KALAU TAK
BEKERJA
MACAM MANA
NAK CARI MAKAN
KHALAS
Isu Rohingya dibenarkan bekerja perlu kajian mendalam
KUALA LUMPUR – Kerajaan terbuka untuk meneliti cadangan membenarkan pelarian politik Rohingya bekerja di negara ini sebagai langkah mengurangkan risiko mereka terjebak dalam kegiatan jenayah.
Namun perkara itu memerlukan kajian menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Khairul Firdaus Akbar Khan.
Menurutnya, cadangan berkenaan akan dibincangkan secara bersama Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk dasar kerajaan serta keselamatan negara.
Beliau berkata, kerajaan perlu menilai manfaat dan implikasi cadangan itu sebelum menentukan pendekatan terbaik berhubung isu berkenaan termasuk dasar kerajaan dan keselamatan negara.
“Ini satu pendapat yang boleh membawa kebaikan ataupun perlu ada kajian secara mendalam.
“Saya percaya perkara ini akan dibincangkan bersama dengan Kementerian Sumber Manusia dan juga Kementerian Dalam Negeri. Sebarang perkembangan kita akan maklumkan dari semasa ke semasa.
“Terima kasih di atas satu cadangan yang mempunyai asas untuk kita melakukan kajian,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mencadangkan kerajaan mempertimbangkan kebenaran bekerja kepada lebih 215,000 pelarian politik Rohingya di Malaysia.
Perkara itu dibangkitkan ketika Khairul Firdaus menggulung perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024 (Kertas Statut 102 Tahun 2026) di Dewan Rakyat, hari ini.
Hassan berkata, langkah itu dapat membantu golongan berkenaan memperoleh pendapatan, sekali gus mengelakkan anak-anak muda Rohingya daripada terjebak dalam kegiatan jenayah.
Menurut beliau, pendekatan sama pernah dilaksanakan di Jerman apabila pelarian dari Syria dibenarkan bekerja atas pertimbangan kemanusiaan ketika perang di negara itu.
“Saya mencadangkan Kementerian Sumber Manusia mengemukakan perkara ini kepada Kabinet supaya pelarian Rohingya ini dibenarkan bekerja, sama ada lelaki atau perempuan, supaya mereka dapat pendapatan.
“Jadi anak-anak muda mereka tidak perlulah terlibat dalam jenayah. Kita boleh mengambil contoh Jerman yang membenarkan pelarian Syria bekerja ketika krisis perang di negara itu,” katanya.
Sebelum ini, Persatuan majikan berkata, pihaknya bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada pelarian Rohingya dalam sektor 3D (kotor, berbahaya dan sukar) sekiranya kerajaan membenarkan mereka bekerja secara sah.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman berkata, pihaknya menyokong usaha kerajaan membenarkan pelarian yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bekerja secara formal, khususnya dalam sektor yang berdepan kekurangan tenaga kerja. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan:
Catat Ulasan