Selasa, 8 November 2022

PILIHAN RAYA FEUDAL DAN MODENITI


PILIHAN RAYA 

 FEUDAL DAN MODENITI


Saya yakin ketika Zahid Hamidi meninggalkan Universiti Malaya dan menjadi ahli parti United Malays National Organisation dia  tidak ada niat untuk terlibat dalam rasuah.  Melibatkan diri dalam rasuah bukan niat dan cita cita Zahid.

Ketika Najib mengambil alih kerusi Parlimen Pekan sesudah ayahanda Tun Razak meninggal dunia Najib  juga tidak ada niat untuk terlibat dalam rasuah.


Malah pada hemat saya semua calon dari semua parti politik dan bakal YB yang kali pertama bertanding tidak memasang niat untuk terlibat dalam rasuah.

Semua memiliki idealisme untuk membantu rakyat. Untuk memperbaiki negara.  Bersemangat berjuang untuk nusa dan bangsa.

Jika dari awal tidak ada niat rasuah kenapa pada ketika ini kita lihat hampir  semua parti politik wujud sosok-sosok  yang dikenali sebagai Kluster Mahkamah.

Najib dan Zahid masih dalam perbicaraan. Azeez  Rahim kes tergantung. Bung Mokhtar kes masih belum selesai. Mereka ini contoh terbaik  Kluster Mahkamah dari United Malays National Organisation.

Lim Guan Eng  dari DAP terlibat sama . Awalnya kes beli rumah dan kini masih berhadapan dengan  kes terowong.

 Haji Hadi  dari parti Islam terlibat dengan kes duit 90 juta  ringgit.  Kes ini bocor dan di lapur oleh portal berita Sarawak Report. Kes ini menjadi kes besar hingga dibawa ke mahkamah di London. 

Manakala Amanah dengan kes bekas Setiausaha Politik  kepada Presiden Parti Amanah - Saudara Mat Sabu. Ini kes keterlibatan dalam mengambil dana politik.

Malah Syed Sadiq  dari  parti politik MUDA – parti politik baru dan  muda – juga terlibat. Syed  Sadiq sendiri masih muda baru setahun jagung dalam politik  akan dihadapkan ke mahkamah kerana kes dana parti masuk akaun peribadi.

Hakikatnya semua parti politik ini ada wakil yang menjadi ahli  Kluster Mahkamah.

Kenapa para YB yang mewakili parti politik terlibat dalam rasuah. Malah parti yang menyebar perintah  Allah seperti Parti Islam PAS juga terlibat dalam kes rasuah.  

Apakah mereka tidak ada pegangan agama ? Tidak tahu salah dan benar ? Apakan kompas moral  mereka telah mandul.

Saya dari mazhab yang tidak percaya bahawa agama sahaja dapat membanteras  aktiviti rasuah ini.  

Hujah saya amat mudah. Ancaman dibakar oleh api neraka yang diajukan oleh Islam  telah gagal menghalang rasuah. Malah janji untuk mendapat Bidadari bermata jeli terbukti telah gagal  sama. 

Janji molek-molek dan ancaman ganas  dari ajaran agama jelas telah gagal menghalang rasuah.

Justeru pada hemat saya pasti  ada perkara yang lain dari ancaman neraka atau janji syurga yang dapat menghalang rasuah.

Saya berani berkata demikian kerana di negara seperti Sweden, Denmark atau Finland – para politikus dari negara ini amat jarang kita  baca dalam media dunia yang mereka terlibat dalam  rasuah.

Politikus dari negara-negara Nordic ini ramai  yang tidak beragama. Mereka tidak percaya dengan wujudnya Allah dan Tuhan. Mereka minum arak, makan babi, mengamalkan hubungan sex tanpa kahwin dan merayakan perkahwinan sesama jantina.

Seyogia diingati  mereka rata-rata tidak terlibat dalam rasuah. 

Justeru ini membuktikan agama telah gagal membanteras  rasuah seperti di Malaysia atau Indonesia atau Pakistan atau Bangladesh. Ada diantara negara ini yang kelim negara Islam. Saban hari  Ustaz dan Mullah tidak henti-henti mengancam dibakar umat dengan api neraka dan menjanjikan Bidadari di syurga.

Untuk saya yang melorongkan Zahid, Najib, Aziz , Hadi , Syed Sadiq atau Lim Guan  Eng  ke dalam kancah rasuah adalah struktur politik mengundi atau electoral politic.

Jangan silap faham saya bukan menghalalkan kerja rasuah dari para politikus ini. Saya bukan meminta maaf bagi pihak  mereka.  Rasuah tetap rasuah. Rasuah tetap salah.

Apa yang saya cuba lakukan ialah membuka satu jalur analisa untuk kita bersama memahami  bagaimana budaya rasuah wujud  berkembang dalam badan politik kita.

Untuk saya struktur  politik mengundi yang wujud  dan yang kita guna pakai hari ini memainkan peranan yang amat penting untuk menjana rasuah.

Semenjak tahun 1955 United Malays National Organistion telah menghempapkan kepada kita semua budaya politik  mengundi yang disira dengan rasuah.

Politik pengundian ini bukan asal dari Tanah Melayu. Konsep Parlimen, Raja Berperlembagaan, Dewan Rakyat dan Dewan Negara ini di hempapkan kepada kita oleh kuasa kolonial Inggeris.

Kerana politik mengundi bukan tanaman asli maka ianya  tumbuh  tempang. 

Politik mengundi – electoral politic – ini berkahwin pula dengan budaya feudal Melayu.   Budaya feudal Melayu ini betul-betul menjadi baja yang menyuburkan rasuah politik dan politik wang.

Ketika United Malays National Organisation menerima sistem pengundian dari Inggeris para protagonis ketika itu tidak tahu hujung pangkal tentang peranan Parlimen dan tugas  para YB. 

Landasan yang wujud pada ketika itu adalah sistem feudal yang telah wujud beratus tahun dalam alam Melayu. Sistem feudal melantik perwakilan dan ketua  telah mantap, teratur, terurus  dan stabil.

Apabila  politik mengundi a la Westminster  London  diguna pakai maka ianya berlandaskan sistem feudal Melayu.

Justeru Para YB dalam lembaga  Parlimen yang moden kini berlagak sebagai pemimpin feudal yang baru. Berlagak sebagai panglima yang bergelar  YB.

 Manakala YB yang menjadi Menteri pula membaca dirinya setaraf seperti Tun Perak. Yang menjadi Menteri Wilayah menganggap dirinya sebagai Datuk Bandar Seri Maharaja.

Anugerah pingat dan derajat  kebesaran seperti Datuk dan Datuk Seri meyakinkan lagi  para YB ini bahawa mereka ada lah panglima bukan ahli Parlimen. 

Justeru para YB kita gagal memahami apa tugas utama mereka.

Tugas YB dalam Parlimen ialah membuat undang-undang dan melakar dasar untuk negara. Perkara ini  tidak diajar oleh kolonial Inggeris masak-masak.

Para YB  telah di bawa melawat  Parlimen di London, masuk ke bangunan Parlimen di Canberra atau di German.   Kerana sudah masuk ke dalam bangunan beberapa buah Parlimen maka para YB dari Malaysia merasa mereka sah dan sahih sebagai ahli Parlimen seperti di Westminster.

Tugas hakiki para YB membaca semua akta, meneliti semua cadangan bil, mengkaji buruk baik akta atau hukum yang ingin diperkenalkan telah mereka abaikan. Melupus hukum yang telah tidak masuk akal untuk terus diguna pakai tidak terlintas dalam kepala mereka.

Kerana gagal memahami tugas YB sebagai pembuat undang-undang – law maker – maka para YB kita kembali merujuk ke budaya feudal yang sedia wujud.

Struktur budaya feudal ini mendorong mereka untuk hadir di kenduri kahwin. Ziarah waktu kematian. Datang ke kenduri lenggang perut.

Bila raya sampai ada mengadakan jamuan Hari Raya. Wajib dilihat  berulang alik ke masjid.  Kalau boleh telah juga ke Mekah. YB Melayu Islam tidak lupa ketayap untuk berzikir dan berzakar. 

Sebenarnya semua ini bukan tugas pembuat undang-undang dalam konteks politik moden.

Bayangkan jamuan Hari Raya – bukan untuk  sepuluh lima belas orang. Yang dijamu beribu-ribu. Ini samalah seperti Raja mengadakan kenduri kahwin puterinya:

Yang capek datang berengsot
Yang kurap mengipas badan
Lembu disembelih darah menganak sungai
Kepala kambing  tinggi membukit
Kerak nasi membusut jantan
Semua datang makan kenduri.

Jika Hari Raya Haji para YB wajib menghadiah lembu  korban. Bukan seekor bukan dua ekor. Berpuluh-puluh untuk  setiap masjid dalam kawasan Parlimen.

Mana duit nak di cekau ?

Woit – sila bayangkan ketika  anak YB berkahwin.  Semua Tun dan Tan Seri menjadi tamu.  Segala saudagar yang kecil dan yang besar di jemput sama.

Apakah kita lupa kenduri anak Najib dan anak Azmin berjalan dalam sebuah  hotel mewah dalam kota Kuala Lumpur. 

Dari mana nak cekau duit.

Di sinilah punca rasuah. 

Para YB  ini mentakrif hadir dalam  kenduri kendara sebagai  tanda YB yang berkhidmat untuk rakyat.  

Untuk YB Melayu Islam bukan hanya diri sendiri wajib dilihat berulang alik ke Mekah. Malah wajib juga  memberi tajaan Si Anu dan Si Anu ke umrah. Ini akan dilihat sebagai YB yang berkhidmat.

Tidak cukup dengan kenduri kendara atau tajaan umrah para  YB juga akan mengadakan pertandingan futsal untuk bakal pengundi muda. Untuk meramaikan keramaian dipastikan ada cabutan bertuah dalam  pertandingan futsal ini. Motosikal sebagai hadiah.

Mana duit  nak di cekau beli motosikal?

Dari sini punca rasuah.

Cara duit rasuah  masuk amat senang. Lagi mudah. Kes Akalbudi Zahid Hamidi memberi kita ilmu pengetahuan tentang bagaimana duit rasuah masuk. 

Saya agak hampir semua menteri kabinet telah mendirikan Yayasan.

 Zahid dengan Yayasan Akalbudi. Anwar Ibrahim dengan Yayasan Aman. Shahidan dengan  Yayasan Pok dan Kassim. Najib dengan Yayasan Noah. Mail Bera ada Yayasan nama  emaknya.

‘Towkay... sila masukan duit itu ke dalam Yayasan... hantarkan secara resmi ke dalam Yayasan.... masukkan cek itu ke dalam Yayasan....’ Ini ucapan lumrah dari para YB.

Duit rasuah masuk. Yang menjadi pendinding ialah Yayasan.  Ini kerana Towkay dan Cukong yang ingin memberi derma semuanya  membuat kebajikan menderma  melalui Yayasan. Tidak ada rasuah disini. Duit dan  dana diterima untuk kebajikan.  Khalas. 

Semua kosher. Semua  halal. Semua legit.  Semua mengikut  lunas undang-undang Khalas.

Woit ! Apabila  Mahathir naik jet peribadi ke Langkawi sapa bayar ? Apabila  Anwar Ibrahim naik jet berceramah ke Alor Setar dia naik jet siapa? Apabila Nurul berkempen di Sarawak Nurul  diterbangkan oleh jet peribadi siapa?

Apabila Mat Sabu membuat jamuan berbuka puasa pada tahun  2018 di Hotel Hilton Petqaling Jaya siapa yang bayar?

Apabila Mail Bera  bawa beberapa  ketua bahagian United Malays National Organisation   bercanda-canda ke New York naik jet  jenis apa dan jet milik siapa?

Mana YB nak cekau  duit nak beli jet.

Dari sini rasuah masuk.

Para Towkay dan Cukong yang memberi dana untuk Yayasan ini adalah pelaburan Orang kaya yang meminjamkan jet peribadi itu juga sedang melabur.

Duit untuk jamuan Berbuka Puasa, jamuan Hari Raya, lembu untuk korban Hari Raya Haji, kenduri anak YB kahwin,  hadiah motosikal untuk futsal semuanya datang dari Towkay dan Cukong.

Ada Towkay  kecil yang hanya melabur hadiah futsal.  Ada Orang Kaya Melayu yang menaja lembu korban.  Ada Melayu kaya yang membeli tiket umrah.

Semua ini pelaburan.

Bila pelaburan ini akan masak untuk dituai?

Menuai pelaburan bermula apabila  YB menang  undi dalam struktur politik undi. YB kini masuk parlimen. Di Dewan Negeri jadi Exco amat dihargai. Terutama yang menjaga lesen. Jika  jadi MB lagi molek.  Kuas untuk sebuah negeri.

Kalau  jadi Menteri lagi cun. Masa menuai telah sampai.

 Apa yang akan dituai oleh Towkay, Cukong Taikun dan Orang Kaya?

Apa pula peranan Pak Cik dan Mak Cik FELDA yang dapat pergi umrah percuma. Apa peranan orang kampung dapat daging korban ketika Hari Raya Haji.  Umrah ini dan daging ini haram ke halal? Jawabnya tunggu minggu hadapan. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/410448



3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bro...perenggan awal lu dah salah baca bro.....ramai anak muda yang terjun ke politik atas pemikiran untuk dapatkan kuasa dan wang.

Dengan pemikiran tersebut bermakna rasuah adalah salah satu jalan yang pasti akan dilalui lah.

Tanpa Nama berkata...

Cantik wahai TT, kupasan MENARIK, hakikat senang hakikat betul molek cakap direct, tarak pushing pusing kah kah kah memang YB kita ini akal pendek, nak buat yang popular, nak famous cepat, kena is minyak Hitam, kena tebang kelapa Sawit, kena mandi bendang, konon nak bersama rakyat, hakikat sebenar tidak, mereka jadi lembu dicucuk hidung atas nama parti bangsa agama, otak kurang oksigen kerana ditekan dinoda diancam kah kah kah nak undi bagi ini, bagi ITU budaya Melayu begitu, nak sokongan kena hulur, nak kerja pasang poster nak pasang benders kena upah, upah makan, upah minum, upah segala gala lah kah kah kah baik baik belaka budaya bukan rasuah cuma pelincir Gris, pelincir minyak supaya kerja jalan amin

Tanpa Nama berkata...

nak ubah sistem ni wajib melalui parlimen.kalo diparlimen ada speaker seperti azhar harun maka cita2 perubahan adalah mimpi basah di siang hari..SPR hanya melaksanakan apa jua dasar/undang2 yg diluluskan diparlimen..ismail sabri cuba menyorokka kepala ketika bah melanda msia dgn mengatakan SPR punya kuasa itu dan ini..namun SPR hanya melakukan apa yg diputuskan perkara diparlimen, ismail zahid kj ada sosok2 diparlimen..apakah mrk cuba membutakan rakyat.cthnya perihal banjir dan bah, sudah dibawa oleh yb2 PH..namun anak haram anak harun ini menafi dan menolak usul..apakah lu fikir semudah menulis utk merombak segala??segala mak nenek media hanya wartawan makan upah..tiada la berani di pangil di interview wakil2 SPR dikaca tv..ketua2 editor sudah diberi ganjaran datodato sri tan sri..malah ada awek media yg dpt habuan rumah di london dan penyedap tim lessner..apakah media begitu berani membawa,membincang perihal ini?sehingga cicit nabi datang ke bumi melayu ni, tiada satu mukjizat hak tertegak melawan kebatilan ..cicit bermuka manis sekadar manis kerana make up..tiada sedikitpun kemanisan cict nabi dpt mngerakkan bulu roma apatah lagi cicit nabi dpt memberi aura kebenaran di bumi melayu asal hindu ini..