Selasa, 10 Januari 2023

KES RASUAH PERIKATAN BELUM DIBUKA



Pengundi Pasir Salak pilih Perikatan kerana jenama segar, bebas rasuah

RATA-RATA pengundi Melayu yang memilih Perikatan Nasional (PN) pada November lalu melihat jenama itu lebih segar dan bebas daripada rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Selain itu, tawaran baharu seperti usaha membangunkan tanaman ketum dan kepercayaan ke atas PN sebagai pembela Melayu dan Islam juga menarik sokongan mereka.

Sentimen ini antara faktor yang membentuk gelombang besar sehingga membolehkan PN merampas 29 kerusi Barisan Nasional (BN) dan 17 kerusi Pakatan Harapan (PH) dalam PRU15.

Fenomena ini dapat dikesan di salah satu kawasan Parlimen dengan majoriti besar Melayu di semenanjung – Pasir Salak di Perak yang dikunjungi The Malaysian Insight.

Kubu BN itu tidak pernah dimenangi mana-mana parti selain gabungan itu sejak kerusi itu ditubuhkan sebelum PRU7 pada 1986 namun dipecahkan PN dalam PRU15.

Seorang pengundi Pasir Salak yang mahu dikenali sebagai Salleh berkata beliau menyokong PN dalam PRU15 kerana gabungan itu membawa mesej membela Melayu dan Islam.

Pengundi Chenderong Balai itu berkata beliau sebelum ini mengundi BN tetapi memilih PN pada kali ini kerana melihat gabungan itu bebas dari penyalahgunaan kuasa.

Ketika ditemui, Salleh berkata beliau percaya akan mendapat keberkatan hidup dan jaminan di akhirat apabila mengundi PN selepas hilang kepercayaan ke atas BN.

Walaupun BN masih dipimpin orang Melayu dan Islam, pemimpinnya didapati melakukan salah guna kuasa dan dijatuhi hukuman penjara seperti bekas perdana menteri Najib Razak, kata beliau.

“Kita nak tengok kerajaan Islam dan Melayu ditegakkan. Dengan itu kita nak mengundi kumpulan ulama. Itu dah tentulah, seeloknya undi ulama.

“Najib juga dah dijatuhi hukuman, sebab itu orang kurang berminat mengikut BN lagi, itu pun satu faktor juga, tidak dinafikan (salah guna kuasa) itu juga punca (tolak BN).

“Kita kalau dah tak percaya kat pemimpin pasti akan beralih arah. PN itu Islam, kita nak kerajaan Islam dan Melayu, sebab itu kita sokong PN,” kata juruteknik swasta itu lagi.

Malah, calon PH Nik Omar Nik Abdul Aziz yang merupakan anak kepada bekas mursyidul am PAS juga tidak dapat menyaingi calon PN yang kesemuanya terdiri dari anak jati Pasir Salak, katanya.

“Nik Omar itu pun ulama juga tapi dia bukan anak tempatan, sebab itu kita lagi suka pilih PN,” katanya.

Seorang lagi pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul berkata, beliau juga tertarik dengan tawaran PN selain imej gabungan itu dilihatnya bersih dan bebas rasuah.

Tambahnya, dia berminat untuk mengundi PN kerana perwatakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang menurutnya berani memperjuangkan sektor pertanian berasaskan ketum.

Katanya, Sanusi satu-satunya pemimpin yang berani bersuara untuk menjadikan tanaman itu sebagai sumber pendapatan tambahan penduduk kampung.

“Ketum mampu menjana duit sampingan, tapi PN berani janji untuk bantu pertanian menggalakkan pertanian ketum, untuk eksport ke luar negara.

“Kedah, Perlis kita nampak semua sokong PN. Sebab itulah menteri besar mereka sokong (cadangan benarkan eksport ketum),” katanya.

Kawasan tanaman ketum itu jelas kelihatan di sepanjang jalan dari Teluk Intan ke Pasir Salak dan menurutnya mampu menjadi sumber pendapatan baharu kepada masyarakat tempatan, katanya.

“(Ketum juga dijadikan teh. Itu sudah janakan ekonomi. Kita boleh jadikan ketum sebagai sumber ekonomi baharu, seperti kita jadikan kelapa sawit sebagai salah satu sumber negara dahulu.

“Sebab itu di Kedah, dan Perlis semua sokong PN. Mereka sokong perkara macam ini, sebabnya ekonomi orang Melayu. Itu yang buatkan orang seperti saya berminat,” katanya.

Sanusi dalam kempen PRU15 lalu membayangkan beliau akan berusaha membolehkan ketum menjadi sumber eksport negara sekiranya PN berjaya menubuhkan kerajaan.

Katanya, langkah itu dijangka mampu membantu menjadikan tanaman itu sebagai sumber pendapatan tambahan petani kawasan tersebut.

Kelebihan calon PN sebagai anak tempatan turut diakui anggota jentera BN yang melihat calon parti tersebut banyak menyampaikan ceramah agama di surau dan masjid sekitar Pasir Salak.

Anggota jenteria itu, Kamaruzzaman Kamaruddin berkata, Jamaluddin Yahya yang menang kerusi Pasir Salak merupakan guru di sebuah sekolah di Pasir Salak dan ketua Pemuda PAS kawasan.

Seorang lagi, Zafarul Azhan Zan yang menang kerusi DUN Kampung Gajah dalam PRU15 juga sering berceramah di masjid, katanya.

“Ceramahnya tidak menyentuh isu politik, dia mengajar agama tetapi masyarakat setempat kenal dengan mereka,” katanya yang menambah, kedua-dua berkelebihan sebagai anak tempatan.

Zafarul mula mencabar penyandang kerusi DUN Kampung Gajah Tajuddin Abdul Rahman dalam PRU14 dan kemudian menang kerusi itu pada November lalu dengan majoriti 3,757 undi.

PN juga menang kerusi Sungai Manik, salah satu DUN dalam Parlimen Pasir Salak apabila calon penyandang Zainol Fadzi Paharuddin mengekalkan kemenangannya.

Zainol menang kerusi itu dalam PRU14 namun menyertai Bersatu dan kekal mempertahankan kerusi itu dalam PRU15.

Mengulas lanjut, Kamaruzzaman tidak menolak pengguguran Tajuddin yang menyandang kerusi Pasir Salak sejak 2004 juga antara faktor pengundi BN tidak memilih calon ganti.

Tajuddin gagal mengekalkan kerusi itu selepas digugurkan dari senarai calon BN dan turut digantung keahlian Umno selama enam tahun.

Ia dipercayai berkait dengan krisis beliau dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada tahun lalu kerana menyokong Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob, perdana menteri waktu itu.

“Mungkin ada pengundi yang kecewa Tajuddin tidak dicalonkan, mereka tidak mengundi,” katanya.

Sokongan ke atas BN dilihat mulai surut sewaktu kempen PRU15 walaupun Tajuddin yang lantang bersuara terus membantu kempen Khairul Azwan, kata Kamaruzzaman.

“Waktu itu kita nampak suasana tidak ada masalah, tetapi ada beberapa kawasan yang (sokongannya) sayup-sayup. Mungkin itu petandanya,” katanya.

Selain itu, rekod buruk BN di Pasir Salak dalam PRU15 juga disebabkan kegagalan gabungan itu  memastikan pengundi putih mereka keluar mengundi.

Beliau memerhatikan demikian kerana melihat BN tewas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mempunyai bilangan pengundi melebihi 1,000 orang di Pasir Salak.

“Kita boleh menang setakat di PDM yang mempunyai pengundi sekitar 700 hingga 800 orang sahaja seperti di Chenderong Kelubi dan Paloh Pacat, yang pengundinya sekitar 800 orang.

“Kawasan PDM besar seperti Kampung Gajah, Seberang Perak, kita kalah,” katanya, merujuk kawasan penduduk di sekitar Changkat Lada, yang dihuni pengundi tanah rancangan Felcra.

“Apabila peti undi dari kawasan itu masuk, BN bungkus. Ibaratnya kalau kita menang di 10 PDM lain pun, takkan mampu menyaingi bilangan undi di kawasan berkenaan,” katanya lagi.

Tambahnya, PDM Chenderong Kelubi yang merupakan kawasan penduduk Orang Asli juga pada kebiasaannya menjadi pengimbang undi untuk BN dalam setiap PRU.

“Kalau ada PDM yang kurang, setakat 100 hingga 200, undi mereka boleh tampung. Tetapi kali ini habis,” kata Kamaruzzaman yang turut membantu kempen BN dalam PRU15 lalu.

BN pada awalnya dikatakan mendapat sokongan 40,000 pengundi putih daripada sekitar 74,000 keseluruhan pengundi Pasir Salak yang majoritinya merupakan pengundi Melayu.

Namun begitu, calon BN Khairul Azwan Harun yang juga timbalan ketua Umno Pasir Salak tewas di tangan calon PN Jamaluddin Yahya yang merampas kerusi itu dengan majoriti sekitar 5,000 undi.

Dalam pertandingan empat penjuru itu, Jamaluddin meraih kira-kira 24,800 undi diikuti Azwan dengan sekitar 19,800 undi dan calon PH Nik Omar Nik Abdul Aziz dengan kira-kira 11,600 undi.

Calon Pejuang Zairol Hizam Zakaria pula sekadar menang 549 undi.

Seorang lagi pengundi yang ditemui mengakui BN hanya mampu menang di saluran satu, iaitu saluran pengundi berumur, yang dikenali sebagai penyokong kuat mereka.

Saluran dua dan seterusnya pula terdiri dari kumpulan pengundi yang berusia lebih muda.

“Kita menang saluran satu, saluran dua dan tiga banyak yang kalah,” katanya yang menjadi petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam PRU15.

Walaupun BN tewas seluruhnya di Pasir Salak, wakil rakyat PN kekal menjadi pembangkang di Parlimen dan negeri Perak, yang melegakan penyokong Umno seperti Kamaruzzaman.

“Kami reda kami kalah, tapi dalam kalah itu kita BN masih lagi memerintah. Allah Maha kaya.
Di kawasan sini memang kita memang pembangkang tapi di peringkat pusat masih ada Umno (dalam kerajaan).

“Keadaannya menang jadi pembangkang, yang kalah jadi kerajaan, peruntukan juga masih turun melalui penyelaras Parlimen dan DUN.

“Apa yang berlaku sebenarnya adalah gelombang, bukan kita tak buat kerja. Saya buat kerja, memang tak pernah gagal, kita buat kerja tapi nampak ketara gelombang terlalu besar,” katanya.

Walaupun hanya menang 30 kerusi Parlimen, BN masih menjadi sebahagian daripada kerajaan campuran bersama PH pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – 10 Januari, 2023.

GEROMBOLAN

DITOLAK

KERANA RASUAH

AMIN

ZAHID HAMPIR

KALAH 

AMIN

INI TANDA

YANG BAIK

AMIN

RAKYAT PILIH

PERIKATAN

AMIN

INI KERANA

MEREKA BELUM

TAHU KES

RASUAH ULAMAK

PEMIMPIN PAS

DAN BERSATU

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: