5 Pegawai kanan
tentera dalangi
sindiket
penyeludupan
tumpas
KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan yang didalangi pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beroperasi di selatan tanah air melalui Op Sohor yang dijalankan Bahagian Perisikan dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).
Menurut sumber, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia lingkungan 30 sehingga 50-an telah ditangkap di sekitar Lembah Klang sejak operasi dilancarkan pada jam 6.30 pagi tadi.
“Pegawai-pegawai kanan itu adalah daripada bahagian perisikan ATM termasuk dua bekas anggota ATM daripada bahagian yang sama.
“Mereka telah ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan, namun mereka dipercayai telah bersekongkol dengan sindiket penyeludupan tersebut sejak lima tahun lalu dan disyaki telah mengumpulkan hasil rasuah kira-kira RM3 juta,” katanya.
Siasatan awal mendapati lima pegawai kanan yang menjadi suspek utama disyaki telah membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok serta barang-barang lain dari negara jiran ke Malaysia yang kesemuanya membabitkan jumlah kira-kira RM5 juta sebulan.
“Kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah berjumlah kira-kira antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap trip penyeludupan yang dijalankan,” katanya.
Serbuan pada awal pagi tadi dilakukan Bahagian Perisikan menerusi Op Sohor berpandukan maklumat hasil risikan kira-kira 12 bulan.
Sejumlah wang tunai bernilai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata tiruan turut ditemukan di premis-premis serbuan dan kesemuanya disita.
Menurut sumber, rangkaian penyeludupan membabitkan pegawai-pegawai kanan tentera ini adalah besar dan rumit untuk dibongkarkan.
Dalam pada itu, seorang wanita warganegara Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah turut ditangkap semasa serbuan dijalankan, dan dipercayai menjadi wanita simpanan kepada salah seorang pegawai kanan tentera yang disyaki.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.
Beliau menegaskan tindakan operasi ini wajar dipandang serius semua pihak kerana ia melibatkan penyeludupan yang berupaya menjejaskan keselamatan negara.
“Walaupun kita mempunyai pelbagai agensi untuk memantau dan mengambil tindakan namun kegiatan penyeludupan tetap berlaku,” kata beliau.
Tambah beliau, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.— BebasNews


Tiada ulasan:
Catat Ulasan