Tanam sayur sendiri, 2024 tahun mencabar – CAP
GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyarankan rakyat negara ini menanam sayur-sayuran sendiri menjelang 2024.
Penyelaras Pertanian Asli CAP, NV. Subbarow berkata, ia susulan pihaknya percaya tahun 2024 akan menjadi lebih mencabar kepada pengguna terutamanya membabitkan harga makanan.
Jelas beliau, bagi mengurangkan beban kenaikan harga sayur-sayuran CAP menggesa pengguna menanam sayur-sayuran dan tumbuhan herba sekali gus menjadikan ia sebagai azam tahun baharu.
“Sejak kebelakangan ini, CAP menerima banyak aduan daripada golongan petani mengenai beberapa masalah seperti harga baja serta perubahan cuaca.
“Malah faktor hujan serta banjir menyebabkan pelbagai kesukaran kepada petani selain rata-rata mendakwa peningkatan harga sayur-sayuran dijangka bertahan selama setahun lagi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Subbarow, krisis iklim turut menjadi punca utama peningkatan mendadak dalam kelaparan global.
“Kejutan perubahan iklim memusnahkan kehidupan, tanaman dan mata pencarian serta menjejaskan keupayaan orang ramai bagi mencari makanan.
“Harga baja global juga meningkat lebih cepat daripada harga makanan, yang kekal pada paras tertinggi sepuluh tahun itu sendiri.
“Unjuran Jabatan Pertanian menunjukkan bahawa permintaan makanan dunia mungkin meningkat sebanyak 70 peratus menjelang 2050 dengan sebahagian besar unjuran peningkatan permintaan makanan global dijangka datang daripada peningkatan pendapatan pengguna di rantau seperti Asia, Eropah Timur dan Amerika Latin,” katanya. –
Tiada ulasan:
Catat Ulasan