Trump arah bayar tentera walaupun kerajaan AS masih tutup
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan agar tentera dibayar walaupun kerajaan AS masih ditutup.
Trump berkata, beliau telah mengarahkan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth, menggunakan semua dana yang ada untuk membayar tentera pada 15 Oktober, sambil menyalahkan Demokrat atas kebuntuan meluluskan bajet yang kini memasuki minggu kedua.
"Saya tidak akan membenarkan Demokrat menahan tentera kita dan keselamatan negara sebagai tebusan melalui penutupan kerajaan ini," tulis Trump di platform Truth Social.
Penutupan kerajaan itu menyebabkan ratusan ribu kakitangan kerajaan diarahkan cuti tanpa gaji atau terpaksa bekerja tanpa bayaran.
Selain itu, kira-kira 1.3 juta anggota tentera aktif dijangka tidak menerima gaji pada Rabu depan, sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah penutupan kerajaan moden AS.
Trump mengeluarkan arahan itu selepas Rumah Putih mengumumkan bahawa mereka telah memulakan pemecatan besar-besaran pekerja kerajaan bagi memberi tekanan kepada Demokrat.
Ketua bajet Trump, Russ Vought, berkata pentadbiran akan memecat sebahagian daripada 750,000 kakitangan kerajaan yang diarahkan cuti tanpa gaji.
Dokumen mahkamah menunjukkan sekitar 4,000 pekerja di beberapa agensi kerajaan akan diberhentikan.
Pemimpin Demokrat Senat, Chuck Schumer, berkata Parti Republikan lebih rela melihat ribuan rakyat kehilangan kerja daripada duduk berunding dengan Demokrat untuk membuka semula kerajaan.
Kesatuan yang mewakili 800,000 pekerja kerajaan memohon kepada hakim persekutuan di San Francisco untuk mengeluarkan perintah kecemasan menghentikan pemecatan, menjelang perbicaraan pada 16 Oktober bagi menilai kesahihannya.
Dengan kemungkinan penutupan dijangka berpanjangan, ahli Kongres menantikan Trump campur tangan untuk menyelesaikan kebuntuan.
Namun, Trump lebih memberi fokus terhadap perjanjian gencatan senjata Gaza dan menghantar tentera persekutuan untuk menyokong operasi pengusiran besar-besaran di bandar yang diketuai Demokrat seperti Chicago dan Portland.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan