Rabu, 26 Jun 2024

DIESEL DAN TELOR


DIESEL DAN TELOR


Ketika saya menggarap tulisan ini harga bahan bakar minyak diesel ialah 3.35RM seliter. Harga lama 2.15RM. Harga seliter naik  60%. Ini satu langkah Kerajaan Madani yang memeranjatkan. Justeru membebankan rakyat.

Kenaikan ini adalah hasil dari penghapusan subsidi. Menghapuskan subsidi ini adalah cadangan tetap dan projek kekal  Bank Dunia dan IMF – Internasional Monetary Fund. Dua lembaga ini yang bertanggung jawab mengawal sistem kapitalis dunia.

Ini bukan gormal labun Hishamuddin Rais. Ini kata-kata hikmat dari Anwar Ibrahim.

Umum wajib sedar dua lembaga ini tidak dipilih oleh rakyat.

 Kalau tidak kita pilih atau jemput  bagaimana  lembaga ini memiliki kuasa ke atas Malaysia. 

Mudah saja. Malaysia mengamal sistem kapitalis. Untuk masuk bersama meniaga jual beli dalam sistem ekonomi global ini wajib ikut cakap Bank Dunia dan IMF.  

Di bawah dua lembaga ini ada lagi badan-badan yang menjadi polis – WTO – World Trade Organisation sebagai contoh. Jika enggan ikut nasihat IMF atau Bank Dunia negara akan disekat ekonomi untuk di mufliskan.

Jika ada negara berani menentang akan di jalankan sekatan ekonomi. Jika tak percaya apa yang saya tulis ini sila rujuk dengan Cuba, Iran, Korea Utara dan Rusia.

Empat negara yang di cap budak jahat terus  jadi sasaran IMF dan Bank Dunia hingga hari ini.  

Lihat apa yang terjadi pada Greece. Tahun 2009 negara ini cuba  membebaskan diri dari sistem kapitalis. Kerajaan disabotaj dan akhirnya runtuh. Kerajaan baru Greece terus tunduk dengan syarat Bank Dunia dan dengar nasihat IMF.

Jika kurang yakin sila rujuk dan baca kitab Confessions of an Economic Hit Man. Ini buku tulisan  ‘ orang dalam ‘ bernama John Perkins. Sosok ini pernah bertugas sebaagi polis yang  memastikan pemimpin negara Dunia Ketiga mengikut nasihat dan tunduk kepada cabal bank dan lembaga-lembaga sistem kapitalis dunia.  

Jika enggan – akan berlaku rusuhan dan rampasan kuasa. Pemimpin akan dijatuhkan.  Jangan  lupa apa terjadi kepada Suharto yang menaikkan harga minyak pada  tahun 1998.

Anwar Ibrahim tahu perkara ini. Malah Paul Wolfowitz  Presiden Bank Dunia ke 10 - sosok yang merancang Perang Iraq adalah kawan baik Anwar sendiri.

Anwar sendiri juga pernah  menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa dari Mac hingga September 1998.

Dalam debat dengan Shabery Cheek Julai 2008 Anwar Ibrahim  - ketika Anwar menjadi pembangkang – dia mengakui melupuskan subsidi minyak adalah projek dan nasihat dari Bank Dunia dan IMF. 

Pelanduk lupakan jerat – YouTube terus menjerat. Terima kasih Ronald Reagan. Amin

Dalam tulisan ini saya nak papar wayang sandiwara teater dan  komidi yang bersangkutan dengan lupusnya subsidi diesel.

Untuk melupuskan subsidi ini ada caranya. Pertama pilih perkataan yang molek-molek. Jika boleh perkataan yang Mak Cik dan Pak Cik Felda kurang faham. Perkataan  bahasa  asing amat afdal  untuk dilihat hebat.

Jangan guna perkataan yang difahami ramai. Jangan guna  perkataan hapus. Jangan guna perkataan mansuh. Jangan guna perkataan di hentikan atau ditamatkan.

Hapuskan subsidi atau subsidi ditamatkan  senang difahami. Dalam politik kata-kata yang difahami seperti ini membawa mudarat.

Justeru – gunakan rasionalisasi. Perkataan Inggeris ini lebih tepat. Kah kah kah. Perkataan rasionalisasi ini Mak Cik dan Pak Cik Felda kurang faham maknanya. Jika mereka tidak faham bermakna baik. Amin

Taktik ubah perkataan ini bermula di zaman Perang Vietnam. Warga Vietnam yang mati kena bom oleh Amerika  di lapor oleh media sebagai  collateral damage – kerosakan sampingan – bukan mati kena bom.

Orang kampung mati kena bom bunyinya tidak molek. Justeru subsidi ditamatkan bunyi tidak molek. Wajib  diganti dengan  rasionalisasi.  Ini lebih cun untuk politik. Orang ramai tidak  merasa gentar dengan perkataan rasionalisasi.

Atau guna perkataan Melayu yang amat jarang dipakai – penyasaran. Apa yang pe? Apa yang sa dan apa yang ran Mak Cik Felda tak faham. Kah kah kah. 

Sebelum di umum subsidi akan di rasionalisasi  kerajaan Madanon telah mengolah persetujuan.  Mengolah persetujuan ini penting.

Caranya amat mudah – setiap hari di mainkan berita – seludup diesel – berlaku di laut dan di darat. Tunjuk dalam TV. Ada gambar dalam akhbar. Ada gambar soldadu degan M16 terhunus. Ini gambar  dan klip berita yang menakutkan pembaca dan penonton. Fakta salah benar tidak penting. 

Yang penting ada tangkapan. Ada penyeludup. Ada Pak Cik Nelayan  jual diesel di tengah laut.

Bertenang sebentar. Ingat kembali operasi
tangkap pendatang haram. Operasi Mini Dacca. Di Kuala Lumpur, di Ipoh, di JB, di Kota Baru ada berita Bangla ditangkap beramai-ramai. Ikat berikat tangan di gari. Imej menakutkan.

 Tidak cukup sekali dilakukan operasi tangkap Bangla. Berkali kali operasi dijalankan. Saya sendiri hairan – walhal kita perlukan tenaga kerja pendatang ini. Saya tertanya-tanya apa makna tangkap pendatang asing ini.

Rupa-rupanya ada udang di sebalik Bangla.

Operasi Tangkap  Bangla ini hendak  dijadikan alasan hapus subsidi diesel. Mereka pendatang tidak harus mendapat subsidi. Mereka bukan warga negara. Mereka Mat Gelap dari benua India. Kah kah kah. 

Subsidi minyak Madanon hanya untuk warga negara.

Justeru Bangla – pekerja asing – digunakan sebagai alasan – sama seperti nelayan seludup minyak sebagai sebab mengapa  subsidi wajib dihapus.

Anwar dalam retoriknya terkeluar sikap anti pendatang asing. Cakap terlepas  cakap – hingga  jumlah Bangla di Malaysia menjadi 38 juta orang. Ini dari retorik mulut Anwar sendiri bukan penglipur lara dari Hishamuddin Rais.

 Ini cara  nak menakutkan orang Melayu agar menerima rasionalisasi diesel. Pekerja asing kini lebih ramai dari jumlah penduduk Malaysia.  Bangla makan subsidi. Bangla minum subsidi.

Anwar datang untuk selamatkan kita semua. Kah kah kah.

Pelik tetapi benar – wilayah seludup yang banyak di Sabah dan Sarawak. Jangan ketawa - subsidi diesel di Sabah dan Sarawak tidak di hapuskan. Lubuk seludup masih selamat.

Ini betul dasar rasionalisasi diesel pelik  yang di luar tabii.

Kaji punya kaji – pendatang asing – Mat Bangla, Mat Burma, Mat Vietnam dan Mat Indon bukan pengguna tegar diesel. Mereka bergerak naik bas. Mereka bergerak naik motosikal.

Hujah pendatang asing makan dan minum subsidi kantoi. Pendatang asing digunakan  untuk dibenci agar Mak Cik dan Pak Cik Felda menerima penghapusan subsidi oleh Anwar Ibrahim.

Jangan lupa dengan PADU. Sistem yang dikatakan terbaik tercanggih untuk rujukan maklumat. Sapa berhak dapat bantuan kerajaan Madani ada dalam PADU.

Tup tup PADU belum sempat  kumpul semua data 30 juta warga Malaysia muncul pula BUDI. Sistem baru ini dijadikan tempat rujukan data untuk mendapat 200 ringgit sebulan untuk membeli diesel.

Harga diesel naik hari Rabu pada hari Khamis Anwar Ibrahim telah mendapat sumpah seranah dari pengguna diesel.

Dari YouTube saya melihat seorang Pak Tani dengan Trektar sedang membajak tanah sawah. Pak Tani  ini i mempukimak kan Anwar Ibrahim.

Di hari yang sama saya menuntun  klip YouTube dimana seorang Abang India marah mempudekkan Anwar Ibrahim. Dan seorang  Abang China jurujual  telah melanchaukan  Anwar Ibrahim.

Algoritma YouTube hari itu terus memaparkan klip kutuk dan sumpah seranah orang ramai kepada Anwar Ibrahim. 

Rakyat marah harga diesel dinaikkan. Orang ramai  - anak semua bangsa – marah harga bahan harian akan ikut naik sama.

Bagaimana dengan bantun 200 ringgit?

Pak Tani dengan lorat  Utara menjawab -  200 ringgit ini tidak akan memenuhi tangki minyak. Trektar boleh membajak dua tiga hari. Walhal membajak sawah ini berulang ulang sebelum padi ditanam.

Abang China juru jual mengatakan perniagaan kereta tangan ke dua yang menggunakan diesel banyak gulung tikar.

Sumpah seranah yang tak habis -habis ditujukan kepada BUDI. Ramai pengguna diesel belum mengisi borang BUDI untuk mendapat 200 ringgit sebulan.

Perkara BUDI dan PADU ini memeningkan. Orang ramai tak faham.  

Ada kesah di belakang BUDI dan PADU. Sebenarnya apa yang terjadi ialah perselisihan antara Rafizi dan Anwar. PADU dibina oleh Rafizi. Anwar sailang  pengaruh dan data Rafizi melalui BUDI. 

Ini manifestasi pergeseran politik  antara Rafizi dan Anwar. Pergeseran ini sedang  merebak. Yang jadi mangsa orang ramai. Amin

Untuk menyedapkan cerita minyak diesel muncul satu lagi cerita.

Diesel naik harga sebelum Raya Haji. Ertinya semasa makan lemang dan redang di kampung kesah diesel akan menjadi bahan cerita. Sambil makan nasi impit sambil menyumpah kerajaan Anwar. 

Cerita makan ubi kayu dan kas kas dah reda. Bukan lagi judul perbualan nasional. Kali ini lepas sembahyang raya sumpah seranah untuk Anwar bermula.

Klip janji-janji Anwar jika dia jadi PM bersepah-sepah dalam YouTube. Janji harga minyak akan turun dilihat oleh beratus ribu penonton. Beratus like dan share.

Inilah hebatnya YouTube – pelanduk lupakan jerat YouTube terus menjerat. Kah kah kah.

 Heboh harga diesel  lebih heboh dari Jum Heboh. Pesta Raya Haji tahun ini ialah pesta  memaki hamun Anwar Ibrahim. 

Pada petang raya – Hari Mantai -  dalam istilah Negeri Sembilan – Menteri Komunikasi Fahmi Fadil membuat pengumuman.

Esok Perdana Menteri akan buat pengumuman tentang hal kos hidup. Ini isi pengumuman Fahmi Fadil
Semua mata terbeliak. Ini pasti penting. Ada pengumuman untuk pengumuman. Apakah  harga diesel baru akan di batal? Apakah 200 ringgit dari BUDI akan menjadi 500 ratus ringgit.

Kah kah kah. Di pagi Raya Haji Anwar umum harga telor turun 3 sen. Kah kah kah.  Betul potong stim. Sumpah seranah mula sampai ke muka Anwar.

Tiga sen.  Harga telor Anwar jatuh tiga sen.  Kerajaan Madani terus jadi bahan lawak. Internet, YouTube, Tik Tok – heboh heboh tentang telor Anwar Ibrahim.

Niat dan rancangan Anwar untuk alih perbualan diesel di pagi raya gagal. Projek pengumuman di umum kantoi. Harga telor Anwar  jadi bahan lawak. 

Jelas Internet, YouTube dan Tik Tok kini menjadi medan mengutuk Anwar dan  Kerajaan Madani. Justeru Anwar Ibrahim dan  Fahmi Fadil akan ambil langkah untuk menibai  Internet. Itu cerita lain. Sila tunggu. Amin. (TT)

TULISAN INI
 DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA NOW
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2024/06/26/diesel-telur-dan-dasar-subsidi-luar-tabii


Tiada ulasan: