Moscow, Kyiv sepakat di Istanbul laksana pertukaran tawanan terbesar
MOSCOW: Menteri Pertahanan Ukraine Rustem Umerov, mengumumkan pada Jumaat bahawa Russia dan Ukraine bersetuju untuk melaksanakan pertukaran tawanan perang terbesar sejak konflik antara kedua-dua negara bermula, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Bercakap pada sidang media di Istanbul, Umerov menegaskan perjanjian itu hasil utama daripada mesyuarat berkenaan, sambil menyatakan tarikh pertukaran telah ditetapkan tetapi tidak dapat didedahkan buat masa ini.
"Mesyuarat telah selesai. Kami membincangkan gencatan senjata dan pertukaran tawanan.
"Ketika ini, kami telah bersetuju untuk menukar 1,000 tawanan dengan 1,000 tawanan. Ini adalah hasil daripada mesyuarat kami," katanya.
Umerov turut menyatakan bahawa delegasi Ukraine menerima arahan daripada presiden untuk memberi tumpuan kepada usaha mencapai gencatan senjata dan memudahkan pertukaran tawanan. – BERNAMA-ANADOLU


Tiada ulasan:
Catat Ulasan