Rabu, 30 Oktober 2013

KESAH SATU KELUARGA









 KESAH KELUARGA MAT KOYO
Adalah hamba telah mendengar kesah ini dari datuk hamba yang telah mendengar kesah ini  dari datuk kepada datuk hamba. Maka bukanlah niat hamba melabonkan kesah ini untuk mencari dana dan laba. Bukan bertujuan untuk berdada dan berbangga. Jauh sekali untuk mencari dosa dan pahala.

Adalah niat hamba agar kesah ini akan diturunkan dari cucu kepada cicit kepada cucu kepada cicit. Hendaknya dapat kita jadikan kesah sebagai kesah  tiang pasak negara. Kesah  menjadi tauladan  penunjuk jalan dimasa hadapan.

Mengikut tuan empunya ceritera adalah satu keluarga lima beranak yang hidup dihujung kampong Lidah Bercabang di negeri Entah Berantah. Sang ayah dipanggil Long Libon, isteri dipanggil Mek Jitun. Dua anak lelaki bernama – Pidun dan Kitam. Anak bongus seorang anak dara sunti  yang cantik lagi menawan.Berambut ikal mayang. Tumit puteh lagi melepak. Sekali tersenyum seurat kembang. Nama diberi Pelesit Sundal Malam.

Maka ramailah orang bertanya kepada hamba kenapa  Pelesit  Sundal Malam nama diberi. Maka kepada  Si Bijak Bistari yang bertanya jawapan hamba hanya satu. Hamba ini hanya pembawa kesah.  Mendengar dari Tok Perawi dari Tok Perawai. Saheh mereka sahehlah hamba. Kenapa nama diberi hamba tidak  tahu apa  sejarah apa salasilah.

Adalah dikesahkan kehidupan keluarga Libon dan Jitun ini amat susah. Menumpang di tanah orang.  Sang Ayah, ibu anak beranak berkerja mengambil upah. Musim padi  mengambil upah mengubah benih. Musim menuai membanting padi. Musim hujan memasang lukah. Musim kering mengambil upah memanjat kepala.  Ke hutan mencari manau. Ke bukit mencari rotan.  Ke gunung mencari damar.

Adalah mengikut tuan empunya hikayat. Maka pada satu ketika yang ditetapkan. Pada hari yang tertulis maka awan puteh pun mulalah  berkumpul-kumpul untuk menjadi awan hitam. Kilat memanah sabung menyabung. Halilintar memecah bumi. Katak terus berlagu memanggil hujan. Kera dihutan pindah ke gunung. Inilah tanda musim tengkujuh akan sampai.

Musim tengkujuh ini adalah musim rezeki untuk Long Libon. Jala telah dianyam. Lukah telah  disimpai.  Tiga beranak  pun turunlah  ke paya  dan danau untuk memasang lukah memasang bubu. Sembilang dan puyu berlari-larian. Haruan dan keli bermandi manda. Inilah masa yang dinanti nanti.

Dalam hujan lebat sebagini ketika Raja di Istana enak beradu.Ketika Tok Penghulu sedang berurut. Ketika anak dara menyikat rambut. Ketika inilah Jantan Tiga Beranak ini behempas menebar jala  memasang lukah.

Pada saat dan ketikanya saperti telah ditakdirkan. Saperti telah tersurat dalam kitab. Tetiba  jala Long Libon tersangkut. Maka turunlah Pidon dan Kitam ke dalam sungai mencari sebab angkara.  Si Ayah menunggu dengan sabar. Hati sedih lagilah pilu jika jala terkoyak lagi. Benang  amat mahal. Timah amatlah susah dicari.

Tetiba muncul Pidon dari dalam sungai terhungap-hungap. Kemudian muncul pula Kitam. Kedua-dua kelihatan mengigil takut. Budak jantan ini mengeletar bukan kerana sejuk. Mereka telah terlihat sesuatu didalam sungai. Long Libon bertanya angkara. Apakah telah terlihat Buaya Puteh atau ternampak Puteri Duyong. Sang anak  menggeleng kepala tidak bersuara.  Tetiba kedua-kudanya terkencing dalam seluar.

Long Libon tak mahu jalanya koyak rabak. Inilah sahaja harta peninggalan ayah. Inilah harta penyambung hidup. Maka Long Libon  terus masuk ke air dan menyelam. Pidon dan Kitam berpelokan sambil mata memandang ke dalam sungai.

Bagitulah kesah yang hamba dengar. Semenjak petang jala tersangkut  kehidupan keluarga Long Libon mula berubah. Semuanya berubah.  Orang mula berkesah tentang Long Libon  yang menjadi Mat Koyo. Bukan saja dapat membeli tanah kampong yang mereka tumpang malah Long Libon  a.k.a Mat Koyo telah  membeli tanah sawah dan tanah getah. Kalau dulu Pidon dan Kitam hanya memiliki dua seluar dan dua kemeja. Kini anak jantan dua orang ini telah kenal dengan Hugo Boss dan Jermyn Street. Malah Mek Jiton juga telah mula memakai gigi bersumbi emas.

Pelesit Sundal Malam mengikut tuan yang empunya kesah telah  dua kali menjemput  Vidal Sassoon untuk  datang mendandan rambut. Kini Si Sundal Malam telah mula belajar mengaji. Mengikuit kesahnya  cucu kepada cucu kepada cicit Abdullah Munshi dari Bandar Hilir Melaka telah dijemput datang untuk menjadi guru mengajar dirumah Long Libon.  

Hanya Long Libon tidak berubah. Kain sarongnya masih bertampal-tampal. Bajunya masih baju yang lama. Sesekali kelihatan dia memakai selipar Jepun kalau tidak Long Libon sentiasa berkaki ayam. Hanya  satu perubahan yang jelas. Kalau dahulu Long Libon hanya mengulung rokok pucuk dengan tembakau. Kini Long Libon telah pandai menggulung  kertas Rizla dengan tembakau  Drum.
 
Maka orang-orang Lidah Bercabang terus bergosip. Ada yang berkesah bahawa Mat Koyo  telah menang loteri. Ada yang berkesah bagaimana Mat Koyo terjumpa harta Karun. Ada juga yang berkesah bahawa Pelesit Sundal Malam kini telah menjadi Awek kepada Ketua Pemuda.

Setiap kesah ini sambung menyambung. Bercambah dan bertambah. Ada orang kampong yang berani bersumpah laknat di Masjid. Mamat ini mengaku ternampak Pelesit Sundal Malam bersama dengan seorang Datuk Seri sedang minum cendul dibelakang Panggung Rex Ipoh. Tidak ada siapa yang dapat buktikan tentang Kesah Cendul ini kerana dalam kampong ini tak ada siapa yang pernah ke Ipoh. Jauh sekali nak tahu dimana letaknya Panggung Rex. Tak tahu mana yang benar dan mana yang lebong. Nampaknya dimana babak yang tak seronok ditambah dengan Aji-No-Moto untuk menyedapkan cerita.

Hairan memang menghairankan.Bagaimana satu keluarga  miskin kini telah hidup bukan sahaja mewah. Malah telah melintasi keupayaan Tok Penghulu.

Hamba yang mendengar kesah ini merasa tidak  puas hati. Maka minggu lalu hamba sendiri telah pergi berjumpa Long Libon untuk mendapatkan kesah sabenar. Memang susah untuk sampai ke Kampong Lidah Bercabang ini. Setiap kali hamba bertanya arah rumah Long Libon setiap kali hamba dapat jawapan yang berlainan. Maka tahulah hamba kenapa nama kampong ini Lidah Bercabang.

Tujuh hari tujuh malam hamba menapak mencari dari kampong ke kampong dari rumah ke rumah akhirnya  hamba  berjaya juga. Long Libon kelihatan sehat segak dan sasa. Mek Jitun lemah lembut berbudi bahasa tidak bersumbi emas. Manakala Kitam dan Pidun tidak sombong dan tidak riak. Tidak memakai Hugo Boss. Hamba dengan segala sopan dijemput naik kerumah. Ketika melangkah tangga mata hamba terlintas nampak  anak dara sunti Pelesit Sundal Malam.

Dipendekkan kesah yang panjang  hamba dengan sopan bertanya tentang apa sebenarnya  kesah jala tersangkut. Empat beranak yang duduk bersila di depan hamba terus ketawa. Ini menjadikan hamba lebih hairan.  Disaat genting ini muncul Pelesit Sundal Malam membawa dulang  minuman petang. Mata hamba mencuri pandang.  Dalam hati hamba berkata - mustahil anak dara sesopan ini akan menjadi Awek Ketua Pemuda atau betina simpanan Datuk Seri.

Soalan hamba tergantung tidak berjawab. Kejantanan hamba kini diganggu  oleh Pelesit Sundal Malam. Hamba tak tahu bagaimana hendak meyambung cerita. Hamba rasa diri hamba sedang terperangkap oleh keluarga Long Libon.  Hamba merasa tekanan datang tapi hamba tak tahu dari mana tekanan ini datang.

Tetiba hujan pun turun. Petir sabung menyabung. Halilintar memecah bumi. Masa dan ketika saperti inilah  jala Long Libon tersangkut dalam sungai. Suasana ini menjadikan hamba bertambah gelisah. Hamba  ingin meminta diri tetapi mustahil dalam hujan yang lebat ini hamba boleh menapak pulang. Sungai semakin sebak. Tanah berair dan berlumpur. Maka tidak dapat tidak hamba wajib menunggu.

Mata  hamba memandang hujan yang turun mencurah hamba. Tetiba terdengar Long Libon bersuara. Mata hamba beralih ke  muka Long Libon.

“ Bagini  kesahnya. Kau tahu kesah Badang? Pernah  kau dengar  kesah Badang dan muntah hantu?”

Hamba tersentak. Hamba tahu benar kesah si Badang ini.  Ketika si Badang ini jadi berita ‘hot’,  majalah Times telah meminta hamba membuat laporan berita. Memang susah untuk mencari Badang. Hamba  dapat bantuan Wahid Satay. Si Wahid ini secara rahsia telah berjaya bertemu  Si Badang ketika Wahid berlakun memainkan watak Badang.  Hamba terfikir jika kesah Long Libon ini sama setaraf dengan kesah Badang maka ianya akan pasti dapat liputan CNN.

“ Tuan hamba ini datang dari jauh. Nak bertanya kesah kami sekeluarga. Kami tak ada apa rahsia’, Long Libon memecah kesunyian.

 
“ Betul... tak ada apa yang nak kami sorokan... ” tambah Sang Isteri.

‘ Tuan hamba tahu Zahid Hamidi Menteri Dalam Negeri? Tuan hamba dah baca laporan Audit Negara? Tuan hamba tahu apa terjadi dengan pistol dan senjata polis yang hilang? Tuan hamba tahu apa terjadi kepada jet injin yang hilang?’

Hamba terperanjat  besar kerana hamba hanya bertanya tentang jala tersangkut. Kenapa soalan hamba dijawab pula dengan pelbagai  jenis soalan. Hujan diluar semakin ligat.

“ Tuan hamba bermalamlah disini. Tunggu hujan reda. Lepas makan malam ini kita sambung kembali cerita ini ”.( TT)

 
 
 NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN 
sesiapa yang ingin melanggan
akhbar mingguan ini 
sial pukul talipon
03-92-21-10-45


--------

8 ulasan:

Awanama berkata...

https://www.youtube.com/watch?v=jibxKGrw94Q

kahkahkahkah! baru jumpa nih. mmg legendla

Awanama berkata...

Apa hang merepek ni tuan tt oiiiiiiiiiii

monggol sabah berkata...

Kasi sambunggggggggggggg........capatttttttttt.......:'(......

Matrojak berkata...

TT pandai mengarang cerita bercorak Melayu klasik...

Kakadu Malay berkata...

"Musim kering mengambil upah memanjat kepala."

Panjat kepala siapa pulak Isham oi

Awanama berkata...

suka

Awanama berkata...

seorang ketua kampung telah
kehilangan burung peliharaan yg
sangat dia sayang..lalu ketua kpg
tersebut telah memangil semua
penduduk kpg untuk menyiasat
perkara tersebut.
ketua kpg: siapa yg ada burung?
semua lelaki di kpg tersebut
berdiri..
ketua kpg hairan dan menyedari
yg dia tlah silap ketika bertanya
soalan.
ketua kpg: Bukan itu maksud
saya...siapa yg pernah lihat
burung?
semua perempuan di kpg
tersebut pun berdiri.
menyedari dia tersalah
mengajukan soalan lagi, ketua
kampung pun berkata..
ketua kpg:maksud saya...siapa yg
pernah melihat burung saya.?
maka berdirilah isteri ketua kpg
tersebut bersama seorang janda.
ketua kpg terperanjat kerana
rahsia skandalnya
terbongkar...da n dia terkena
flying kick dari isterinya kerana
curang

Awanama berkata...

Kahkahkah ..terbaekkk..
boleh jadi silibus sastera sek menengah ni..kahkhkah