Pada awalnya kita diterperanjatkan dengan kesampaian ratusan dan ribuan ‘orang hitam kurus’. Mereka datang dari negara atas angin yang kita tidak pernah ada hubungan. Negara yang kita kurang arif letak duduknya. Kita kurang arif tentang adat budaya resam mereka. Jauh sekali ada kenalan atau taulan dari negara ini.
Yang memeranjatkan kita ialah orang hitam kurus ini datang dengan menaiki kapal nelayan tua. Yang paling memeranjatkan ialah jumlah yang menumpang dalam kapal ini. Bukan belas belas orang, bukan ratus ratus tapi ribu-ribu orang. Kecil tua muda jantan betina datuk dan nenek moyang mereka pun datang bersama. Macam lukisan gambar kapal Nabi Noh- bezanya dalam kapal mereka tidak ada zirafah dan gajah. Siapa orang hitam kurus ini?

Untuk saya, setiap berita orang pelarian akan saya baca dengan teliti. Saya mengikuti apa sahaja berita orang pelarian. Ini kerana saya sendiri adalah bekas orang pelarian. Jadi saya memiliki hati nurani dan roh yang amat rapat dengan orang pelarian. Saya memiliki kesah pelarian saya sendiri. Jadi, sadikit sebanyak saya memahami perasaan orang pelarian. Tetapi, saya tidak ada keupayaan untuk mengakui yang saya memahami semua segi tentang orang pelarian.

Ketika saya menjadi warga Eropah, saya sering membaca takrifan bahawa orang pelarian ini ada dua jenis . Pertama pelarian politik. Kedua pelarian ekonomi. Ketika itu negara-negara Eropah akan membuka pintu masuk dengan senang sekali jika sosok yang mengetuk pintu itu dibuktikan sedang dalam kesusahan politik. Ini kerana sesudah Perang Dunia Ke2 – Eropah Barat juga telah dipenuhi oleh orang pelarian. Perang di Eropah telah mengharu birukan berjuta juta umat manusia. Satelah perang tamat mangsa perang ini wajib dibela dan dibantu. Warga Eropah beramal jariah. Yang selamat dari perang membantu yang kehilangan kaum keluarga dan rumah tangga. Ini Eropah 10 tahun pertama sesudah Perang Dunia Ke2.
Hasil dari krisis orang pelarian yang timbul akibat perang memaksa Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu meluluskan Perjanjian Orang Pelarian 1951. Saya tahu perjanjian ini – kerana saya diselamatkan oleh Perjanjian ini.

Negara Cuba, Korea Utara, Blok Soviet dan China Merah menjadi sasaran. Warga dari negara yang mengamalkan system ekonomi kebajikan sosialis ini digalakkan melarikan diri. Mereka dijemput untuk melarikan dari negara sosialis ke negara kapitalis. Jelas, pada zaman ini orang pelarian telah digunakan sebagai senjata ‘ cold war propaganda’.

Ketika itu wartawan barat yang diupah oleh syarikat media kaum pemodal akan menggunakan ayat klise “ they vote with their feet”. Setiap kali ada berita orang pelarian dari blok sosialis maka akan muncul ayat klise ini.
Maka dunia terbaca berbelas-belas kali tentang kesah juruterbang jet pejuang dari tanah Besar telah lari. Bukan lari bersendirian tetapi lari dengan membawa jet pejuang yang dipandunya masuk ke Taiwan. Juruterbang pelarian ini bukan sahaja mendapat liputan media yang meluas. Malah mereka mendapat ganjaran hingga 7 kilo emas. Orang-orang pelarian dari Tanah Besar ini akan disambut mesra oleh Presiden Chiang Kai-sek.
Di belakang rumah kita pun pekara yang sama berlaku. Warga Kuala Lumpur pasti tidak akan melupakan KEM VIETNAM di tepi jalan ke Sungai Besi. Ini juga sebahagian dari sejarah Perang Dingin. Apabila Gerila Pembebasan Rakyat Vietnam berjaya mengalahkan imperialis Amerika dalam perang Vietnam, maka kuasa imperial Amerika melalui media telah berpropaganda untuk menjemput rakyat Vietnam lari meninggalkan negara asal mereka. Maka mucullah drama ‘Boat People’. Warga dari Indo-China telah menyeberang Laut China Selatan menuju ke Siam dan Malaysia. Pulau Bidong dan Pulau Babi Besar telah menjadi tempat persinggahan warga Pelarian Indo-China.


Warga Vietnam dan Indo-China ini telah diberahikan dan diotek-otek dengan kehidupam budaya kapitalis. Propaganda meluas telah menayangkan bagaimana jalan-jalan di London, Paris dan New York bertaburan dengan intan berlian. Hanya menunggu untuk dipungut. Malah negara Amerika dan Eropah Barat ini cukup menjanjikan kepada sesiapa sahaja untuk menjadi kaya raya. Negara kapitalis ini tidak pernah kurang makan, kurang pakai atau kurang leterik saperti di Moscow, Praque, Saigon atau di Vientiane. Akhirnya warga Indo-China ini menjadi ‘peluru murah’ untuk menutup malu Uncle Sam yang telah kalah perang.
Sebelum orang-orang hitam dan kurus ini sampai ke pesisiran utara Semenanjung kita ada membaca dan melihat dikaca TV tentang ‘orang lagi hitam’ yang juga berkapal menuju Italy dari Libya. Orang lagi hitam ini juga datang dengan kapal nelayan tua. Dari gambar yang saya lihat mereka juga sama saperti imej Kapal Nabi Noh. Setiap kapal kelihatan padat dan penuh dengan penumpang. Malah tidak ada langsung tempat kosong kosong untuk mereka menikmati keindahan Laut Tengah.

Kenapa warga dari Syria, dari Nigeria, dari Burma , dari Palestin, dari Afghanistan, dari Iran, dari Somalia, dari Libya dari Barundi, dari Benin dan dan dan… melarikan diri dari tanah air mereka.
Kali ini media Barat dan media kaum pemodal TIDAK lagi memainkan ayat klise “ they vote with their feet – mereka mengundi dengan kaki mereka”. Negara Barat yang sering menimbulkan keberahian hidup dalam dunia kapitalis kini tidak lagi menayangkan betapa kosongnya kedai-kedai di Somalia atau di Kabul. Semua sudah terbalik coat. Semua bertukar rupa. Semua beralih wajah


Hari ini semuanya berubah. Apabila orang hitam kurus kering dari Rohingya sampai mereka tidak di ah lan was ah lankan. Tidak ada bunga manggar. Mereka tidak disambut untuk masuk ke bumi Malaysia. Mereka hanya diberi makanan dan diminta meneruskan pelayaran mereka. Pekara yang sama juga terjadi apabila kapal-kapal nelayan tua dari Libya sampai ke perairan Itali. Jika kapal ini dalam keadaan baik maka mereka diarahkan pergi ke tempat lain.
Kemanana agaknya orang pelarian ini akan belayar? Kemana arah tuju mereka? Tunggu minggu hadapan. (TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarakan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa yang mahu melanggan
akhbar mingguan ini sila pukul talipon:
03 -92-21-30-45
