Pengasas WikiLeaks Julian Assange dibebaskan
WASHINGTON: WikiLeaks memaklumkan Julian Assange dibebaskan dari penjara selepas mencapai rundingan pengakuan dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).
Julian dilapor dibebaskan semalam dan sudah meninggalkan Britain, selain penyelesaian itu menoktahkan tindakan perundangan yang berlarutan hampir 14 tahun.
Dia sebelum ini ditahan selama lima tahun di Britain, selain menentang permohonan untuk diekstradisi ke AS bagi pertuduhan cubaan mendedahkan rahsia ketenteraan.
WikiLeaks menerusi ciapan di laman X berkata: "Julian sudah dibebaskan".
Berdasarkan dokumen difailkan di mahkamah di Kepulauan Mariana Utara di Pasifik, Julian bersetuju membuat akuan bersalah bagi tuduhan konspirasi untuk mendapatkan dan menyebarkan maklumat pertahanan negara.
Dia dijadualkan tiba di wilayah AS esok pagi (waktu tempatan) dan dijangka berdepan hukuman penjara selama 62 bulan, bermula sejak tempoh ditahan di Britain.
Ia sekali gus memberi peluang untuk Julian, 52, kembali ke tanah kelahirannya di Australia.
Pengasas WikiLeaks itu berada dalam senarai individu dikehendaki Washington kerana menerbitkan ratusan ribu dokumen rahsia AS sejak 2010.
Pihak berkuasa AS mahu menghadapkan Julian ke mahkamah atas tuduhan mendedahkan rahsia rasmi ketenteraan AS berhubung peperangan di Iraq dan Afghanistan.
Julian sebelum ini, pernah didakwa atas 18 pertuduhan di Amerika Syarikat susulan penerbitan WikiLeaks berhubung pelbagai dokumen keselamatan negara, pada 2019.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan