Namun dalam perjuangan politik, sifat kerengga perlu dijauhi kerana walaupun nampak cantik dan segak pada luarannya tetapi serangga itu mempunyai sifat buruk, iaitu suka memancut cecair kepada sesiapa sahaja jika buah yang dihurung cuba diambil.

Bagi Pengerusi Tetap UMNO, Badruddin Amiruldin, tabiat suka menghurung buah dan memancut cecair yang beliau labelkan sebagai ‘kencing’ perlu dibuang jauh-jauh dalam perjuangan UMNO jika semua pihak mahu parti menjadi kukuh.

“Saya nak habaq (beritahu) kat (kepada) Puteri, Pemuda dan Wanita jangan jadi semut kerengga. Badan cantik, pinggang ramping, misai dok (pun) ada (tapi) perangai kotor. Dia hurung buah, bukan boleh makan tapi bila kita ambil, dia kencing dalam mata kita.

“Lebih teruk kalau kerengga masuk dalam kain, dia ketik (gigit) merata. Dalam UMNO jangan ada semut kerengga, semut api takpa (boleh), semut hitam pun (kerana) dia dok hurung gula sahaja, habis gula kena kencing manis, tapi kencing manis ada ubat.

“Tapi kalau kencing kawan tiada ubat. Jadi dalam perjuangan kena ada solidariti, jangan kencing kawan,” katanya ketika memberikan analogi kerengga bagi memperingatkan seluruh ahli UMNO ketika mempengerusi Perhimpunan Agung UMNO, 2014 di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun memuji langkah Pergerakan Puteri UMNO menubuhkan Barisan Semut Api bagi mengatur strategi untuk menepis propaganda, penipuan dan fitnah dalam media sosial kerana jelas Badruddin, sifat semut api adalah setia serta tidak suka membuat kacau.

Katanya dalam bahasa berkias, semut api adalah serangga yang taat kepada ketua, gemar berjalan beriringan mengikut susunan langkah dan walaupun gigitannya memeritkan tetapi semut tersebut hanya mempertahankan diri jika ada pihak cuba mengancam.

Terdahulu, wakil Puteri UMNO, Nazliah Ali, ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden menjelaskan, nama semut api dipilih kerana serangga itu mengajar manusia tentang budaya positif dalam hidup.

“Melalui perjuangan semut api, kami akan terus mendekati orang muda khususnya wanita muda. Kami insya-Allah akan membersihkan pemikiran mereka agar tidak terpedaya dengan pembohongan daripada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.