Taring Donald Trump telah kelihatan pada 100 jam pertama di Rumah Putih. Kuku Trump sedang cuba mencengkam kuat pada tampuk kuasa. Ini bukan satu yang mudah dalam sistem politik di Amerika. Daulah terpendam dan kaum kapitalis antara bangsa sedang memerhatikan dasar politik dan tindak laku Donald Trump.
‘ The most historic 100 hours in American history – the golden age of America begins rights now ! 100 jam paling bersejarah dalam sejarah Amerika – zaman keemasan Amerika bermula sekarang !
Diatas ialah tulisan Trump dalam X setiba sahaja dia memasuki Rumah Putih
Ketika tulisan ini di garap Trump baru masuk minggu ke dua di Rumah Putih. Dunia sedang menyaksikan bagaimana MAGA – Make America Great Again – Jadikan Amerika Gagah Kembali - sedang berjalan. MAGA ialah slogan , dasar dan ratipan Donald Trump ketika berkempen.
Belum pernah dalam sejarah Amerika beratus-ratus Arahan Eksekutif di tanda tangani oleh Presiden sebaik sahaja selesai upacara mengangkat sumpah. Ada Arahan Eksekutif Trump untuk dasar dalam negara dan ada arahan untuk dasar luar negara.
Paling jelas ialah arahan Trump kepada bala tentera untuk mengawal sempadan Amerika dengan Mexico. Dengan serta merta soldadu Amerika telah di hantar ke wilayah sempadan. Kapal terbang, helikopter dan ratusan soldadu telah bergerak ke wilayah sempadan. Ini macam suasana perang.
Dalam negara – di kota-kota besar tangkapan mula dilakukan terhadap pendatang haram yang masuk ke Amerika. Ramai yang sedang di tahan dalam penjara kini menunggu masa untuk di hantar pulang.
Dua buah kapal terbang tentera udara Amerika telah di cadang mendarat di Columbia. Kerajaan Columbia telah mengsailang Donald Trump. Kapal terbang yang akan membawa pendatang haram dan penjenayah yang berasal dari Columbia tidak dibenarkan mendarat di Columbia.
Bila ini berlaku dengan serta merta Trump mengarahkan cukai import barangan dari Columbia di naikan ke 25%. Dalam satu minggu lagi cukai akan menjadi 50%.
Presiden Columbia Gustavo Petro dengan tergopoh gapah bersetuju untuk membenarkan kapal tentera udara Amerika masuk mendarat membawa pendatang haram.
Jelas Presiden Trump mengotakan janji yang di buat ketika berkempen. Menghalau dan menghalang kemasukan pendatang haram adalah salah satu kempen Trump yang amat popular. Sikap dan dasar Bumiputera Trump ini amat disokong oleh warga kulit putih, malah yang berkulit hitam dan Latino juga sama menyokong dasar immigration Trump.
Pendatang haram yang masuk nyeludup secara haram atau yang masuk dengan halal kemudian tak pulang adalah bahaya. Bukan sahaja untuk Amerika malah di mana-mana negara pun sama mengikut Trump.
Selain dari Presiden Columbia yang gelabah Presiden Zelensky dari Ukraine juga menggelabah dalam ketakutan. Trump mentakrif Perang Ukraine ini sebagai Perang Biden. Trump mahu perang ini segera di tamatkan.
Presiden Putin sendiri telah mengakui jika undi Trump tahun 2020 tidak ditipu pasti Perang Ukraine ini tidak bermula. Kenyataan Putin ini di lafaz untuk menyambut kenyataan Trump yang bersedia menemui Putin untuk mencari jalan penamat perang.
Senario ini yang menjadikan Zelensky gelabah dan ketakutan. Dia sedar masa dan umurnya sebagai Presiden Ukraine semakan terhad. Justeru dia telah membuat ucapan gila di Davos. Zelensky telah meminta tentera NATO dan tentera Amerika datang segera masuk ke Ukraine dan turut sama memerangi Rusia.
Ucapan gila lagi bangang ini membuktikan bahawa tidak lama lagi Perang Ukraine akan tamat. Jika perang berterusan hasilnya soldadu Rusia pasti akan sampai ke Kyiv. Amin.
Dari segi ekonomi dunia sedang memerhatikan apakah Trump akan melakukan cukai terhadap beberapa negara seperti China, Canada dan Mexico. Negara ini menjadi sasaran dasar Trump kerana hubungan perniagaan yang amat berat sebelah.
China dan Canada menjual lebih banyak barangan ke Amerika tapi mengimport kurang. Manakala cukai akan di kenakan kepada Mexico jika tidak bekerja sama dalam agenda menghalang kemasukan pendatang haram.
China juga dituduh sengaja membenarkan dadah Fentenyl di seludup masuk ke Amerika melalui Mexico untuk mengkucar kacirkan masyarakt Amerika.
Ketika tulisan ini di garap kenaikan cukai yang mengancam China masih belum terjadi. Malah Tik Tok yang wajib di jual kepada syarikat Amerika atas arahan Biden kini di tangguhkan oleh Trump. Ini kerana Trump menyedari Tik Tok telah membantu dirinya ketika berkempen mengumpul undi.
Trump juga mengarahkan negara OPEC untuk menurunkan harga bahan bakar minyak petrol. Dari kaca mata Trump harga minyak yang mahal telah membolehkan Putin meneruskan perang. Ekonomi Rusia yang disekat dalam usaha melemahkan Rusia negara pengeksport minyak telah gagal.
Untuk terus menurunkan harga minyak petrol Trump akan membatalkan semua dasar dan arahan terdahulu yang melarang cari gali minyak di Amerika.
‘ Drill baby drill... gali terus gali...’ Ini mantra Trump yang tidak mempedulikan apakah minyak yang akan di gali di Alaska ini mengakibat pencemaran alam.
Dalam hal alam sekitar Trump telah secara resmi telah menarik diri dari Perjanjian Paris. Perjanjian Paris ialah perjanjian antarabangsa yang mengikat secara sah yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan mengehadkan pemanasan global. Ia telah diterima pakai pada 2015 dalam Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP21) di Paris, Perancis. Perjanjian itu mula berkuat kuasa pada 2016.
Trump berkata dia menolak menyertai perjanjian global, "...rekod kejayaan Amerika Syarikat dalam memajukan kedua-dua objektif ekonomi dan alam sekitar harus menjadi model bagi negara lain...'' .
Hakikatnya dasar Trump terhadap perubahan iklim dunia ini agak mencurigakan. Dalam satu segi dia pernah berkata dia mahu air minuman yang bersih dari pencemaran. Dalam satu kenyataan yang lain Trump menyifatkan Perjanjian Paris ini tidak membawa keuntungan pada ekonomi.
Untuk sementara waktu dunia boleh mengetepikan kata-kata Trump terhadap kepada Canada, Greenland atau Panama. Anggaplah ancaman kekuatan tentera yang akan digunakan ke atas Panama dan Greenland hanya retorik politik.
Tetapi dunia tidak boleh mengabaikan apa yang sedang dan yang akan di lakukan oleh Trump kepada Palestin dan Timur Tengah. Apa saja tindak tanduk Trump di wilayah ini akan menghuru harakan seluruh dunia.
Trump ialah seorang Zionis. Dalam hal Trump menyokong Zionis Israel ini kita tidak ada hah tidak ada hok. Trump mengiktiraf ibu negara Israel dari Tel Aviv. Ini ketika Trump menjadi Presiden kali pertama.
Kali ke dua ini Trump membatalkan arahan Biden yang melarang kemasukan pendatang Yahudi baru ke wilayah Tebing Barat. Dasar ini pasti akan meruncingkan lagi krisis Palestin Israel.
Dalam masa yang sama Rumah Putih juga telah mengarahkan Pentagon untuk menarik balik penahanan yang dikenakan oleh pentadbiran Biden terhadap membekalkan bom seberat 2,000 paun kepada Israel, lapor portal Axios.
Pada Mei lalu, Presiden Joe Biden ketika itu menghentikan penghantaran senjata yang termasuk bom 2,000 paun yang digunakan Israel untuk meratakan kawasan yang luas di Semenanjung Gaza.
Dunia yang sedang melihat projek genosid dan pembersihan warga Palestin dari bumi Palestin oleh Zionis Israel pasti akan membantah apa yang sedang di rancang oleh para Zionis.
Berita telah melaporkan bagaimana warga Gaza yang hilang rumah tangga boleh di hantar ke Mesir atau Jordan. Ini mengikut kata-kata Trump yang telah menalipon Raja Jordan.
Malah portal Tribune News dari Indonesia telah juga melaporkan bagaimana secara tidak resmi kaki tangan Trump telah mencadangkan agar Indonesia menerima juga warga Palestin ini.
Cadangan ini telah di tolak oleh Indonesia. Malah kerajaan Mesir, Jordan dan termasuk pihak berkuasa Palestin tidak mahu pemindahan ini berlaku.
Gencatan senjata pada ketika ini sedang berjalan dengan baik. Fasa pertama akan berakhir sebulan lagi. Persoalan hakiki yang wajib diselesaikan sekarang ialah dari mana dana hendak di cari untuk mendirikan kembali Gaza yang telah menjadi padang jarak padang tekukur.
Bank Dunia menganggarkan 18.5 bilion dolar nilai kerosakan ke atas Gaza. Pada ketika ini Gaza wajib mendirikan 200-300 ribu rumah penempatan baru untuk 1.8 juta warga.
Akhbar Hindustan Times pada 28 Januari 2025 telah melaporkan kenyataan PBB dimana 1.2 bilion dolar di perlukan hanya untuk memindahkan 50 juta tan batu bata hasil dari keruntuhan. Ini akan mengambil masa selama 21 tahun.
Dalam masa yang sama Zionis Israel yang memberhentikan serang ke atas Gaza kini telah mula menyerang Jenin di Tebing Barat.
Untuk meloyakan tekak warga Palestin, warga Arab dan warga dunia kita terbaca bagaimana Putera Muhamad Bin Salman dari Saudi Arabia berjanji akan melabur 600 bilion dolar dalam masa empat tahun tahun bukan untuk Gaza tetapi untuk membantu ekonomi Amerika.
Ketika tulisan ini digarap gencatan senjata di Lebanon masih berjalan walau pun Zionis Israel terus mengebom dan membunuh.
Ketika tulisan ini digarap ratusan ribu warga Gaza telah mula berjalan kaki pulang ke rumah kediaman mereka yang runtuh rantah.
Ketika tulisan ini di garap dunia sedang menunggu apakah maklumat baru tentang pembunuhan JFK, Martin Luther King dan Robert Kennedy. Presiden Donald Trump telah mengarahkan agar semua dokumen sulit tentang pembunuhan ini di buka kembali. Pembunuhan ini bersangkut paut dengan lembaga CIA dan FBI – dua badan perisik Amerika.
Ketika tulisan ini digarap dunia sedang melihat dan memerhatikan dengan teliti gerak laku politik Amerika di bawah pentadbiran baru Donald Trump.
Seperti filem Alfred Hitchcock dunia kini sedang dalam suasana suspens. Apakah sosok yang bernama Donald Trump ini akan berjaya menamatkan pentadbirannya selama emat tahun atau Donald Trump akan dijimatkan oleh daulah terpendam. Amin. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI . COM
https://www.malaysiakini.com/columns/733041