Hishamuddin Rais dan
Fatini Yaacob,
kolumnis terbaharu bebasnews
Mereka adalah aktivis rakyat, Hishamuddin Rais dan wartawan penyiasat Fatini Yaacob.
Hishamuddin atau Hisham dikenali sebagai aktivis sosial yang terlibat lama dalam kancah politik Anwar Ibrahim, yang sekarang ialah Perdana Menteri ke-10 Malaysia.
Namun, ramai melihat beliau sudah menongkah arus daripada Anwar. Hisham adalah antara tokoh aktivis pelajar 1970an dalam gerakan sosialis, yang kemudian “self-exiled” atau membuang dirinya ke luar negara dan merantau selama puluhan tahun ke benua Asia dan Eropah.
“Saya bukan orang yang suka menjilat. Jika tak betul, tak betullah…” katanya dalam satu pertemuan. Beliau adalah antara aktivis yang menggerakkan perhimpunan Bersih, bersama-sama Tian Chua, Ambiga—yang kini juga sudah bergerak secara bersendirian.
Penulisan “menongkah arus” beliau sentiasa dinanti-nanti oleh ramai orang.
Fatini (Puan Sri) pula adalah bekas wartawan dan editor Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Tulisan beliau yang pertama tentang sejarah Natrah ini adalah di dalam bentuk wawancara dlm majalah Dewan Masyarakat daripada bulan Feb – Mei tahun 1989. Tulisan beliau meletupkan jualan majalah itu menghampiri setengah juta naskah setiap bulan. Beliau mendapat anugerah Penulis Majalah Terbaik Malaysia anugerah Persatuan Kewartawan Malaysia tahun 1989.
Tulisan kedua dalam bentuk buku ‘Natrah @ Nadra @ Huberdina Maria Hertogh @ Bertha: Cinta, Rusuhan, Air Mata’ terbitan Penerbit UTM. Buku ini hanya diterbitkan selepas Bertha atau Natrah meninggal dunia pada 8 Julai 2009. Buku ini jugak menjadi best seller MPH selama 6 bulan berturut-turut pada tahun 2010. Buku ini mendapat anugerah Buku Terbaik Negara kategori umum, anjuran Yayasan Buku Negara tahun 2011.
Fatini, pernah menemubual Maria Bertha Hertogh, yang ketika itu berusia 58 tahun, di Lake Tahoe, Nevada, Amerika Syarikat pada bulan Mac 1989.
Kajian itu bagi memperbetulkan persepsi Barat terhadap Timur tentang isu Natrah yang pernah menimbulkan kontroversi sehingga mencetuskan rusuhan di Singapura pada tahun 1950.
Majalah Dewan Masyarakat keluaran Februari – Mei 1989 menyiarkan kajian dan wawancara eksklusif orang-orang yang terlibat dalam sejarah Natrah – di Malaysia, Singapura dan di Belanda.
Sempena 75 Tahun Sejarah Natrah tahun 2025 ini, Fatini sedang mengusahakan versi baru buku Natrah tersebut, dokumentari drama, teater, saluran YouTube tentang Sejarah Natrah dan filem tentang Natrah. Fatini boleh dijemput memberi ceramah tentang sejarah ini.
Natrah begitu signifikan dalam sejarah tanah air kerana menjadi penyebab utama dalam Rusuhan Natrah 1950 atau Singapore Riot 1950.
Dari tahun 1989 hingga 2009, Fatini tidak lagi menemui Bertha. Bertha pernah datang ke Kemaman, Terengganu pada Hari Raya Aidilfitri tahun 1997 tetapi tidak berkesempatan menemui Fatini. Bertha menziarahi Kamariah iaitu anak angkat keturunan Jepun, Che Aminah Mohamed, ibu angkat Natrah dan dia juga sempat ke Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Singapura.— BebasNews
Tiada ulasan:
Catat Ulasan