Rabu, 11 Januari 2023

SAPA TIAN CHUA INI ?


Tian Chua: Aktivis terbilang yang terbuang

FOTO Tian Chua duduk bersila di hadapan truk penyembur air kimia Federal Reserves Unit (FRU) ketika gerakan reformasi sedang memuncak kira-kira 24 tahun lalu akan terpahat dalam memori sejarah bangsa sampai bila-bila.

Ia bukan sekadar foto ikonik yang lebih kurang sama bentuknya yang mengingatkan kita kepada pemuda tak bernama yang berdiri di hadapan kereta kebal dalam peristiwa pembunuhan besar-besaran Dataran Tiananmen China 1989.

Ia juga bukan hanya sekadar foto yang mengungkapkan suasana politik perlawanan di zaman reformasi setelah Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Tidak juga sekadar sebuah rakaman perjalanan perjuangan demokrasi di Malaysia. Lebih daripada itu, ia sebuah foto yang menampilkan iltizam seorang anak muda pemberani bernama Tian Chua untuk menempa proses pembinaan sebuah bangsa – Bangsa Malaysia.

Reformasi 1998 pada umumnya adalah sebuah gerakan yang disertai rata-ratanya oleh masyarakat Melayu yang tersentak dengan layanan yang dianggap zalim, kejam dan mengaibkan yang dilakukan oleh regim Mahathir ke atas Anwar Ibrahim.

Tidak ramai anggota masyarakat Tionghua atau India yang terlibat. Ia dianggap sebagai isu Melayu. Melayu sama Melayu bergaduh politik, bukan Melayu usah masuk campur. Ini sentimen umum yang terdapat dalam masyarakat bukan Melayu pada ketika itu.

Tetapi tidak bagi Tian Chua, pemuda Tionghua yang benar-benar berjiwa Malaysia.

Ketika ramai aktivis politik bukan Melayu pada waktu itu melakukan perlawanan simbolik terhadap apa yang mereka anggap sebagai “hegemoni Melayu” dengan menolak pemakaian simbol-simbol keMelayuan seperti songkok, baju Melayu dan seumpamanya, Tian Chua mengambil pendirian yang berbeza.

Beliau tampil bersongkok dan berbaju Melayu lengkap dengan samping, dan berpidato dalam bahasa kebangsaan yang fasih di perhimpunan-perhimpunan politik pembangkang.

Walaupun mengenakan kelengkapan sarana-sarana keMelayuan mungkin dianggap remeh oleh ramai orang, ia cukup memberi penanda khususnya buat masyarakat Melayu terbanyak bahawa Tian Chua benar-benar faham bahawa Malaysia di sebalik segala kerencaman budaya, agama, etnik dan bahasanya adalah sebuah negara-bangsa berteraskan Melayu.

Kerana itu juga Tian Chua tidak memilih DAP sebagai wadah politik beliau, sebaliknya PKR sebuah parti berbilang etnik tetapi berteras dan berkepimpinan Melayu sebagai pilihannya.

Justeru, tidaklah menghairankan pada zaman reformasi Tian Chua dianggap sebagai sosok yang berjaya mendakap dan didakap oleh gerakan reformasi khususnya dalam kalangan aktivis-aktivis muda yang muncul ketika gerakan reformasi bermula dan menjadi sosok ikonik buat anak-anak muda rentas budaya, rentas agama, rentas etnik dan rentas bahasa, dalam perlawanan menentang regim Mahathir ketika itu.

Tian Chua bukan sekadar terjun ke dalam gelombang gerakan reformasi, bahkan menyelam ke lubuknya yang terdalam. Dalam proses tersebut bukan sedikit penderitaan mental dan fizikal yang dilaluinya.

Ditangkap, dipukul, dicederakan, disumbat ke dalam lokap berkali-kali dan kemuncaknya ditahan tanpa bicara di Kem Tahanan Kamunting selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Foto-foto dan video yang menunjukkan bagaimana beliau dicekak bajunya dan diseret dengan kasar serta ganas ke truk FRU, menjadi bukti bagaimana aktivis politik berketurunan Tionghua itu memberikan seluruh jiwa dan raga beliau kepada suatu perjuangan yang bukan hanya untuk demokrasi tapi juga untuk membina sebuah bangsa yang masih dalam proses mencari identitinya.

Identiti kebangsaan sebahagiannya terbentuk daripada memori kolektif yang ditempa bersama-sama. Itulah yang dilakukan oleh Tian Chua tanpa beliau sendiri menyedarinya.

Ramai yang mungkin melihat Tian Chua hanya dari sudut perjuangan politik beliau yang memberikan nafas lebih panjang buat gerakan demokrasi di Malaysia.

Namun buat saya sendiri, Tian Chua bukan hanya pemberi nafas buat demokrasi tetapi juga pemberi nyawa kepada proses pembinaan memori kolektif bersama yang merentasi perbezaan budaya, agama, etnik dan bahasa untuk bangsa kita, bangsa Malaysia yang masih di dalam pembikinan. Tian Chua adalah antara pembikinnya.

Kendati pun, sebagai manusia tentunya Tian Chua bukanlah sosok yang sempurna. Dalam perjalanan politik beliau yang panjang serta penuh onak dan duri, muncul peristiwa-peristiwa khususnya dinamika-dinamika dalaman parti beliau (PKR) yang menyudutkan beliau sehingga beliau terpaksa membuat pilihan-pilihan yang tidak strategik buat karier politik beliau sendiri.

Kemunculan fraksi-fraksi politik di dalam PKR yang saling bersaing untuk menempatkan diri masing-masing di dalam kedudukan kuasa menjadikan pertimbangan-pertimbangan politik yang perlu dibuat cukup merumitkan.

Dalam kerumitan dinamika dalaman parti PKR inilah yang akhirnya menyebabkan Tian Chua terpaksa membuat pilihan dan pilihan beliau itu akhirnya menyisihkan beliau daripada kedudukan arus perdana kuasa di dalam PKR.

Dilihat sebagai “orang Azmin” dan dicop oleh seteru-seteru beliau dalam PKR sebagai “pengkhianat”, beliau beransur-ansur terbuang dari koridor kuasa dalaman PKR walaupun beliau pernah menjawat jawatan Naib Presiden PKR sehingga penggal 2021.

Tidak dicalonkan sebagai calon parlimen di sebarang kawasan pada PRU15 yang baru lepas, Tian Chua membuat keputusan yang pada hemat saya fatal untuk karier politik beliau bersama PKR apabila bertindak untuk menjadi calon bebas menentang partinya sendiri di kawasan parlimen Batu.

Tentunya mana-mana parti sekali pun, takkan mungkin dapat menerima tindakan daripada anggotanya yang menentang calon parti sendiri di dalam pilihan raya. Tian Chua tentunya sudah maklum akan kesan daripada tindakan tersebut.

Justeru, apabila Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR membuat keputusan memecat beliau daripada parti, ini tentunya bukanlah sesuatu yang tidak dijangkakan. Bersama beliau, terdapat empat lagi anggota PKR lain yang turut dipecat atas kesalahan yang sama, yakni bertanding sebagai calon bebas pada PRU15 lepas tanpa persetujuan parti.

Dalam kenyataan balas merujuk kepada keputusan MPP PKR tersebut, Tian Chua menegaskan beliau mengambil tanggungjawab di atas semua tindakan yang telah dilakukan oleh beliau itu dan tidak mempertikaikan kuasa kepimpinan PKR.

Namun, beliau mempersoalkan tindakan keras yang diputuskan itu seolah-olah bertentangan dengan arus rekonsiliasi dan keterangkuman dalam suasana politik terkini.

Dengan kata lain, apa yang ingin ditegaskan oleh Tian Chua mungkin adalah kepimpinan PKR sanggup untuk mengetepikan permusuhan dengan Umno yang dimusuhi dan dikecam mereka sejak 24 tahun yang lalu, tetapi tidak sanggup untuk berdamai dengan seorang aktivis politiknya sendiri yang juga selama 24 tahun telah berkorban jiwa dan raga untuk memperjuangkan idealisme reformasi yang diangkat oleh PKR.

Namun, pada hemat saya dalam konteks organisasi parti politik yang punya aturan dan disiplinnya, tidak memecat Tian Chua bukanlah suatu pilihan untuk parti.

Tidak memecat memberi isyarat bahawa bertanding di pilihan raya atas tiket bebas melawan parti sendiri adalah dibenarkan.

Tidak memecat juga akan menjadikannya sebagai duluan (precedent) yang pastinya akan menjejaskan reputasi dan mengkucar-kacirkan aturan serta disiplin parti.

Namun begitu, dalam surat pemecatan yang dikeluarkan oleh PKR tersebut, Tian Chua masih diberikan peluang untuk membuat rayuan dalam tempoh 14 hari.

Apakah Tian Chua akan mengemukakan rayuan, tidak pula dinyatakan oleh beliau dalam kenyataan balasnya itu.

Buat saya, Tian Chua bukanlah anggota biasa-biasa dalam PKR. Beliau adalah sosok yang telah menyumbang jasa dan bakti yang besar bukan hanya kepada parti tetapi juga kepada perjuangan demokrasi serta terlibat secara langsung di dalam proses menempa memori kolektif bersama untuk membina bangsa Malaysia.

Malahan, beliau turut membayar dengan harga yang mahal demi keyakinannya terhadap idealisme reformasi, apabila kebebasannya dirampas dan dibungkam selama dua tahun tanpa sebarang perbicaraan di Kem Tahanan Kamunting.

Justeru, kes Tian Chua pada hemat saya adalah unik dan jika sekiranya beliau mengemukakan rayuan, maka pertimbangan-pertimbangan ini perlulah diambil kira di dalam membuat keputusan sama ada memaafkan beliau sepertimana PKR memaafkan Umno atau meringankan hukuman ke atas beliau dengan penggantungan sementara untuk suatu tempoh yang munasabah.

Seorang sahabat saya, Mohd Azizi Jaeh, yang juga seorang penulis di pojok Suara, The Malaysian Insight, berkongsi petikan dari sebuah buku yang menampilkan cuplikan sepucuk surat yang dikarang oleh Tian Chua buat seorang temannya ketika beliau masih mendekam di Kem Tahanan Kamunting. Petikan daripada surat itu merujuk khas kepada Anwar Ibrahim:

“Saudara kita perlu diyakinkan supaya lebih terangkum. Saya ingin memetik kata-kata mutiara Cina yang masyhur, yang saya percaya saudara kita, Anwar Ibrahim, barangkali sudah mendengarnya: Gunung Tai (yang bermaksud Gunung Agung) tidak pernah menolak sebarang tanah, kerana itu ia menjadi tinggi; lautan agung juga tidak pernah menyisihkan sebarang anak sungai, kerana itu ia menjadi luas.

“Kata-kata ini diungkapkan oleh Li Si, Perdana Menteri kepada Qin, dinasti pertama yang berjaya menyatukan China (Maharajanya ialah Shi Huangdi).

“Terdahulu sebelumnya, tatkala Qin mengetahui adanya pengintip di kalangan pegawai-pegawai asing, beliau memutuskan untuk mengusir semua orang-orang asing dari wilayah kekuasaan Qin. Li Si menukilkan kata-kata tadi dalam surat rayuannya membantah keputusan Maharaja mengusir orang asing.

“Surat beliau itu, mengubah fikiran Maharaja dan Li Si kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri. Semenjak itu, Qin melaksanakan dasar pintu terbuka untuk menarik lebih ramai cendekiawan dari pelbagai bangsa, dan akhirnya ia muncul sebagai kuasa yang berjaya menyatukan seluruh wilayah China.

“Kata-kata ini kemudiannya sering kali digunakan oleh Wang Anshi, seorang reformis yang dikagumi oleh saudara kita, Anwar Ibrahim.”

Apakah keputusan MPP PKR jika sekiranya Tian Chua mengemukakan rayuan, pada hemat saya bergantung akhirnya kepada pertimbangan yang akan dibuat oleh presiden parti yang juga Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim.

Tentunya akan ada fraksi-fraksi di dalam PKR yang berseteru dengan Tian Chua, takkan mahu beliau diterima semula di dalam parti, hatta hukuman penggantungan sementara pun takkan mereka terima.

Buat mereka, lebih mudah menerima Umno daripada menerima kembali Tian Chua yang mereka anggap sebagai “pengkhianat” walaupun hakikatnya Tian Chua tetap teguh bersama PKR ketika 10 yang lain bertindak menyertai parti Bersatu, manakala seorang lagi menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Justeru, pertimbangan daripada Anwar Ibrahim, pada hemat saya akan mempengaruhi keputusan akhir MPP PKR jika sekiranya Tian Chua membuat rayuan.

Apakah Anwar Ibrahim akan menjadi Li Si atau sebaliknya, bergantung kepada dinamika perhitungan fraksi-fraksi yang bersaing di koridor kuasa PKR?

Kendatipun, sama ada Tian Chua akan membuat rayuan atau pun tidak, memori kolektif yang telah beliau tempa bersama anak-anak Malaysia yang lain di dalam perjalanan panjang Malaysia membina bangsanya takkan terpadam sampai bila-bila. – 11 Januari, 2023.


GUA TAKDA

KOMEN

AMIN

TAK ADIL

KERANA KAMI

DUDUK BERDUA

SATU TAHUN

DALAM SATU SEL

KHALAS

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tian Chua, kegagalan adalah kejayaan tertangguh. Tewas hari ini tidak beerti tewas hari esok sebaliknya kejayaan lebih besar menunggu dalam detik2 ketewasan. Kipidap.