Khamis, 18 Mei 2023

WARGA MISKIN KOTA BERTAMBAH MISKIN



Kos sara hidup tinggi, golongan miskin bandar bergantung bantuan makanan

GOLONGAN miskin bandar di Lembah Klang terutama golongan B40 yang merasai kesan daripada peningkatan kos sara hidup, banyak bergantung pada sumbangan makanan daripada sukarelawan.

The Lost Food Project (TLFP), salah sebuah kumpulan sukarelawan yang terlibat dalam pengagihan semula lebihan makanan dan barang keperluan selain makanan kepada lebih 80 kumpulan masyarakat sivil dan ribuan keluarga B40.

Salah satu kawasan yang mendapat manfaat daripada TLFP ialah Kampung Petaling Bahagia di Jalan Puchong.

Kawasan ini merupakan salah satu daripada 13 kawasan perumahan dan kos rendah yang mendapat bantuan makanan daripada TLFP.

Penduduk Kampung Petaling Bahagia dan penyelaras bantuan makanan Hisno Herman, 45 berkata terdapat kira-kira 500 isi rumah di situ.

“Semua penduduk di sini menyewa lot di mana mereka membina rumah kayu dan batu.

“Kebanyakan penduduk di sini adalah golongan B40 dan memang memerlukan bantuan makanan. Ada yang bekerja di kilang, buruh binaan dan ada yang bekerja sambilan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hisno berkata tahun ini TLFP sudah menghantar makanan di kawasan itu tiga kali dan mereka menjangka ia akan diteruskan setiap bulan.

“Makanan itu kami agihkan melalui persatuan penduduk. Kami biasanya mendapat kira-kira 80 hingga 100 keluarga yang datang untuk mendapatkan bantuan.

‘Penduduk di sini masih memerlukan bantuan makanan. Selalunya kita mendapat barangan daripada sukarelawan lain juga.

“Kami bersyukur mendapat bantuan. Jika ada makanan pasti rakyat akan datang ambil,” katanya sambil menambah ada juga yang meminta bantuan untuk membaiki rumah mereka.

Menurutnya, kenaikan harga barang menambah lagi tekanan kepada golongan B40 di kawasan itu.

“Kita cuba bantu mereka tetapi kos sara hidup yang tinggi turut memberi kesan kepada kita. Kalau dulu beri RM50 mereka boleh beli banyak barang tapi sekarang terhad sebab harga barang dah naik. Program seperti ini akan bantu kurangkan belanja mereka

“Ada yang mendapat bantuan kebajikan tetapi tak cukup. Penduduk di sini juga mendapat bantuan daripada Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok,” katanya.

Dalam temu bual sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif TLFP Ariffin Buranudeen berkata bilangan orang yang memerlukan bantuan makanan meningkat sebanyak 30% dalam tempoh 12 bulan lalu.

Menurutnya, tahun lalu TLFP menjimatkan 16,000 tan makanan dan 12,000 tan pada 2021 di mana kini dapat membantu 20,000 penerima sebulan.

Rosak akibat banjir

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Petaling Bahagia Mohamed Zaidi Md Ali berkata penduduk di situ terkesan dengan harga barang dan makanan yang mahal.

“Jadi bantuan makanan ini memberi sedikit kelegaan kepada kami. Penduduk di sini juga perlukan bantuan kewangan dan infrastruktur untuk membaiki rumah mereka yang terjejas akibat banjir pada Disember 2020.

“Ada lagi kerja yang perlu dilakukan. Kami diberitahu bahawa kami sepatutnya mendapat bantuan RM2,500 daripada Kementerian Wilayah Persekutuan pada 2021 tetapi itu tidak ada lagi.

“Jadi kami semak dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tetapi mereka kata kes kami sudah ditutup. Jadi, kami tidak pasti bagaimana untuk mendapatkan bantuan itu,” katanya.

Seorang lagi penduduk Fatimah Hambali, 35 yang menetap di kawasan itu sejak 15 tahun lalu memuji pelaksanaan program tersebut.

“Program ini bagus. Ini kali ketiga mereka datang menghulurkan bantuan. Jadi, bantuan makanan ini atau apa sahaja yang mereka boleh berikan kepada kami adalah membantu,” katanya.

Naib Presiden (komersial) Abel Dairies Ahmad Farid Kamarudin berkata mereka sudah memulakan program untuk mewujudkan kesedaran tentang pemakanan.

“Kami di sini untuk agih 1,500 karton susu coklat satu liter sebagai sebahagian daripada program kami.

“Kami juga mahu mewujudkan lebih banyak kesedaran tentang cara menjimatkan makanan. Pembaziran hari ini meningkat pada kadar yang membimbangkan jadi kami mahu menyertai program ini untuk membantu rakyat,” katanya ketika ditemui.

Beliau juga berkata pihaknya mensasarkan untuk mengurangkan pembaziran dalam operasi mereka.

“Susu ini luput dalam tempoh dua bulan tetapi jika disimpan dengan betul ia boleh bertahan enam bulan.

“Ini adalah program berterusan untuk kami dan kami akan memberikan susu itu lagi minggu depan di kawasan lain,” katanya. – 18 Mei, 2023.

INI KERJA AMAL

YANG AMAT BAIK

AMIN

TAPI SAMPAI BILA

KERJA SEPERTI

INI DILAKUKAN

AMIN

YANG MISKIN

BERTAMBAH

AMIN

HARGA BARANG

MAKIN NAIK

AMIN

PERLU DI CARI

PUNCA PENYEBAB

AMIN

WAJIB DISEDARI

INI HASIL DARI

SISTEM EKONOMI

KAPITALIS

AMIN

YG MISKIN PERLU

TERUS MISKIN UNTK

JADI BURUH

AMIN

YANG KAYA TERUS

KAYA UNTUK TERUS

BERKUASA

AMIN 

TENGAH TENGAH 

ORANG BAIK 

BUAT KERJA AMAL

 AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: