal berlakon atau berteater ini. Semasa darjah empat di Sekolah Rendah dan Menengah Undang Jelebu saya telah berlakon. Ini untuk persembahan Hari Penutup Sekolah.
Ketika di Kolej Melayu juga saya pernah menulis, mengarah dan berlakon dalam teater Wira. Teater ini dipentaskan untuk mengutip derma Persatuan Tingkatan Enam – Sixth Form Union.
Ketika zaman Reformasi nak jatuhkan kerajaan Mahathir dan menyokong Anwar Ibrahim yang ketika itu dalam penjara saya menulis dan mengarah Teater Tok Ampoo. Ketika zaman Abdullah Badawi saya menulis dan mengarah Teater Tok Sloo.
Ketika zaman Najib saya menulis dan mengarahkan Teater Bilik Sulit. Teater ini pernah dibawa dan di pentaskan di beberapa kota di United Kingdom. Justeru saya bukan asing dalam hal teater.
Mazhab teater saya ialah – teater bukan teater. Garis teater Tok Ampoo, Tok Sloo dan Bilik Sulit ialah propaganda. Memberi pencerahan, membuat lawak dalam masa yang sama menghasut penonton untuk membenci kerajaan.
Teater Tok Ampoo menghasut untuk membenci Mahathir Muhamad. Dalam Tok Sloo memperlekeh Abdullah Badawi. Teater Bilik Sulit melawan kezaliman ISA – Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Hakikatnya saya menggunakan teater sebagai agitprop – agitasi dan propaganda - untuk menghasut orang ramai untuk membenci kerajaan yang sedia ada.
Sebagai taktik menjatuhkan kerajaan teater ini amat penting. Teater adalah sebahagian dari alat perang saraf. Dalam gelak ketawa suntikan jarum menghasut dan membenci kerajaan di selitkan. Amin.
Ada apa dengan Teater Hajarul Aswad.
Hajarul Aswad ini perkataan Arab memberi makna Batu Hitam atau Blackrock dalam Bahasa Inggeris. Blackrock yang saya tulis ini bukan Hajarul Aswad yang suci di Mekah. Nama saja sama.
Blackrock yang saya tulis ini ialah nama sebuah syarikat pelaburan saham berpangkalan di New York. Mengikut Senator Bernie Sanders dari Parti Demokrat aset Blackrock berjumlah 22 trilion dolar. Jumlah yang sama dengan GDP Amerika.
Banyak aset ini bukan satu jenayah tapi membuat para pelabur dan pemegang saham senang hati. Justeru kenapa kita di Malaysia heboh dengan Blackrock.
Syarikat Blackrock ini melabur dan memiliki saham dalam syarikat industri senjata di Amerika . Ini juga bukan satu yang baru.
Senjata-senjata dari syarikat seperti Lockheed Martin. Northrop Grumann atu General Dynamic ini digunakan untuk membunuh warga Palestin oleh soldadu Zionis Israel.
Yang menimbulkan heboh di Malaysia dan nama Blackrock disebut-sebut kerana syarikat ini telah membeli saham MAHB sebanyak 30%. MAHB milik rakyat Malaysia.
MAHB - Malaysia Airports Holdings Berhad ialah sebuah syarikat pengurusan lapangan terbang Malaysia yang menguruskan 39 lapangan terbang - kecil besar - di Malaysia. Firma itu baru-baru ini dianugerahkan kewajipan untuk menguruskan lapangan terbang di destinasi antarabangsa.
MAHB satu ketika dulu milik rakyat. Kini diswastakan. Maknanya saham MAHB boleh di miliki oleh sesiapa saja termasuk Larry Fink CEO Blackrock seorang Zionis.
Khazanah Nasional dan KWSP akan mengambil alih kepentingan sehingga 70% dalam konsortium yang diumumkan baru-baru ini untuk mengambil alih Malaysia Airports Holding (MAHB).
Baki 30% akan dipegang oleh Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah syarikat yang telah diambil alih oleh Blackrock awal tahun ini dengan harga 12.5 bilion dolar.
Kemasukan GIP dalam konsortium ini mencetuskan protes, kerana peranan Blackrock dalam mengukuhkan ekonomi Israel dan industri senjatanya.
Blackrock dapat untung dari membunuh rakyat Palestin dan membantu Israel melakukan genosid ke atas Palestin. Kita rakyat Malaysia yang beri duit.
Ketua Pegawai Eksekutif Blackrock Larry Fink seorang Zionis. Sosok ini jadi kepala " ketua sorak dan penyokong kuat pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat Palestin.”
Bagaimana pula urus niaga syarikat bertaraf antarabangsa ini jadi teater.
Mari adik kakak Ambo nak royak. Kesahnya begini:
Rakyat Malaysia menyokong perjuangan adil rakyat Palestin. Dari zaman berzaman Bani Melayu menolak Israel. Bani Melayu menolak Zionis.
Tup tup syarikat negara kini menjadi milik Zionis. Bukan syarikat jual susu lembu - ini syarikat jual senjata untuk bunuh rakyat Palestin. Maka Bani Melayu marah.
Jadi marah belum jadi teater.
Apa yang menjadi teater. Apa yang menjadi sandiwara dan apa yang menjadi wayang bukan kemarahan Bani Melayu. Yang menjadi teater ini ialah tindak tanduk dan kelakuan Anwar Ibrahim.
Cakap , perbuatan dan kelakuan Anwar Ibrahim ini sebagai protagonis utama menjadikan Teater Hajarul Aswad ini melintasi sempadan Malaysia.
Sebagai Perdana Menteri Si Anwar ini ke hulu ke hilir menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin. Di German – di hadapan pemimpin German – Anwar mengesa pemimpin Eropah datang bersama menyokong Palestin.
Bunyi suara dan dialog Anwar amat sedap. Tetapi semua ini hanyalah teater dan lakonan. Olaf Scholz. – Canselor German – dijadikan prop dalam teater Blackrock Anwar Ibrahim ni.
Prop ialah sosok – Pak Pacak pelakon tambahan - atau bahan atau peralatan yang digunakan dalam teater atau pembikinan filem. Prop ini berperanan untuk memperkuat lakonan yang sedang dilakonkan.
Untuk penonton di Malaysia dan di luar negara lakonan Si Anwar dianggap hebat. Satu tepukan - kerana berani bersuara di hadapan pemimpin negara Eropah yang terbesar.
Olaf Scholz sebagai Pak Pacak adalah lakonan Anwar untuk penonton antarabangsa.
Untuk Mak Cik dan Pak Cik Felda Si Anwar ini telah turun naik ke Saudi Arabia. Untuk Bani Melayu, bila mendengar perkataan Arab, Saudi dan Mekah semua jadi lembut. Sumpah seranah akan terhenti.
Dengan bijak lagi licik pelakon Teater Hajarul Aswad ini telah berdialog dengan MBS – Muhamad Bin Salman – bakal Raja Saudi. Berbuih mulut Anwar menyebut nama MBS untuk membuktikan betapa kamcing dirinya dengan anak raja Saudi ini.
Peranan MBS membunuh beratus ribu warga Arab Yaman dibenamkan. Niat MBS hendak mengadakan ‘ normalisasi’ dengan Zionis Israel langsung tidak disebut.
Jangan lupa dalam teater ini Erdorgan juga menjadi prop. Anwar menjual nama Erdorgan bagai nak rak walhal kasut yang di pakai oleh soldadu Israel semuanya Made in Turki.
Turki negara Islam pertama mengiktiraf Israel dalam tahun 1948. Turki juga rakan senjata Israel kerana Turki dalam NATO. Perniagaan Israel dan Turki rancak walau pun Erdorgan klim partinya dari jalur Ikhwan Muslimin. Amin
Teater Hajarul Aswad ini disusun rapi. Ada babak di pentaskan di luar negara. Ada babak di pentas di Malaysia. Paling afdal - dalam negara - babak Anwar bersama Abdulkarim Al Issa ulama Arab Saudi.
Ulama ini membawa garis normalisasi – ertinya berbaik dengan Zionis Israel. Justeru media Israel dan pemimpin Israel sama seperti Anwar Ibrahim merayakan Abdulkarim Al-Issa ini. Universiti Malaya memberi Ulama Saudi ini ijazah kehormat. Amin.
Pementasan teater pasti ada tujuan.
Saya membuat teater Tok Ampoo untuk menghasut rakyat benci pada Mahathir dan kerajaan. Ini jelas. Teater saya dilakonkan di atas pentas.
Teater lakonan Anwar Ibrahim ditaja oleh daulah. Ini bezanya dari Teater Tok Ampoo atau Bilik Sulit. Anwar berlakon daulah terlibat. Ini menjadikan luas tayangannya.
Teater Hajarul Aswad berjalan dengan licin lagi hebat sehinggakan tidak disedari bahawa ianya teater sehingga Hishamuddin Rias bersuara dan menulis tentangnya.
Apa niat mementaskan teater?
Mahathir mementaskan Teater Al-Maunah ketika ribuan rakyat berdemo di jalan raya menuntut Mahathir berundur. Teater Al-Maunah berlatar belakang Bukit Jenalik dan rampasan senjata dari kem tentera.
Dikatakan Al-Maunah satu gerakan melawan Agong bukan melawan Mahafiraun – gelaran Mahathir ketika itu. Dengan bijak naratif teater ini dialih.
Tujuan Teater Al-Maunah ialah untuk menakut-nakutkan orang ramai agar jangan turun ke jalan raya buat huru hara. Jika berdegil akan ditangkap masuk ISA seperti Al-Maunah.
Teater Al-Maunah adalah persediaan untuk menangkap aktivis Reformasi. Beberapa bulan satelah teater Al-Maunah di pentaskan 10 aktivis Reformasi termasuk saya ditahan di bawah ISA.
Teater Al-Maunah berjaya. Hishamuddin Rais pun berjaya kerana dalam Kem Kamunting saya sempat berjumpa para pelakon Al-Maunah.
Justeru Hishamuddin Rais adalah perawi sahih. Dari perbualan saya dengan pelakon yang di tahan di Kem Kamunting saya amat yakin Al- Maunah adalah teater.
Jika Al-Maunah teater untuk selamatkan Mahathir apa pula tujuan Teater Hajarul Aswad.
Teater Hajarul Aswad bertujuan untuk menampakkan Anwar Ibrahim sebagai penyokong perjuangan Palestin yang tegar. Anwar sebagai pejuang dan pemimpin Islam. Teater Hajarul Aswad dipentaskan untuk memperlihatkan Anwar sebagai pemimpin global dunia Islam.
Hakikatnya di sebalik teater ini protagonis bernama Anwar Ibrahim telah ada perancangan dan persefahaman yang licik bersama Uncle Sam – bukan Sam Ketot tapi Uncle Sam imperialis Amerika.
Ketika heboh dengan Gaza dan Palestin rupa-rupanya Pengerusi Khazanah, bersama Menteri Kewangan dan Perdana Menteri telah merancang untuk menjual aset strategik negara – MAHB – kepada syarikat Zionis Blackrock.
Ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Qatar bersalam dan berpeluk dengan Ismail Haniyeh – pemimpin Hamas - Pengerusi Khazanah dan Menteri Kewangan pasti sudah tahu tentang perjanjian niaga dengan Blackrock.
Mustahil Pengerusi Khazanah dan Menteri Kewangan tidak tahu. Mustahil kerana tiga-tiga malaun ini ... opps...maaf .. tiga-tiga ini sosok yang sama.
Hanya kata bual ‘... wahai Ismail Haniyeh ana tipu anta ..’ tidak keluar dari mulut Anwar Ibrahim ketika memeluk Ismail Haniyeh.
Ismail Haniyeh jadi prop – jadi Pak Pacak jadi pelakon pembantu untuk membantu memperlihatkan Anwar sebagai pemimpin Melayu Islam yang berani menyokong Palestin.
Babak bersama Ismail Haniyeh di Qatar khusus untuk tatapan Bani Melayu. Dituju khusus untuk Mak Cik di Felda Chomomoi dan Pak Lebai di Ulu Senaling.
Tidak sampai seminggu sesudah berpeluk dengan Ismail Haniyeh berita meledak pada 15 Mei 2024. Berita Blackrock membeli saham MAHB.
Teater Hajarul Aswad ini sedang meluas.
Rupa-rupanya Blackrock ini bukan saja akan memiliki saham MAHB. Dari apa yang tersebar banyak lagi syarikat Malaysia yang ada pertalian saham dengan Blackrock.
Justeru Teater Hajarul Aswad ini akan berterusan. Gaza dan Palestin telah mengkantoikan Anwar Ibrahim. Lakonan cemerlang di Qatar kini menjadi tanda tanya Bani Melayu Islam. Kain sarung Anwar Ibrahim telah terkoyak. Kurap sedang dilihat di kepala lutut Amin. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA NOW. COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2024/05/27/now-showing-teater-hajarul-aswad-dibintangi-anwar-ibrahim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan