Rabu, 3 Oktober 2018

MERAKAM SEJARAH - MENUNGGU LEDAKAN 1MDB





MERAKAM SEJARAH

MENUNGU LEDAKAN 1MDB

Saya telah membuka babak sejarah bagaimana saya telah cuba menghubungi Orang Tun dalam usaha  mewujudkan United Front untuk menjatuhkan Najib dan United Malays National Organisation.

Saya telah mengadakan perbicangan dengan Orang Tun dengan niat ingin bekerjasama dengan Mahathir Muhamad.  Walau pun bentuk kerjasama ini  belum jelas. 

Saya wajib menunggu jawapan dari Orang Tun. 

Saya juga telah menulis bagaimana saya telah membantu wartawan Ms Louise Story dari The New York Times (NYT). Wartawan ini datang ke Kuala Lumpur untuk merisik dan membuat cerita Jho Low dan 1MDB.

Wartawan NYT ini berada di Kuala Lumpur pada awal tahun 2014. Mengikut Louise  berita 1MDB ini akan muncul pada musim daun gugur di Amerika. Ertinya dalam bulan Oktober atau November 2014.

Kesabaran saya diduga. Saya diwajibkan menunggu. Menunggu jawapan dari Orang Tun. Menunggu laporan yang akan muncul hasil dari siasatan Louise Story dalam NYT. 

Semua ini berlaku pada awal tahun 2014. Saya menunggu dalam  suasana  politik  malap. Ini kerana dalam PRU13 Najib dan United Malays National Organisation telah gagal dinyahkan.  Keletihan politik telah mula meresap. 

Tetiba satu petang Amin Blak dari MalaysianInsider yang merisik Orang Tun memberitahu bahawa  Orang Tun nak jumpa sekali lagi. Saya gumbira kerana satu penungguan  yang saya tunggu-tunggu telah sampai. 

Saya yakin kemungkinan bekerjasama dengan Orang Tun ini cerah. Tapi saya masih tidak tahu apa bentuk kerjasama ini.

Pertemuan kali kedua ini saya demokratikkan.  Saya ajak Maria Chin dan juga YB Tian Chua datang bersama.  Ini untuk memperkukuhkan  niat kerjasama. Kami berjumpa di Strawbery Cafe. 

‘ Dari kami.. tak ada masaalahh untuk kerjasama….’ 

Kata-kata Orang Tun ini adalah ledakan  gumbira. Dalam kepala saya perjumpaan kedua ini bukan hanya untuk memperkukuhkan hubungan. Dalam kepala saya ialah Bersih4. Apa yang ada dalam kepala  tidak saya nyatakan kepada Maria Chin yang kini telah menggantikan Ambiga sebagai  Pengerusi Bersih. Amin.

Satu ledakan telah meledak. Saya wajib menunggu satu lagi ledakan dari New York. Hari menjadi minggu. Minggu menjadi bulan.  Bilakah agaknya berita  yang saya hebohkan sebagai ‘ bigger than big ‘  akan meledak. 

Sausana politik makin sepi. Dari pengalaman suasana politik sepi sebagini   akan memperkukuhkan kedudukan Najib. Dari sudut stratiji politik wajib disusun dan diatur satu demo saperti Bersih 3 yang pasti akan menaikkan semula  semangat lawan para aktivis. 

Najib wajib dipersusahkan. Perlawanan pasti akan menyemarakkan suasana politik. Dalam politik semuanya berlaku kerana diatur dan disusun. Tidak ada perlakuan atau babak  politik terjadi dengan sendiri.

Lagi ganas Najib menyerang lagi cun suasana politik. Pada hemat saya yang  terbaik ialah mengadakan Bersih4. Turun ke jalan raya ini pasti akan merancakan perlawanan. Suasana politik yang lembik akan jadi tegang. 

Jamal Baju Merah dan sekutunya wajib diaktifkan.

Musim panas tahun 2014 sampai dan berlalu. Saya menunggu musim daun gugur atau musim autumn di New York. Bulan Oktober sampai dan  berlalu. Bulan November masuk dan berlalu. Tidak ada apa berita dari NYT. Kemudian hari perayaan  Maulud Nabi Isa sampai. Masih tidak ada berita dari NYT.

Saya tidak berani menghubungi Louise . Saya yakin jentera  daulah dan Pak Cik Habibul pasti sentiasa mengintip untuk tahu apa perancangan saterusnya dari kami-kami yang hendak menjatuhkan  Najib dan Rosmah.

Ciss tahun baru  2015 sampai. Bigger than big tidak juga muncul-muncul. Saya tidak tahu apa yang berlaku.  Kenapa satu berita mengambil masa satu  tahun untuk digarap. Ada rasa kecewa. Untuk menenangkan perasaan saya menyakinkan diri bahawa Si Louis  ini  menggarap dengan berhati-hati agar tidak disaman.

Tetiba pada  8 Febuarari 2015  nama Louise Story menjadi trending di Malaysia.  Semua nak tahu Louise ini ‘hantu kopek’ dari mana. Ini kerana The  MalaysianInsight telah membuat  pecah berita. Portal ini telah mengutip laporan  Louise dalam  NYT. MalaysiaKini dan portal lain terus memungut laporn dari NYT.

Ha ha.. tulisan garapan Louise Story meletup dan meledak. Satu Malaysia opps… satu dunia kini berkesah tentang Jho Low.

Semua tertanya-tanya siapa dia China Tembam ini. Si Tembam ini menjadi tarikan lebih dari berita dana 1MDB yang disonglap. Tembam ini menjadi tarikan kerana Mamat ini dilaporkan dan digambari selalu  berjongeng dan bertandak dengan Minah Cun Paris Hilton. 

Bagaimana yang langsing lagu cun  berminat dengan yang tembam lagi gemok - hanya guru Nanak sahaja yang mengetahui.

Malaysia jadi heboh. Ini heboh  yang lebih heboh dari Jom Heboh. Dari warung ke Parlimen ke rumah urut semua berlabon tentang China Tembam Jho Low. Watak-watak sampingan wujud dalam laporan berita NYT hampir tidak dipedulikan.

Pada satu malam di Old Town ketika bersantai dan bersembang kosong  dengan kawan-kawan saya lambongkan idea Bersih4. Tengok punya tengok  cari punya cari saya ternampak  tarikh  cun - 29/30/31 Ogos.  

Mata saya terpancar idea untuk membuat satu pembahruan Cuti 31 Ogos membolehkan demo disusun panjang. Sabtu dan Ahad cuti hujung minggu ditambah dengan  cuti 31 Ogos. Ini bermakna kita boleh berdemo lebih dari sehari. 

Apa yang perlu saya lakukan ialah memasukan jarum ke dalam kepala Maria Chin untuk mengadakan  Bersih4. 

Berita dari NYT ini membuatkan kerja saya untuk menghasut NGO jaringan Bersih turun ke jalan raya agak lebih mudah. Saya dibantu pula oleh Najib yang bersilat lidah.

Usaha Najib untuk memadamkan laporan berita 1MDB dari NYT ini tidak meyakinkan. Lagi banyak Najib  menjawab lagi senang saya menghasut. Hakikatanya Najib membantu saya mengolah persetujuan jaringan NGO Bersih yang konservatif dan takut untuk turun ke jalan raya.

Keterlibatan Najib anak beranak menjadikan kes 1MDB ini lekat dihati pembaca. Ini ditambah pula dengan aji-no moto oleh para blogger dan media baru, Face Book dan twiter yang semakin ampoh memperlekehkan kerajaan Najib.

Saygugia diakui bahawa kerajaan  Malaysia  mengawal media. Ini juga terjadi dalam banyak negara dunia ketiga. Untuk saya ini bukan seratus peratus tidak baik. Ada baiknya. Kongkongan ini menjadikan laporan media tempatan kurang diyakini.

Isi dan laporan berita dari akhbar dan tv tempatan diperlekeh oleh anak semua bangsa. Laporan media arus perdana amat jarang dipercayai. Ucapan Menteri mau pun Perdana Menteri dilihat sebagai lawak bodoh - masuk ke telinga kiri keluar ke lubang hidung. 

Warga Malaysia anak semua bangsa  amat yakin dan percaya kepda laporan berita dari luar  negara. Berita dari BBC, CNN atau ABC amat dipercayai berbanding dengan  berita RTM atau TV3.

Justeru laporan berita Jho Low dan 1MDB  oleh  NYT amat amat diyakini. Warga Malaysia lebih percaya kepada laporan orang asing dari laporan orang dalam.

Tetiba satelah dua minggu muncul pula  berita  1MDB ini dalam Bahasa Melayu.  Ini terjemahan. Siapa menterjemah hanya guru Nank yang tahu. Apabila muncul dalam BM  maka  hati saya mula berdetik. Fikrah  saya mula bertanya.

Menterjemah ke dalam BM  pasti satu pekara yang telah difikirkan oleh penerbit NYT. Pasti telah dibincangkan oleh sidang pengarang. Pasti  NYT tahu dan sedar bahawa Bani Melayulah yang wajib menjadi sasaran berita ini. Selagi Bani Melayu bonsai fikrahnya selagi itu Najib akan terus bekuasa.

Saya angkat topi  - cekap amat cekap NYT ini. Lalu saya mula terfikir  dan berangan-angan bahawa pasti ada satu agenda yang lebih besar. Menterjemhkan ke dalam BM ini saya pada hemat saya hanya rintik-rintik hujan. Ada naga kepala tujuh yang akan keluar.

Saya teringat bahawa kaum kiri di Amerika memperlekeh NYT . Akhbar ini dianggap sebagai akhbar arkib penyimpan  berita untuk CIA dan para intel Amerika

Kendati pun, dua penungguan saya telah selesai. Satu lagi projek gelap saya sedang berjalan. Secara senyap-senyap saya mula memasukan jarum untuk meracun Maria Chin dan Mandeep Singh agar mereka menerima idea Bersih4.

Mandeep tidak susah untuk dihasut. Ini kerana dia memahami tanpa jaan raya tidak mungkin  Najib akan jatuh. Dengan Maria Chin saya belum ada kepastian. Saya masih teringat lagi bagaimana susahnya  untuk menyakinkan Ambiga untuk megadakan Bersih2 dan Bersih3.  Sejarah akan dirakam tentang fakta bahawa  bukan semua NGO jaringan Bersih bersetuju dengan politik jalan raya.

Betul hari ini sesudah kemenangan 9 Mei ramai yang bangga bahawa mereka telah turun ke jalan raya bersama Bersih. Baju T kuning menjadi barang simpanan  dan harta  peninggalan ke anak cucu. Amin. 
Kejayaan memiliki ramai ayah bonda  kaum kerabat saudara mara dan sahabat kenalan. Kegagalan ialah anak  yang dilahirkan tanpa dikenali ibu dan bapa. Kegagalan tidak ada saudara mara. Ianya  yatim piatu sebatang kara  hidup menumpang  ditepi muara.

Sebagai sosok yang mengajukan jalan raya sebagai pilihan untuk merubah kerajaan saya wajib  terus menjalankan jarum untuk memastikan Bersih4 akan lahir. 
Orang Tun telah datang bersedia.Louise Story telah menghatar nota pendek di FB saya… now its up to Malaysian to make the change…’

Aduh! Ini tugas sejarah yang wajib saya teruskan. Lalu saya  bertemu Maria Chin untuk mengajukan Bersih4. Apa lagi yang dirancang? Tunggu minggu hadapan.(tt)




NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45



-----------------

Tiada ulasan: