Dalam operasi tersebut, polis turut menyerbu sebuah kondominium mewah yang dijadikan stor penyimpanan dadah tersebut di Jalan Kuching di sini dan me-rampas sejumlah 7.4 kilogram (kg) syabu bernilai RM1.1 juta.

Turut dirampas tujuh buah kereta pelbagai jenis dan sejumlah mata wang asing dolar Amerika dan Iran berjumlah kira-kira RM13,000 serta wang tempatan sebanyak RM33,322.

Kesemua suspek yang berusia antara 22 hingga 46 tahun itu terdiri daripada seorang wanita warga tempatan serta lima lelaki dan dua wanita warga Iran yang ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas manakala selebihnya di kediaman masing-masing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, suspek raja dadah berusia 46 tahun itu dikategorikan sebagai pengedar ‘terulung’ dalam kalangan warga Iran di negara ini.

“Kita percaya dadah itu dise-ludup melalui salah satu pelabuhan negara ini. Sindiket ini bertanggungjawab menyeludup syabu dalam kuantiti yang banyak sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Noor Rashid memberitahu, seorang keldai dadah Afrika Selatan berusia 60 tahun ditahan pihak berkuasa ketika cuba menyeludup 2.1 kilogram syabu bernilai RM200,000 yang diso-rokkan dalam sebuah kotak biskut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

“Ini merupakan taktik baharu pengedar dadah antarabangsa dengan merekrut orang suruhan berkulit putih khususnya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” ujarnya yang memberitahu, kesemua suspek bagi kedua-dua kes tersebut direman selama tujuh hari bagi siasatan di bawah seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.