AS mahu Malaysia anggap Hamas pengganas, kata Anwar
MALAYSIA tetap enggan menggelarkan pejuang Hamas sebagai pengganas walau selepas menerima peringatan Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat, peringatan AS dalam bentuk demarche itu dikemukakan tiga kali kepada Malaysia ketika serangan Israel ke atas Palestin semakin memuncak.
“Sebab itu kita anggap ini sebagai satu peringatan. Tapi jawapan kita tegas, terutama dalam hubungan dengan Hamas,” kata Anwar ketika menjawab satu soalan.
Katanya demarche itu dikemukakan ekoran sokongan Malaysia ke atas Palestin dan keengganan negara ini untuk menggelarkan Hamas sebagai kumpulan pengganas.
Kerajaan AS mentakrifkan demarche sebagai satu permintaan kepada pegawai negara asing untuk menyokong sesuatu dasar atau memprotes dasar atau tindakan sesebuah negara
Ahli Parlimen Tambun itu juga berkata Malaysia meneliti reaksi negara serantau sama ada akan memboikot sidang ekonomi anjuran AS memandangkan negara itu menyokong keganasan Israel.
Tentang (Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik) Apec, kita sedang teliti. Apec ini badan ekonomi Asia Pasifik.
“Jadi sekarang kita hubungi negara Asean dan negara China, tentang kedudukan mereka dan kita akan ambil keputusan selaras dengan pendirian rakan-rakan dan juga Asia,” katanya.
Dalam jawapannya kepada Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal MP (PN-Machang) itu, Anwar juga berkata kemakmuran Malaysia turut bergantung kepada keamanan dunia.
Oleh itu Malaysia akan terus menegaskan hak dan pendirian dalam isu keadilan dan kebebasan, katanya lagi.
Lebih 8,000 orang dibunuh dalam serangan balas Israel di Gaza sejak serangan hendap dilancarkan Hamas pada 7 Oktober. – 31 Oktober, 2023.
1 ulasan:
pembebasan palestin? jgn lupa PLO bro..PLO juga membebaskan palestin.yasser arafat dikatakan beristeri yahudi..mana tentera2 mahdi dari timur?
Catat Ulasan