MAKKAH: Kementerian Kesihatan Indonesia mengesahkan seramai 99 jemaah haji warga Indonesia yangberada di Tanah Suci ketika ini menghidap pneumonia.
Setakat ini, satu kes kematian direkodkan akibat jangkitan pernafasan akut itu.
Ketua Pusat Kesihatan Haji Kementerian Kesihatan, Liliek Marhaendro Susilo, berkata semua pesakit sedang menerima rawatan intensif di hospital rujukan di Makkah dan Madinah.
Beliau berkata, keadaan cuaca panas melampau, kepenatan fizikal dan kesesakan manusia menjadi punca utama peningkatan kes pneumonia dalam kalangan jemaah.
"Kes pneumonia ini perlu diberi tumpuan kerana jika tidak dirawat dengan segera, ia boleh menjadi lebih serius ," katanya dalam satu kenyataan rasmi semalam.
Berdasarkan data Klinik Kesihatan Haji Indonesia (KKHI) yang dikeluarkan pada 20 Mei, suhu di Makkah dan Madinah ketika ini mencecah antara 41 hingga 47 darjah celsius.
Keadaan panas terik tanpa pengambilan air yang mencukupi boleh menyebabkan dehidrasi sekali gus meningkatkan risiko jangkitan.
"Jadual haji yang padat termasuk perjalanan jauh, umrah dan kemuncak ibadat memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi. Keletihan boleh melemahkan sistem imun badan," katanya.
Beliau turut memberitahu, kesesakan dengan jutaan jemaah yang akan berada di Tanah Suci memudahkan penularan virus atau bakteria melalui udara.
Jemaah yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan masalah jantung lebih mudah dijangkiti pneumonia.
Pneumonia atau radang paru-paru lazimnya berlaku disebabkan jangkitan bakteria, virus atau kulat.
Ia juga boleh membawa maut terutama kepada mereka yangmempunyai sistem imun lemah, menghidap penyakit kronik atau mengamalkan gaya hidup menjejaskan kesihatan paru-paru.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa kesihatan Indonesia menggesa jemaah mematuhi beberapa garis panduan kesihatan.
"Kami nasihatkan semua jemaah supaya memakai pelitup muka terutama di tempat sesak, kerap mencuci tangan dengan sabun, minum sekurang-kurangnya dua liter air setiap hari dan elakkan merokok," katanya.
Beliau turut menggesa jemaah haji negara itu tidak memaksa diri jika tidak berdaya dan segera melaporkan sebarang gejala seperti batuk, sesak nafas, atau keletihan melampau kepada petugas kesihatan haji.
"Kesihatan jemaah adalah keutamaan kami. Kami sedang berusaha memberikan rawatan terbaik agar semua jemaah dapat menyempurnakan ibadat mereka dengan lancar dan pulang ke tanah air dalam keadaan sihat," katanya.
Arab Saudi kini menjalin kerjasama erat dengan pasukan kesihatan antarabangsa bagi memastikan sokongan perubatan mencukupi sepanjang musim haji.
Indonesia menghantar lebih 200,000 jemaah pada musim haji kali ini, menjadikannya antara negara penyumbang jemaah haji terbesar di dunia.
Pada musim haji tahun terdahulu, penyakit pernafasan seperti pneumonia dikenal pasti antara masalah kesihatan paling kerap dihadapi jemaah, khususnya golongan warga emas dan mereka yang ada penyakit kronik. - AGENSI