Selasa, 20 Mac 2018

APA YANG WAJIB DILAKUKAN






JIKA SUDAH

TAHU SPR MENIPU

MAKA SOALAN

IALAH APA

YANG WAJIB

DILAKUKAN?

PERSEMPADANAN SEMULA - TALIAN HAYAT UMNO BN

20 Mac 2018

Syor kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan dibentangkan di parlimen minggu ini.

Menurut Malaysiakini memetik sumber yang rapat dengan BN, Kerajaan bercadang membentangkan laporan mengenai sempadan baru pilihan raya pada hari Khamis ini 22 Mac.

"Laporan itu akan dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan pada 22 Mac, semuanya dalam satu hari," kata sumber itu.

SPR telah menyerahkan laporan akhir berkenaan kajian tersebut kepada Najib untuk tindakan beliau selanjutnya, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Haji Mohd Hashim Abdullah, Pengerusi SPR pada 9 Mac lalu.

Apabila diluluskan di Dewan Rakyat (dengan sokongan majoriti mudah) dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong maka persempadanan yang baru akan terpakai sebagai rujukan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Ia tidak perlu melalui Dewan Negara.

Menurut Tuan Haji Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan selepas persempadanan semula digazet.

Minggu lalu, pelbagai media arus perdana melaporkan Parlimen dibubarkan pada akhir Mac atau awal April untuk memberi laluan PRU diadakan antara akhir April hingga awal Mei, sebelum bulan Ramadan bermula pada pertengahan bulan Mei.

Dengan lulusnya syor persempadanan semula dan digazetkan maka Najib boleh bertindak membubarkan parlimen seawal minggu hadapan. PRU kemudiannya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran.

Saya percaya soal teka-teki tarikh pilihan raya ini bukan lagi soal utama. Ini kerana umum mengetahui tarikh pilihan raya terletak dalam tangan parti pemerintah dan dianggap satu kelebihan buat mereka.

Soal yang lebih penting ialah soal syor persempadanan semula yang dilihat meragukan dan dilakukan dengan tergesa-gesa. Jika benar syor itu akan dibentang, dibahas dan diluluskan dalam satu hari maka ia mengukuhkan persepsi tersebut. Lebih penting lagi, persempadanan semula boleh dianggap sebagai satu lagi kelebihan dan talian hayat untuk Umno BN menang dalam PRU-14.

Dalam konteks itu, awal-awal lagi, pelbagai pihak sama ada parti politik atau NGO telah mengkritik cara bagaimana persempadanan dimanipulasi dan berusaha membuat bantahan serta menghalang tindakan SPR di mahkamah.

Selangor, Melaka dan Pulau Pinang antara negeri yang menfailkan kes mahkamah. Dilaporkan, kajian semula persempadanan semula itu tergendala lebih setahun ekoran dicabar di mahkamah melibatkan 15 kes yang difailkan pelbagai pihak. Permohonan bagi menghalang SPR daripada menjalankan urusan kajian semula itu bagaimanapun ditolak mahkamah.

Terkini Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memfailkan usul bagi mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan. Menurut peguamnya, Leong Cheok Keng, parlimen tidak wajar membincangkan laporan persempadanan semula kerana ia belum diputuskan mahkamah lagi dan masih dalam pertimbangan kehakiman (subjudis).

Apakah usaha ini akan berjaya? Nampaknya sukar kerana terdahulu rayuan yang dibuat oleh Selangor ke Mahkamah Persekutuan juga telah ditolak. Tetapi ada kemungkinan ia boleh melambatkan pembentangan di parlimen sehingga kes Pulau Pinang itu didengar.

Apa pun, SPR telah menafikan semua tuduhan manipulasi kepada sistem pilihan raya dan persempadanan semula yang boleh memenangkan parti pemerintah sambil menyifatkan kritikan tersebut sebagai satu tohmahan, cubaan sabotaj dan menimbulkan kecurigaan terhadap kredibiliti SPR.

Walaupun begitu, bukti-bukti dan bantahan yang dikemukakan di samping kenyataan oleh pimpinan Umno BN sendiri menunjukkan terdapat elemen yang menguntungkan parti pemerintah setiap kali persempadanan dilakukan.

BERSIH telah berhujah bahawa dengan sistem pilihan raya “pertama melepasi tiang” (First-past-the-post) di Malaysia, tatacara pembahagian kawasan-kawasan pilihan raya dan kesamarataan bilangan pengundi di setiap kawasan pilihan raya adalah sangat penting dan akan memberi kesan kepada hak pengundi dan keputusan pilihan raya.

Dengan pembahagian yang tidak sekata (malapportionment), Umno BN boleh memenangi lebih banyak kerusi walaupun undi popularnya kurang.

Menurut BERSIH, pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa peratusan kemenangan kerusi parlimen BN akan meningkat setiap kali pilihan raya selepas persempadanan semula dijalankan. 

Selain itu, BERSIH minggu ini mendakwa tindakan SPR menyegerakan penyelesaian sempadanan semula itu tidak berperlembagaan, kerana hanya 20 peratus bantahan telah didengar.

Hakikatnya kata mereka, cadangan persempadanan semula oleh SPR mengandungi herotan atau gerrymandering dan pembahagian tak sekata yang tidak adil walaupun Seksyen 2 (c) Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak” dan Seksyen 2 (d) Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan memerlukan pemeliharaan hubungan tempatan.

Sebagai contoh malapportionment di Selangor, bahagian pilihan raya parlimen terbesar yang dicadangkan oleh SPR ialah P109 Kapar dengan 146,317 pengundi dan yang terkecil ialah P92 Sabak Bernam dengan 37,126 pengundi. Ini adalah perbezaan hampir empat kali ganda, dan kesannya, kuasa/nilai undi pengundi di P109 Kapar adalah empat kali lebih kecil daripada pengundi di P92 Sabak Bernam.

Gerrymandering turut berlaku, seperti contoh di Perak. Parlimen Lumut menyaksikan bagaimana DUN Sitiawan yang mempunyai 29,348 pengundi dengan lebih 21,000 pengundi Cina dikeluarkan daripada kawasan Lumut dan dipindahkah ke kawasan Beruas, kerusi yang disandang DAP. Justeru mengecilkan tapak sokongan Parlimen Lumut yang disandang KEADILAN.

Gejala ini dikenali sebagai “packing” (penyokong dipindah dan dipadatkan di satu kawasan kubu kuat pembangkang) dan “cracking” (penyokong dipindah dan dipecahkan dari satu kawasan untuk melemahkan pembangkang).

Apa yang lebih malang ialah proses mengherot dan melonggokkan pengundi di kawasan dibuat mengikut kaum. Ini ternyata merupakan motif BN untuk membentuk sebuah kerajaan yang majoritinya Melayu, dan barisan pembangkang yang majoritinya Cina. Orang Cina dilonggokkan dalam kawasan DAP dan orang melayu dalam kawasan Umno.

Persempadanan mengikut kaum, jika benar berlaku, amatlah merbahaya kerana ia bercanggah dengan kemajmukan negara. Trend persempadanan yang bersifat perkauman amat dikhuatiri dalam membina negara Malaysia yang harmonis, progresif dan inklusif.

Presiden MCA,  Liow Tiong Lai sendiri pernah berkata pada September 2016 bahawa persempadanan mengikut kaum dalam satu-satu kawasan akan memberi kesan buruk terhadap keharmonian kaum, sekali gus membawa Malaysia ke kancah ekstremisme.

Justeru, amatlah jelas bahawa syor kaji semula persempadanan semula ini merupakan satu cubaan untuk menggugat sistem demokrasi dan pilihan raya negara.

Persempadanan semula berkait dengan isu keadilan, ketelusan, kesamarataan serta hak dan nilai pengundi. Persempadanan menjadi kunci utama kepada kerajaan untuk membuktikan bahawa pilihan raya yang dijalankan adalah adil. Keadilan yang dimaksudkan ialah setiap pengundi mempunyai kuasa penentu atau pemilih berdasarkan undi yang mereka lakukan. Persempadanan wajar dilakukan demi kepentingan dan keselesaan pengundi serta memudahkan wakil rakyat untuk memberi khidmat kepada pengundi.

Umno BN masih meletakkan harapan kepada sokongan melayu, mungkin untuk mengulangi kejayaan PRU 2004. Persepsi “perpaduan melayu” dan Islam dimainkan bersama PAS. Dan propaganda Pakatan Harapan dipimpin DAP dijaja. Syor persempadanan semula yang akan diluluskan ialah pemeteraian muktamad bagi memastikan rancangan itu tercapai sebelum masuk PRU lagi.

Walaupun ini mungkin percaturan Umno BN namun saya yakin jika kesedaran rakyat tinggi untuk melakukan perubahan maka persempadanan semula yang pincang dengan motif tertentu boleh dilawan dengan keluarnya rakyat beramai-ramai untuk mengundi.

Suasana sekarang tidak sama dengan 2004. Sentimen pengundi dan rakyat juga berbeza. Justeru, walaupun persempadanan semula dianggap talian hayat untuk Umno BN, saya lihat ada kemungkinan talian hayat itu akan menjerut leher Umno BN sendiri.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti KEADILAN Rakyat


APA

JAWAPAN

PAKATAN

APA 

WAJIB

DILAKUKAN

APA AKSI?

----------------

Tiada ulasan: