Kebakaran hutan merebak di seluruh Eropah
ISTANBUL: Beberapa kebakaran hutan dilaporkan berlaku semalam di beberapa negara Eropah termasuk Greece, Turkiye dan Perancis, yang kawasan selatannya kini berdepan pelbagai kebakaran susulan gelombang haba berpanjangan.
Di Turkiye, lebih 600 kebakaran direkodkan di kawasan dilanda kemarau sejak minggu lalu dan pihak berkuasa memaklumkan seorang pekerja perhutanan yang cedera ketika memadamkan kebakaran di wilayah Izmir meninggal dunia akibat kecederaannya itu.
Kebakaran itu berlaku kira-kira 100 kilometer (km) ke timur pusat peranginan pesisir Izmir, sebelum ini meragut nyawa seorang lelaki berusia 81 tahun yang terlantar sakit serta seorang lagi pekerja perhutanan berusia 39 tahun pada Khamis lalu.
Menteri Pertanian dan Perhutanan Istanbul, Ibrahim Yumakli, berkata kebakaran berkenaan berjaya dikawal kelmarin bersama enam lagi kebakaran hutan lain yang kebanyakannya berlaku di bahagian barat dan tengah Turkiye.
Bagaimanapun, pasukan bomba masih bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di kawasan pesisir selatan Dortyol, berhampiran sempadan Syria, semalam.
Turkiye setakat ini terselamat daripada gelombang haba yang melanda Eropah selatan kebelakangan ini, namun angin kencang memburukkan lagi kebakaran hutan di negara itu.
Semalam, Perkhidmatan cuaca Perancis, Meteo-France, memaklumkan gelombang haba yang bermula pada 19 Jun secara rasmi berakhir pada semalam menjadikan tempohnya 16 hari sama seperti gelombang haba maut negara itu pada 2003.
Namun pada hari yang sama, kebakaran besar pertama musim ini dilaporkan di selatan negara itu, termasuk di wilayah Bouches-du-Rhone dan Herault, memaksa pihak berkuasa menutup beberapa bahagian lebuh raya utama sempena hujung minggu pertama musim cuti musim panas.
Kesibukan lalu lintas menyebabkan kesesakan hingga 10km di kedua-dua arah di lebuh raya A9, dengan air diagihkan kepada para pemandu yang terperangkap di bawah panas terik.
Di Mireval, berhampiran bandar selatan Montpellier, kebakaran yang marak akibat angin kencang memaksa pasukan bomba memindahkan kira-kira 10 orang penduduk


Tiada ulasan:
Catat Ulasan