Indonesia lancar program makanan percuma tahun depan
JAKARTA: Indonesia akan melancarkan ribuan dapur di seluruh negara bermula tahun depan susulan kerajaan baharu yang dipimpin oleh Presiden, Prabowo Subianto melaksanakan program makanan percuma berjumlah berbilion dolar, kata ketua agensi yang mengendalikan inisiatif itu hari ini.
Prabowo akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia yang baharu pada 20 Oktober ini.
Dalam fasa pertama pelan ini, makanan akan diberikan kepada sekitar 20 juta pelajar mulai Januari dengan kos sebanyak 71 trilion rupiah (RM20.61 bilion).
Apabila program makanan percuma ini diadakan dalam kapasiti penuh, ia secara tidak langsung dapat menamatkan masalah kekurangan zat makanan di negara itu yang setakat ini mencapai 83 juta penerima, termasuk ibu hamil serta menelan kos sekitar AS$28 bilion (RM127.12 bilion) setiap tahun.
Ketua agensi pemakanan nasional, Dadan Hindayana memberitahu sebuah forum pelaburan bahawa sekurang-kurangnya 5,000 dapur yang dipanggil 'unit perkhidmatan', akan ditubuhkan tahun depan, sebelum meningkat kepada 30,000 unit menjelang tahun 2027.
"Unit ini bukan sahaja akan beroperasi sebagai dapur tetapi juga akan berperanan sebagai pembeli bagi produk pertanian tempatan," kata Dadan, sambil menambah bahawa unit-unit itu akan memberikan lebih sejuta pekerjaan baharu.
Menurut pengiraan Reuters berdasarkan data agensi dan mengambil kira enam hari seminggu, jumlah keseluruhan makanan yang dianggarkan di bawah program ini untuk tahun depan adalah sebanyak 312,000 tan beras, 546,000 tan daging ayam atau 4.68 bilion biji telur, 936 juta liter susu dan 546,000 metrik tan sayur-sayuran.
Dadan berkata, satu dapur yang akan memberikan perkhidmatan kepada 3,000 kanak-kanak akan mempunyai penggunaan harian sebanyak 200kg beras, 350kg daging ayam atau 3,000 biji telur, 600 liter susu dan 350kg sayur-sayuran.
Agensi pemakanan akan mengutamakan pengambilan makanan daripada petani tempatan dan juga akan menyesuaikan menu berdasarkan ketersediaan, kata Dadan. - REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan