Rabu, 1 Februari 2023

HUTANG KELILING PINGGANG


Ramai belia berhutang kerana inflasi, kos sara hidup

LEBIH ramai belia tampil berkongsi masalah kewangan yang dihadapai mereka selepas tinjauan baru-baru ini mendedahkan majoriti golongan itu berhutang.

Bercakap kepada The Malaysian Insight golongan ini memberitahu mereka dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi dan sukar untuk membayar pinjaman.

Malah mereka menggesa kerajaan membuat skim khas untuk membantu membayar hutang berkenaan.

Kajian dijalankan pusat penyelidikan Universiti UCSI yang dikeluarkan semalam mendedahkan 73% belia berhutang dan tidak mempunyai modal yang mencukupi untuk komitmen kewangan.

Ia menekankan beberapa punca utama golongan belia mengambil pinjaman bank – kekangan kewangan, inflasi dan mahukan gaya hidup mewah.

Pensyarah UCSI Dr Hassanudin Mohd Thas Thaker berkata kajian itu juga mendapati kebanyakan pinjaman diambil bertujuan membeli kenderaan, untuk pendidikan dan juga pinjaman pembiayaan perumahan.

Pemandu e-hailing Mohd Azril Rahmat, 38, berkata tinjauan itu tepat kerana dia sukar menguruskan kewangan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Menurutnya pada masa ini dia sedang membuat pinjaman rumah, kereta, Amanah Saham Bumiputera dan insurans peribadi.

Azril dari Segambut di Kuala Lumpur berkata pada bulan yang baik dan dengan masa yang panjang dia boleh memperoleh sehingga RM6,000 tetapi komitmen bulanannya ialah RM4,000.

“Saya tidak mampu untuk membeli apa-apa barangan yang tidak diperlukan. Jika saya membeli-belah saya akan membeli di kedai dalam talian yang menawarkan ansuran.

“Baki RM2,000 juga digunakan untuk bil makanan dan utiliti. Jadi gaji saya habis untuk semua komitmen bulanan saya,” katanya.

Berkenaan bantuan yang diberikan kerajaan, Mohd Azril berkata dia masih belum mendapat apa-apa manfaat daripadanya.

“Semasa pandemik Covid-19 kami mendapat sedikit bantuan, tetapi setakat ini kami tidak mendengar apa-apa,” katanya.

Benarkan pengeluaran KWSP

Turut berdepan masalah sama ialah P. Ramachandran, seorang eksekutif pemasaran berusia 37 tahun yang baru diterima bekerja di sebuah syarikat pengiklanan.

Ramachandran mendedahkan dia kehilangan pekerjaan pada 2020, dua bulan selepas Covid-19 melanda negara.

Disebabkan masalah kewangan Ramachandran tidak dapat membayar pinjamannya terutamanya pinjaman pendidikan.

“Selepas tamat pengajian saya bekerja dan mampu membayar pinjaman pendidikan secara beransur-ansur. Kemudian saya membeli kereta tempatan secara pinjaman bank.

“Beberapa tahun kemudian saya membeli sebuah lagi kereta atas nama saya untuk ibu bapa. Tetapi apabila wabak melanda kontrak saya ditamatkan dan saya tidak mempunyai pekerjaan. Saya ingin bekerja sebagai pemandu e-hailing tetapi ibu bapa saya bimbang keselamatan saya susulan wabak itu.

“Saya terima tawaran kerajaan dan membawa keluar wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Tetapi untuk pulih daripada masalah kewangan bukanlah mudah. Saya secara peribadi berpendapat kerajaan mesti membenarkan sekali lagi pengeluaran bagi mereka yang mempunyai baki yang cukup dan ingin membayar hutang sama ada peribadi, pinjaman kereta atau bil kad kredit untuk mengelak dari dikenakan kadar faedah yang tinggi,” katanya.

Menganggap dirinya sebagai individu M40, Ramachandran berkata mereka dalam kategori B40 dan M40 sering diabaikan semasa pengumuman bajet.

“Terdapat lebih banyak bantuan di luar sana untuk PKS (perusahaan kecil dan sederhana) tetapi tidak ada apa-apa untuk individu dalam kategori ini.

“Hanya memberi pengecualian cukai tambahan setiap tahun tidak akan membantu mereka keluar daripada masalah kewangan. Pekerja syarikat swasta bertahun-tahun tanpa kenaikan gaji atau bonus yang sewajarnya. Mungkin kerajaan boleh melihat perkara ini,” katanya.

Daripada 1,077 responden yang ditemui dalam tinjauan UCSI, 73% daripadanya mempunyai pinjaman kewangan. Ini menunjukkan kira-kira tiga per empat belia Malaysia tidak mempunyai modal mencukupi untuk komitmen kewangan.

Walaupun angka peminjam dalam kalangan belia membimbangkan, 83% daripada mereka dapat membayar ansuran bulanan pinjaman tepat pada masanya.

“Kenderaan dan pendidikan adalah faktor utama belia membuat pinjaman. Amat membimbangkan kerana menurut Jabatan Insolvensi, pinjaman kenderaan (14.39%) faktor kedua bankrap selepas pinjaman peribadi (42.24%) pada 2022,” kata Hassanudin yang merupakan Ketua Pengajian Penyelidikan dan Pasca Siswazah, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan UCSI

Hassanudin berkata pandemik Covid-19 memainkan peranan penting dalam menyebabkan kekangan kewangan golongan belia.

Katanya belia tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk memulakan kehidupan baharu mereka, di mana akhirnya menyebabkan mereka membuat permohonan pinjaman wang.

Sharifah Nor Idayu pula berkata ketika inflasi meningkat gaji kebanyakan rakyat Malaysia tidak berubah.

Beliau berkata ramai keluarga berpendapatan miskin boleh mendapat manfaat daripada pendidikan percuma jika kerajaan serius membantu golongan terpinggir.

“Kos sara hidup tinggi, inflasi berlaku. Tapi gaji saya tak naik. Bukan semua orang dapat bantuan wang tunai kerajaan.

“Ada yang benar-benar memerlukan tetapi tidak dapat pemberian wang tunai kerana birokrasi atau karenag birokrasi.”

“Pendidikan sentiasa menjadi beban. Sebaik sahaja anda tamat belajar anda berhutang. Dengan kadar faedah yang tidak perlu, pinjaman pelajar sepatutnya membantu, bukan menimbulkan lebih banyak masalah.

“Jika kerajaan boleh mencari jalan untuk menangani isu ini, saya rasa ramai yang akan mendapat manfaat daripadanya,” katanya. – 1 Februari, 2023.

WOIT

ALONG BERLESEN

SENTIASA SEDIA

BERI PINJAMAN

AMIN

BELI MOTO

BELI TALIFON

TANPA BANYAK

SOAL SIASAT

AMIN

KALAU GAGAL

BOLEH BUAT

JANJI BARU

TAK HAL

AMIN

YANG INI

MUNGKIN

MENTERI

BELUM TAHU

KAH KAH KAH

AMIN

Tiada ulasan: