Isnin, 8 April 2024

KESEDARAN BANI MELAYU 2024


KESEDARAN 

BANI MELAYU 2024


Isi dan tema tulisan saya kali ini adalah tentang kesedaran Bani Melayu. Dari pemerhatian saya  ada fakta dan babak yang sedang  berlaku mungkin menjadikan tajuk ini tidak begitu tepat. 

Apa yang sahih dan tepat  ialah  kesedaran Bani Melayu tahun 2024 ini amat berbeza dari kesedaran Bani Melayu  tahun 1969. Tahun 1969 kesedaran Melayu lahir bila melihat  tanah  air mereka mula tergadai. Ini  yang  menimbulkan kemarahan Bani Melayu. Manifestasinya digambarkan pada Mei13.  

Betul dan tepat Mei13 adalah Kesedaran Melayu dalam soal kuasa politik  dan kuasa  ekonomi.

Tahun 2024  saya perhatikan ada perbezaan yang jelas. Kesedaran Melayu tahun 1969 didalangi oleh United Malays National Organisation. Parti Bani Melayu yang menjual dasar ketuanan Melayu telah mula hilang kuasa selepas PRU Ke3. Kekalahan dalam PRU menimbulkan kesedaran. Manifestasinya ialah Mei13 bila mana kota Kuala Lumpur dibakar.

Pembakaran dan pembunuhan di Kuala Lumpur  adalah manifestasi kesedaran Bani Melayu.

Kesedaran ini halimunan. Tidak dapat  dilihat. Tidak dapat di pegang. Kesedaran adalah konsep. Justeru kita wajib memahami konsep melalui babak, kejadian dan perlakuan.

Justeru kes KK Mart yang  heboh di media sekarang ini pada hemat saya adalah manifestasi kesedaran Bani Melayu. Apa yang dilaporkan oleh media, portal berita atau Tik Tok tentang kes KK Mart ini hanyalah manifestasi.

Saban  hari kita disumbat dengan berita manifestasi KK Mart.  Ini bukan satu kesalahan tetapi pada hemat saya melihat, membaca dan membincangkan manifestasi saja tidak mencukupi. Ianya  tidak ilmiah dan tidak saintifik untuk memahami kes KK Mart. 

Membaca manifestasi tidak berjaya memahami keseluruhan sebab dan musabab. Gagal memahami kenapa terjadi begini dan bukan begitu.

Manifestasi hanya luaran yang  mudah digambarkan. Mudah disensasikan. Mudah diguna untuk  mengalih pandangan. Mudah melalaikan. Mudah menimbulkan pandangan serong dan salah.

Tuan Empunya KK Mart duduk di hadapan sidang media minta maaf. Di sebelah kiri dan kanan  ada Minah bertudung dan Mamat Melayu. Tuan pemilik KK Mart minta maaf sambil menangis mengesat air mata.

Ini adalah  teater. Ini sandiwara. Kah kah kah.  Ini percubaan Towkay KK Mart  untuk  cuba meniru Neng Yatimah (1924-2016) pelakon air mata tahun 50’an dari Keris Filem Production.

Teater Tuan Empunya KK Mart meraba dada dan menangis  ini dihampehkan oleh Bani Melayu. Amin.

Ini diikuti dengan bom molotov yang di lempar ke pintu kedai KK Mart. Ini  juga adalah manifestasi. Bom molotov ini betul dan benar. Bukan cerita kosong. Kalau bom ini tidak dipadamkan ianya  akan membakar bangunan  kedai. 

Tapi bom ini masih lagi  manifestasi walau pun satu Malaysia gempaq. Satu Malaysia heboh ditambah pula dengan sidang akhbar Ketua Polis Negara  yang di kelilingi oleh para gedeber dari Bukit Aman.

Ini juga teater. Ini juga manifestasi. Kesedaran Bani Melayu tidak ambil pot semua ini.

Jika semua ini teater. Jika semua ini manifestasi apa sebenarnya sedang berlaku.

Saya nyatakan disini manifestasi kali ini adalah sambungan dari apa yang telah berlaku pada tahun 1969. Perhatikan - dua-dua manifestasi ini berlaku sesudah pilihan raya dijalankan. 

Tahun 1969 Bani Melayu melihat Tanah Melayu tergadai pada Bani China. Tahun 2024 perkara yang sama berlaku. Kali ini lebih  jelas. Kali ini lebih menakutkan.

Hasil dari  PRU15 untuk pertama kalinya Perdana Menteri Malaysia bukan datang dari parti Melayu yang berteraskan Melayu. Ini bukan bermakna Anwar Ibrahim ini bukan Melayu. Dari takrifan walau pun Anwar sama seperti Mahathir ada darah  Mamak – Anwar tetap  Melayu. Ini tidak perlu di pertikaikan.

Pada minggu dan bulan pertama sesudah Anwar menjadi PM kita di hebohkan dengan cerita bahawa kerajaan baru ini  adalah didirikan hasil dari titah Agong. 

Justeru untuk saya kerajaan  ini adalah Kerajaan Titah.  Disunat dan di Islamkan dengan slogan Arab yang di panggil Madani. Amin.

Parti majoriti dalam Kerajaan Titah adalah parti DAP. Ini parti yang di cap sebagai parti China walau  pun parti ini ada ahli Melayu dan ada YB Melayu. Cap mohor Bani Melayu telah melekat pada DAP.

Dalam politik parlimen dan politik mengundi yang ramai akan menang.  DAP dalam Kerajaan Titah memiliki majoriti YB – ertinya lebih ramai  YB dari PKR. Justeru  DAP dilihat dan dihebohkan sebagai  lebih berkuasa dari PKR.

Inilah latar belakang  yang membawa bom molotov ke pintu KK Mart.

Untuk bandingan mari kita lihat apa yang berlaku di Fiji pada tahun 2000.  Krisis muncul bila seorang warga pendatang keturunan India di pilih menjadi Perdana Menteri. Ini menaikkan kemarahan bumiputera.  Soldadu nasionalis Bumiputra Fiji bangun dan merampas  kuasa dari pendatang  keturunan India.

Ini kesedaran Bani Fiji.

Di Malaysia rampasan kuasa belum berlaku, Tetapi taiko DAP Lim Kit Siang telah berkata bahawa satu  masa nanti  Bani China boleh jadi Perdana Menteri Malaysia.

Semua ini menimbulkan keresahan Bani Melayu.  Ditambah pula dengan kes Kampung Baru China jadi warisan, sup tulang babi jadi makanan warisan dan cadangan  sosok bukan Islam di jemput sama  hadir    dalam Majlis Islam.

Bani Melayu terus merasakan tanah air mereka akan dirampas oleh pendatang sama seperti yang telah berlaku di Fiji. 

Justeru dalam kes kalimah Allah dan KK Mart Bani Melayu merasa agama mereka telah di hina. Kalimah Allah hanya pencetus. Bisul telah lama bernanah.

Bani Melayu  di Malaysia dari segi  Perlembagaan diwajibkan menjadi Islam.

Justeru lebih tepat jika saya nyatakan secara hitam putih disini tahun 2024 berbeza dari tahun 1969. Tahun 1969 hanya kesedaran Melayu. 

Tahun 2024 adalah Kesedaran Melayu Islam.  Ada penambahan Islam.

Kesedaran Melayu Islam inilah  yang menjadi asas kemarahan  Bani Melayu terhadap KK Mart. Stoking dengan kalimah Allah itu yang penyebab. Jika bukan stoking itu pasti ada perkara lain yang akan menimbulkan kemarahan  Bani Melayu.

Cakap-cakap, kempen  tentang kita hidup harmoni dan kita berbilang kaum ini semua  di hampehkan oleh Kesedaran Bani Melayu.

Lagu di stesen RTM jam tengah malam – acara penutup -  memperlihatkan pelbagai etnik – Melayu, India, China, Dayak, Dusun, Kadazan - pelbagai bangsa menyanyi dan menari penuh harmoni. Semua ini adalah karut. 

Ini propaganda ciput menipu diri sendiri.

Bani Melayu Islam terus tidak puas hati dengan apa yang berlaku sekarang. 

Sekali imbas kita lihat bagaimana Ketua Pemuda United Malays National Organisation secara jelas melancarkan kempen boikot KK Mart. Kita baca betapa tegasnya kenyataan sosok ini.

Adalah tepat dan benar isu KK Mart ini sedang dijadikan agenda untuk memperbaiki kemerosotan parti Ketuanan Melayu ini dikalangan Bani Melayu.

Pemimpin parti ini sedang mengambil kesempatan untuk menjadi juara. Ini adalah hasil manifestasi dari Kesedaran Melayu yang telah beralih menjadi Kesedaran Melayu Islam.

Untuk meredakan keadaan kerajaan Titah  telah menangkap dan memenjarakan dua sosok yang orang ramai  tidak tahu hujung pangkal.  Bicara dan penjara tergesa -gesa ini diharapkan akan meredakan keadaan. Hampeh.

Taktik tangkap penjara ini gagal. Kesedaran Melayu Islam makin membara. Bom molotov adalah buktinya.

Tup tup tertiba kita diberitahu  tuan empunya KK Mart akan di hadapkan ke mahkamah. Tertiba kita membaca  Tuan Empunya KK Mart telah menyaman kilang pembekal. Tertiba kita terbaca KK Mart ini dalam proses hendak  di senaraikan ke dalam Bursa Saham Kuala Lumpur. Semua ini adalah manifestasi baru. Ini adalah manifestasi politik dan ekonomi.

Justeru pandangan dan tulisan Karl Marx ( 1818-1883 ) ahli falsafah dan pakar ekonomi German adalah betul. Marx mentakrifkan pertembungan umat manusia ini adalah pertembungan kelas yang wujud hasil dari perebutan punca-punca ekonomi.

Kaum Marxist sedunia mengajukan semua  kontradiksi yang berlaku didunia ini adalah berpunca dari kontradiksi perebutan ekonomi.

Apa sangkut paut  KK Mart dan Kesedaran Bani Melayu Islam dengan pandang kaum Marxist ?

Disini cuba dihuraikan : Ekonomi dan punca kekayaan inilah sebenarnya yang  melahirkan semua  manifestasi yang kita lihat berlaku dalam dunia ini. Politik di Amerika. Perang di Ukraine. Perang di Gaza. Perang dimana mana saja puncanya adalah ekonomi.

Kes KK Mart ini adalah manifestasi Kesedaran Bani Melayu Islam bahawa mereka terpinggir di segi ekonomi.

Bani Melayu Islam  tidak puas hati kerana ekonomi dalam negara ini masih di bolot oleh Bani China. Dalam politik kuasa sebenar – kuasa hakiki – kuasa mutlak adalah kuasa ekonomi. 

Bani China menguasai ekonomi  di Tanah Melayu maka  yang  mutlak berkuasa adalah Bani China.

Di belakang semua manifestasi ini adalah perebutan punca-punca ekonomi.

Buktinya : Kita mula terbaca kempen BMF – Buy Muslim First. Kita terbaca  berita NGO – Pengguna Islam. Kita mula diberi tahu bahawa kini telah wujud jaringan kedai runcit yang di miliki oleh Bani Melayu Islam.

 Boikot KK Mart – kedai runcit kapir – dan beli  di kedai runcit Melayu Islam. Ini menjadi latar belakang Boikot KK Mart. 

Justeru sahih dan sah pandangan kaum Marxist dalam menganalisa apa yang sedang berlaku.

Krisis KK Mart ini mungkin reda. Tetapi keresahan Bani Melayu Islam tidak akan reda.  Kesedaran Melayu Islam ini akan terus membara dan merebak.

Apakah ada jalan penyelesaian ? Sila tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)

TULISAN INI 
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA NOW. COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2024/04/08/kesedaran-melayu-2024


Tiada ulasan: