PALING COOL

BERSIH DAN SARAWAK
Ada sesuatu yang tidak kena antara hubungan kita dengan Sabah dan Sarawak. Ini bukan tentang tentang ramainya politikus dan aktivis NGO yang dilarang masuk ke Sarawak. Sikap yang saya maksudkan ini agak halus dan mungkin tidak disedari oleh Orang Semenanjung.
Biar saya surahkan disini satu kesah yang berlaku di hadapan mata saya ketika mengikuti kempen pilihan raya Sarawak pada bulan April yang lalu. Saya ke Miri mengekori para aktivis Pakatan Rakyat untuk membuat laporan di Suara Keadilan dan di blog. Sesekali saya juga turut juga berceramah di rumah-rumah panjang.
Pada malam terakhir saya telah datang mengikuti Ceramah Penutupm disebuah perkampongan rumah panjang. Kampong rumah panjang ini terletak diluar kota Miri yang majoriti penduduknya berbangsa Iban Kristian. Saya sampai awal satelah hampir dua jam dengan kereta.
Apabila saya sampai ke tempat ceramah saya terfikir mungkin baginilah betuk rupa ceramah politik di Semenanjung ketika sebelum atau sesudah beberapa tahun British mengundur diri. Ketika itu belum bayak lagi jalan raya. Ketika tidak banyak kawasan kampong yang ada api leterik atau air paip.
Saya ternampak anak-anak kecil bogel bekeliaran. Ibu dan kakak mencangkong dan berdiri dalam gelap menunggu ceramah bermula. Pak Cik dan Abah Abah berdiri berlabon sesama sendiri sambil merokok dibelakang basikal mereka. Beberapa orang Abang Moto telah memberhentikan motor tidak jauh di padang ceramah.
Pentas ceramah pun tidak gah – hanya varanda rumah seorang penyokong tegar Pakatan Rakyat. Alat pembesar suara pada malam itu tidak lumayan tetapi cukup untuk 400 orang pendengar. Dua lampu kalimantan yang disambung dari rumah telah cuba menerangkan pandang rumput yang lecah.
Tetapi bukan ini ibu ceritanya. Yang menjadi cerita ialah ceramah seorang aktivis Pakatan Rakyat dari Terengganu. Mamat berumur empat puluhan ini cekap berceramah. Mungkin dia sering berceramah di masjid atau di surau. Ayat dari mulutnya tersusun baik. Hujahnya juga teratur.
Tetapi saya terperanjat dan meloncat masuk ke kawasn gelap apabila Si Mamat ini mula mengutuk Taib Mahmud. Tangannya menunjuk-nunjuk ke arah rumah panjang di hadapan kami. Dia mengutuk Taib Mahmud kerana kalau di Malaysia Rumah Panjang ini hanya untuk sementara. Lalu Si Mamat dengan bengis lagi marah menyoal Taib Mahmud – kenapa di Sarawak ini masih ada lagi warga yang duduk dirumah panjang bertahun-tahun.
Ini bukan lawak Rumah Panjang. Ini episod politik dan kesah benar. Dan sayalah Tok Perawi saheh yang membawa surah ini ke pengetahuan umum.
Apabila saya terdengar isi ucapan tentang Rumah Panjang ini saya disedarkan bahawa memang wujud, malah ramai Orang Semenanjung tidak faham tentang budaya, kehidupan dan politik Sabah dan Sarawak. Kebebalan memahami budaya Rumah Panjang di Serawak ini samalah seperti komen Haji Hadi tentang ‘cawat’ orang Sarawak. Apa yang jelas disini ialah wujudnya rasa angkuh – aku lebih berbudaya dari kamu – dan aku dari Semenanjung memiliki moral yang lebih tinggi dari kamu yang di Sarawak.
Hegemoni budaya dan politik yang dijalankan oleh United Malay National Organisation terhadap Sabah dan Sarawak nampak jelah telah juga mempengaruhi cara berfikir para aktivis dan pemimpin politik dari Pakatan Rakyat. Mengenai Sabah dan Sarawak saya perhatikan tidak berapa jauh bezanya budaya politik Pakatan Rakyat dengan yang diamalkan oleh United Malay National Organisation. Malah hegemoni United Malay National Organisation itu pun sana diguna pakai oleh Pakatan Rakyat.
Minggu lalu saya sekali lagi pergi ke Sarawak. Kali ini bukan untuk berkempen tetapi untuk menerangkan tentang 8 Tuntutan Bersih kepada sebanyak mungkin aktivis dan warga Sarawak. Yang menjadi tuan rumah kami NGO tempatan penyokong Bersih.
Dalam dua forum terbuka di Kuching dan Miri telah dijalankan. Forum ini walau pun tidak diiklankan tetapi telah mendapat sambutan. Ramai warga yang datang dan ingin mengambil tahu tentang konsep demokrasi dalam pilihanraya yang bersih dan adil. Malah di Kuching ramai anak anak muda yang turut sama berforum. Di Miri walau pun forum ini diadakan pada jam 2.00 petang – sambutan cukup menjanjikan – sehinggakan kami kekurangan kerusi duduk.
Saya hanya menerangkan satu persatu tuntutan Bersih sejelas, setuntas mungkin. Saya campurkan juga dengan humour politik. Kelihatan tidak ada perbezaan antara warga Semenanjung dengan warga Kuching untuk menghayati humour politik yang saya taburkan. Tetapi disesi soal jawab saya sekali lagi melihat dengan jelas tentang kehodohan hegemoni Semenanjung terhadap Sarawak.
Dari dua forum Bersih ini memang saheh bukan sahaja Mamat Penceramah dari Terangganu tidak faham apa itu Rumah Panjang. Badan NGO yang seharusnya memiliki kesedaran budaya politik yang lebih matang pun terperangkap sama dalam hegemoni budaya politik United Malay National Organisation.
Contoh terbaik ialah tentang tuntutan Bersih ke 4 : memanjangkan masa pilihan raya minima 21 hari. Ketika PRU11 tahun 2004 dahulu warga Malaysia hanya diberi 8 hari untuk membuat pilihan siapa yang berhak untuk mewakili mereka. Dalam sejarah pilihanraya inilah masa berkempen yang paling singkat. Saya masih ingat lagi apbila masa 8 hari ini diumumkan oleh SPR hanya ada beberapa kritikan dan bantahan dari Parti Pembangkang pada ketika itu. Yang didengar hanyalah suara-suara lemah. Tidak ada protest yang menakjubkan berlaku
Kita tidak ada langsung mendengar apa-apa komen atau bantahan dari Sabah atau Sarawak? Atau ketika itu kita pekak? Kenapa agaknya tidak ada suara bantahan yang lantang? Saya berani menjawab disini bahawa Hadi Awang , Wan Azzizh dan Lim Kit Siang tidak memiliki kesedaran yang tuntas tentang makna dan implikasi kempen 8 hari untuk warga Sarawak. Justeru mereka tidak meloncat dan mengambur.
Untuk memperkuatkan apa yang saya nyatakan biar saya surahkan kesah-kesah PRU yang baru saya pungut dari Kuching dan Miri. . Memang saheh pada PRU11 dahulu kerana masa berkempen terlalu singkat ada sebahagian dari warga di kawasan pendalaman Sarawak yang tidak tahu bahawa piliharaya akan diadakan. Ertinya mereka tidak mengundi sisapa pun. Bukan tidak mahu mengundi tetapi apabila helikopter datang untuk memungut kertas undi tidak ada sesiapa yang telah turun mengundi.
Tidak percaya apa yang saya surahkan ini?
Saya sendiri pun baru dikejut dan disedarkan tentang hakikat keluasan bumi Kenyalang ini. Memang dari peta kita melihat Sarawak ini agak besar sadikit dari Semenanjung. Mata kita hanya melihat peta tanpa apa-apa pemahaman yang jelas. Dalam masa yang sama peta Atlas ini adalah lakaran kuasa imperialis dimana negara Eropah memang diperlihatkan lebih besar berbanding dengan negara Dunia Ketiga. Justeru kesedaran kita tentang wilayah kita sendiri pun amat terhad.
Kedudukan Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang dipisahkan oleh Laut China Selatan membuatkan kita di Semenanjung ini gagal untuk memahami makna hakikat sebenarnya keluasan Sabah atau Sarawak itu. Kita hanya tahu bumi Sabah dan Sarawak itu luas tetapi kita tidak merasakan keluasan itu.
Tahukah para pembaca bahawa Perlimen P216 Hulu Rajang amat-amat luas. Dalam kawasan Parlimen ini ada dua DUN . DUN Belaga N51 dan DUN Baleh N50. Jangan terperanjat bila saya nyatakan bahawa Parlimen Hulu Rajang ini luasnya - seluas Pahang. Malah DUN Baleh sahaja keluasannya hampir menyamai Terengganu.
Di dalam wilayah seluas Pahang ini ada terdapat 234 rumah panjang. Ada 10,000 Iban 7,000 Orang Hulu – sadikit warga Melayu dan China. Jumlah pengundi di kawasan ini ialah 17,696. Sila hitung - berapa kali ganda jumlah pengundi disini berbanding dengan pengundi di Putrajaya?
Kita sebagai warga Semenanjung sila tanya diri kita sendiri – apakah mungkin kita melakukan kempen ke seluruh Pahang dan di seluruh Terengganu dalam masa satu minggu lebih. Apakah mungkin kita melawat ke semua 234 rumah panjang ini dalam masa dua minggu? Jawabnya mustahil. Ini kerja orang gila.
Jika jawabnya mustahil dan jika ini kerja orang gila maka inilah bukti bahawa SPR ini adalah barua United Malay National Organisation. Saya berani berkata sedemikian kerana amat jelas konspirasi SPR yang menetapkan masa bekempen yang singkat ini hanya bertujuan untuk memastikan United Malay National Organisation akan terus berkuasa.
Saya menimbulkan kesah ini kerana warga di Sarawak selama ini telah membantah masa berkempen yang diberikan oleh SPR. Malah mereka juga merasa amat amat kecewa dengan tuntuan Bersih yang hanya mahu menuntut masa minima 21 hari. Untuk warga Serawak 21 hari ini bukan masa minima tetapi masa mandatori. Ini lah yang saya dengar dari forum dan pebincangan Bersih di Kuching dan Miri.
Pada hemat saya jika masa berkempen ini tidak dipanjangkan oleh SPR - semakin jelas menunjukkan piliharaya kita tidak adil dan tidak telus. Sesudah membaca apa yang saya tulis ini dan SPR tidak memanjang waktu berkempen maka terbukti jelas PRU13 ini nanti akan dimenangi oleh United Malay National Organisation dengan cara tipu.
Untuk warga Sabah dan Sarawak – memanjangkan waktu berkempen adalah tuntutan hak keadilan yang paling minima. Menafikan ini bukan satu kezaliman tetapi satu keganasan. Justeru warga Sarawak bukan hanya mahu 21 hari masa berkempen tetapi mahu masa yang lebih panjang.
Justeru mereka berharap NGO di Semenanjung apabila membuat tuntutan yang mencakupi kepentingan bersama tidak akan dipengaruhi oleh hegemoni budaya United Malay National Organisation. Ujian awal sebagai usha untuk memecahkan hegemoni ini ialah mengharamkam penggunaan ayat: Sabah dan Sarawak masuk Malaysia pada thun 1963. Faham? Sabah dan Sarawak tidak pernah masuk Malaysia. Sabah dan Sarawak bersama Semenanjung menubuhkan Malaysia. Faha, tak? (TT)
NOTA:
tulisan ini telah disiarkan
dalam akhbar SUARA KEADILAN
yang terbaru - sesiapa ingin
melanggan akhbar mingguan ini
sila pukul talipon : 03-22-72-40-45