Sanggup berhabis duit demi cari kucing yang hilang
MUNICH: Pasangan suami isteri sanggup berhabisan duit kira-kira 20,000 euro (RM96,121) demi mencari kucing kesayangan mereka yang hilang dan masih belum ditemui sejak setahun lalu.
Menurut The Times, Rafal dan Monika Klajnszmit dalam perjalanan dari rumah mereka di Eschwege, Jerman ke Bavaria pada Julai tahun lalu apabila kucing mereka, Nero, hilang di pertengahan jalan di bandar Erlangen.
Rafal, 53, berkata dia mengeluarkan sangkar kucingnya itu daripada kereta dan mahu membawa masuk ke hotel, namun sangkar berkenaan tidak ditutup dengan sempurna menyebabkan haiwan peliharaannya itu terlepas keluar.
Kos petrol dan penginapan hotel menjadi antara perbelanjaan tetap mereka kerana mereka melakukan perjalanan ulang-alik sejauh 482 kilometer (km) dari rumah mereka ke Erlangen setiap hujung minggu.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu mengedarkan 10,000 risalah kehilangan kucing mereka setakat ini.
Mereka itu bertanyakan kepada penduduk tempatan, mengetuk pintu rumah serta mengisi semula bekas makanan yang diletakkan dengan teliti menggunakan makanan kegemaran Nero iaitu tuna.
Monika berkata, dia dan suaminya tidak kisah dengan kos perbelanjaan demi mencari kucing kesayangannya itu.
"Apa yang paling penting bagi kami ialah membawa Nero pulang dan kembali kepada kehidupan harian yang biasa dan tenang.
"Saya tahu berapa kos setiap hujung minggu di Erlangen, bila dikira semuanya, jumlah itu memang jelas," katanya.
Dalam pada itu, Rafal berkata, halangan besar dalam pencarian itu mungkin adalah sikap Nero yang sangat pemalu. – AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan