Operasi khas banteras dadah: JSJN Selangor lancar 450 serbuan, 580 individu ditahan
SHAH ALAM: Polis menyerbu 'lokasi panas' kegiatan dadah serta menahan seramai 580 individu, termasuk remaja berusia 14 tahun, dalam operasi khas selama tiga hari di Selangor bermula 22 September hingga kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata antara lokasi terbabit ialah kawasan ladang, jeti dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Dalam operasi itu, beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor melancarkan 450 serbuan, dengan tangkapan berusia antara 14 hingga 70 tahun termasuk 28 wanita.
"Selain itu, sebanyak 646.3 gram (g) dan 2,315.3 liter dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM35,081 berjaya dirampas.
"Ia membabitkan heroin seberat 193.58g, ganja (232.48g), ketamin (1g), pil yaba (1.35g), pil erimin 5 (4.98g), serbuk ekstasi (65g) dan air ketum (2,315.3 liter)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Shazeli berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut merampas tiga kenderaan dipercayai digunakan bagi kegiatan pengedaran dadah.
Beliau berkata, seramai 32 individu yang berada dalam senarai dikehendaki, turut berjaya ditahan melalui operasi khas itu.
"Objektif utama operasi itu dijalankan ialah mengesan serta menangkap pengedar dan penagih dadah, di samping menurunkan kadar indeks jenayah di Selangor.
"Ia juga mempertingkatkan kadar pertuduhan bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 ke atas penagih-penagih dadah berulang," katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan