Saya ada penganut tegar mazhab jalan raya. Justeru saya juga adalah pendakwah untuk menyebarkan teori dan falsafah politik jalan raya sebagai satu wadah politik yang ampuh untuk menukar kerajaan.
Politik jalan raya ini bermakna menunjuk perasaan beramai-ramai di atas jalan raya. Turun beramai-ramai ke jalan raya untuk membantah atau menyokong satu-satu agenda. Kunci politik jalan raya ini ialah : ramai-ramai turun ke jalan raya.
Untuk anak muda yang cool dan counter culture politik jalan raya ialah politik jalanan. Kita berpolitik menunjukkan perasaan di atas jalan raya.
Saya menjadi penganut politik jalan raya ini secara sedar dan tersusun. Kali pertama saya mengikuti politik jalan raya ini pada tahun 1959. Ini ketika saya dalam darjah tiga Sekolah Umum Kuala Klawang B Jelebu.
Kesahnya begini: Saya membesar di daerah Jelebu Negeri Sembilan. Di Jelebu kami ada Datuk Undang. Datuk Undang ini akan dilantik bergilir-gilir mengikut adat Perpatih. Ada tiga Perut (keluarga) dari kalangan suku Biduanda yang boleh dilantik untuk menjadi Undang Jelebu. Ada Perut Kemin, Perut Ulu Jelebu dan Perut Sarin.
Di Negeri Sembilan ada 12 Suku. Hanya sosok lelaki dari Suku Biduanda sahaja yang boleh menjawat kerusi Datuk Undang. Suku Biduanda adalah keturunan Asli Sakai dan Jakun. 11 suku yang lain adalah suku pendatang – imigran dari Sumatera.
Hishamuddin Rais adalah Sakai Jakun dari Suku Biduanda.
Peranan Datuk Undang ialah menjadi kepala adat Perpatih yang kami guna pakai. Kerusi Datuk Undang bukan turun dari ayah ke pada anak. Adat dan jawatan Datuk Undang ini telah diwujudkan semenjak 1757. Undang Jelebu pertama ialah Moyang Salleh. Makamnya tidak juah dari rumah pusaka keluarga kami.
Datuk Undang ketika saya masuk sekolah tahun 1957 ialah Datuk Shahmaruddin dari Perut Kemin. Tertiba berita dan desas desus tersebar Datuk Undang Shahmaruddin mahu mengubah cara pelantikan Datuk Undang Jelebu. Dia mahu anak lelakinya menggantikan bila dia meninggal dunia. Ini melanggar Adat Perpatih.
Ketika ini YB Adun Pertang ialah Aminuddin Manaf. Sosok abang kepada Rais Manaf. Rais Manaf ayah kepada Hishamuddin.
Maka YB ini mula berkempen mengumpul orang untuk menentang niat Datuk Shahmaruddin. Sepupu sepapat saya terlibat aktif menyusun. Sepanduk di buat. Kain rentang dibuat. Biar mati anak jangan mati adat. Ini adalah slogan di sepanduk dan di poster.
Saya memerhatikan semua ini berlaku dalam kampung saya dan di hadapan mata saya.
Pada hari yang ditetapkan hampir 200 orang kampung berhimpun di Pekan Kuala Klawang. Bapa saudara saya Bung Amin ( nama panggilan dari zaman KMM – Kesatuan Melayu Muda ) mengepalai tunjuk perasaan hari itu.
Ketika itu saya sekolah petang. Maka pada pagi itu saya berbasikal untuk bersama menunjuk perasaan.
Kami berarak dari pekan Kuala Klawang lalu di hadapan Balai Datuk Undang di Kampung Mengkan menuju ke Pekan Petaling. Tidak ada alat pembesar suara. Tidak ada megapone. Tapi sepanduk, poster dan kain rentang jelas. Masyarakat Melayu di Jelebu menolak rancangan Datuk Undang untuk menjadikan jawatan Undang sebagai pusaka anak beranak turun temurun.
Dua hari kemudian Utusan Melayu (Jawi) ada laporan berita dan gambar tunjuk perasan di Jelebu.
Kemudian semua senyap. Rancangan untuk menjadikan jawatan Datuk Undang Jelebu sebagai harta turun temurun tidak terdengar buah berita.
Pengalaman ini mengajar saya bahawa tunjuk perasan, demo jalanan atau politik jalan raya ini berjaya. Projek Datuk Undang Shahmaruddin gagal meleset.
Babak ini terus meyakin kan saya jika tahun 1959 Melayu Jelebu berjaya mempertahankan dan menyelamatkan adat Perpatih dengan politik jalan raya maka pada tahun 2025 ini Bani Melayu pasti dapat mempertahankan dan menyelamatkan Tanah Melayu dan Malaysia dari segala macam malapetaka politik yang sedang berlaku.
Saya yakin dengan falsafah saya : Tidak turun ke jalan raya tidak akan menang pilihan raya. Tanpa politik jalan raya jangan harap akan menang pilihan raya.
Apakah apa yang saya pahat ini betul dan tepat ?
Apakah Czar Nicholas (1868-1918) dijatuhkan oleh Lenin dan Trotsky dalam Revolusi Oktober melalui jalan raya?
Apakah Shah Reza Palavi ( 1919-1980 ) – Raja Segala Raja-Raja - di jatuhkan oleh Ayatollah Khomenei (1902-1989) dengan politik jalan raya?
Apakah Jeneral Suharto (1921-2008) yang berkuasa selama 40 tahun di jatuhkan oleh anak muda dan pelajar melalui gerakan politik jalan raya pada tahun 1998?
Sebelum menjawab pertanyaan diatas biar saya huraikan tentang asas teori mengubah kerajaan atau peralihan kerajaan.
Pertama: Kerajaan boleh bertukar ganti melalui pilihan raya. Ini berlaku di United Kingdom. Di German. Di Jepun atau di Amerika. Peranan mengundi untuk mengubah atau menukar kerajaan tidak dapat kita nafikan.
Kalau di United Kingdom kerajaan dari Parti Konservatif beralih kepada kerajaan parti Buruh. Jika di Amerika Presiden dari Parti Demokrat berganti kepada Presiden dari Parti Republikan.
Kedua : Kerajaan juga boleh bertukar melalui rampasan kuasa oleh puak tentera atau kumpulan lain. Jeneral Suharto merampas kuasa dari Bung Karno pada tahun 1965. Di Siam puluhan kali kerajaan bertukar melalui rampasan kuasa tentera. Di Myanmar kerajaan hari ini wujud melalui rampasan kuasa tentera pada tahun 2021
Ketiga: Kerajaan boleh bertukar melalui revolusi bersenjata. Sebagai contoh gerila Vietkong di Vietnam berjaya menjatuhkan kerajaan boneka Amerika melalui angkat senjata pada tahun 1974.
Di Zimbabwe – gerakan gerila kulit hitam menjatuhkan kerajaan kulit putih. Bergerila bermakna mengangkat senjata untuk mengubah kerajaan. Dari kerajaan Ian Smith kulit putih diganti dengan kerajaan Mugabe kulit hitam pada tahun 1980
Ke empat : Kerajaan boleh di tukar melalui jalan raya. Inilah perkara yang sedang kita bincangkan.
Teori jalan raya saya ini akan saya pasak dengan beberapa babak politik. Kita melihat kembali sejarah keruntuhan kerajaan lama dan kemunculan kerajaan baru melalui politik jalan raya.
Pertama kita lihat pengalaman sejarah politik di Iran. Raja Iran Shah Reza Pahlavi ditabalkan pada tahun 1967. Pada tahun 1979 kerajaan ini runtuh.
Tidak ada gerakan gerila. Kerajaan Reza Shah boneka Amerika ini dijatuhkan melalui politik jalan raya. Rakyat muak dan benci dengan sistem feudal dan raja. Parti politik, Agamawan dan aktivis masyarakat telah menghasut rakyat untuk keluar ke jalan raya membantah kerajaan Shah yang zalim.
Polis Shah menambak mati penunjuk perasaan. Ketika mayat di kebumikan ribuan rakyat turun bersolidariti di kubur. Penunjuk perasaan di tembak lagi. Di hari pengebumian seterusnya lagi besar ombak rakyat. Akhirnya lebih satu juta warga Iran keluar berdemo di Tehran dan di beberapa kota lain.
Akhirnya Raja Segala Raja lari meninggalkan Iran. Ayatollah Khomenei pulang dari buangan. Pilihanraya diadakan kerajaan baru di dirikan. Iran menjadi republik. Raja dan kaum feudal di hapus.
Saya menulis babak Iran ini kerana saya terlibat secara langsung dalam gerakan menyokong perjuangan rakyat Iran.
Ketika Revolusi Iran mula bermula pada 19 Ogos 1978 saya tinggal di Karachi Pakistan. Saya pendatang haram tinggal secara gelap di Pakistan. Pasport saya telah di rampas oleh kerajaan Malaysia ketika saya ingin memperbaharui di Baghdad Iraq.
Saya menumpang di Universiti Karachi. Hidup bersama pelajar dari luar Pakistan. Ada pelajar dari Patani, dari Ethiopia, dari Afrika Selatan dan dari Iran.
Satu pagi saya telah di temui oleh pelajar dari Iran. Dia memberi saya satu kertas selebaran A4. Dalam kertas ini ada tulisan dalam bahasa Inggeris, Arab , Perancis dan Melayu.
Saya terperanjat kerana isi selebaran ini ialah melawan rejim Pahlavi. Saya juga bangga kerana ada tulisan dalam Bahasa Melayu. Selebaran ini telah ditabur ketika musim haji yang sedang berjalan di Saudi Arabia. Beberapa hari kemudian saya di jemput untuk bersama menunjuk perasan dalam kampus Universiti Karachi.
Ini demo pertama di Pakistan untuk menyokong Ayatollah Khomenei yang masih dalam buangan di Paris. Yang berani keluar berdemo pada pagi itu hanya pelajar Iran. Hanya saya seorang yang bukan dari Iran.
Dalam demo pertama ini kami memakai topeng menutup muka. Kerana pada ketika ini Savak – polis mata-mata rahsia Shah - amat aktif di Pakistan. Pelajar dari Iran tidak mahu ditangkap.
Demo kami mendapat liputan media antarabangsa. BBC dan Reuters membuat laporan. Dua minggu kemudian kami keluar sekali lagi. Kali ini ombak sudah berubah. Makin ramai pelajar Pakistan, pelajar Afrika , pelajar Arab pelajar turut sama berdemo dalam kampus. Ramai merasa selamat. Kami tidak lagi memakai topeng menutup muka.
Di Tehran rakyat terus keluar ke jalan raya. Bentrokan berlaku tapi politik jalan raya tidak kendur. Akhirnya pada 16 Januari 1979 Reza Shah lari meninggalkan Tehran.
Pada 1 Februari 1979 – Ayatollah pulang dengan Air France dari Paris. Berjuta rakyat datang menyambut Ayatollah di lapangan terbang Tehran.
Apa terjadi sebelum 16 Januari? Antara 16 Januari ke 1 Februari apa terjadi ? Tunggu minggu hadapan - sambungan - untuk terus memahami teori dan praktik politik jalan raya. (TT)
TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL BEBAS NEWS
https://bebasnews.my/2025/01/03/teori-dan-praktis-politik-jalan-raya/