Suami isteri bekal senjata kepada warga Israel dituduh di mahkamah hari ini – KPN
KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri warga tempatan yang ditahan polis selepas disyaki membekalkan enam senjata pistol dan 200 peluru hidup kepada seorang warga Israel, Shalom Avitan akan dituduh di Mahkamah Klang hari ini.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, pasangan masing-masing berusia 42 dan 40 tahun yang ditahan di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor pada 29 Mac lalu.
“Dalam kes ini, polis masih meneruskan siasatan kami dan sedang mengumpul maklumat berkaitan motif sebenar suspek warga Israel tersebut memiliki senjata api dan peluru itu.
“Senjata api itu seperti diketahui telah diseludup dari negara jiran (Thailand) manakala, lelaki suspek utama warga Israel itu pula (dalam reman) dijangka akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat… mungkin selepas rayalah nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di sini hari ini.
Pada 27 Mac lalu, lelaki warga Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Suspek telah dikesan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg.
Hasil siasatan awal oleh pasukan siasatan terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas mendapati Shalom memasuki negara pada 12 Mac lalu menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu menggunakan pasport warga Perancis dan merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah mafia yang berseteru dengan keluarganya.
Susulan soal siasat ke atas Shalom, polis kemudian memberkas pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, pada 29 Mac, yang disyaki menjual enam senjata api kepada Shalom selain membawa kepada penemuan sepucuk lagi pistol di dalam beg sandang dalam kereta milik pasangan terbabit.
Pasukan khas polis yang mengendalikan kes ini terdiri dari JSJ Bukit Aman, Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kemudian menahan 12 lagi individu dalam beberapa siri serbuan di Johor, Kelantan dan Lembah Klang.
Lelaki warga Israel terbabit turut disambung reman selama tujuh hari sehingga 13 April ini selepas reman pertama sebelum ini tamat semalam. –
1 ulasan:
Jaga jaga jangan cakap seberang hal dalam media sosial, sekarang ini cakap benda betul pun jadi hal, jangan sampai kereta peronda sampai depan rumah, kalau pun nak atur wayang biar nampak betul sedikit, seakan Dr Akmal ditangkap ala mafia di KK, kah kah kah bukan pejuang sebenar pun, takut terketar-ketar walaupun diatur awal kah kah kah
Catat Ulasan