Sabtu, 14 Disember 2019

SYABAS ANAK MUDA








SYABAS

ANAK

MUDA


Tindakan pelajar UMT selamatkan ikan lumba-lumba dapat pujian ramai

KUALA TERENGGANU – Tindakan tujuh pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan penduduk kampung yang menyelamatkan ikan lumba-lumba di Pantai Tanjung Gelam tengah hari kelmarin terus mendapat pujian dari pelbagai pihak.

Ketua Cawangan Mamalia Marin, Bahagian Penyelidikan Penyu & Spesies Marin Terancam di Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata keprihatinan dan tindakan pantas mereka wajar dipuji dan dicontohi orang ramai.

“Saya menerima kiriman dua video berasingan dan beberapa keping gambar ikan lumba-lumba yang tular semalam yang dihantar oleh pegawai perikanan daerah.

“Hasil penelitian saya mendapati nama melayu ikan itu adalah lumba-lumba muncung panjang, nama Inggerisnya pula ialah Long Snout Spinner Dolphin manakala nama saintifiknya ialah Stenella Longirostris.

“Ia adalah lumba-lumba kecil yang populasinya banyak terdapat di perairan tropika di luar pantai di seluruh dunia. Ia terkenal dengan paparan akrobatiknya kerana gemar berputar sepanjang perjalanan dan gemar melonjak ke udara. Ia adalah ahli keluarga Delphinidae daripada lumba-lumba jenis bergigi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Tambahnya, kaedah menyelamat yang dilakukan pelajar UMT tersebut hampir betul dan berharap mereka boleh melakukannya mengikut prosedur operasi standard (S.O.P) yang ditetapkan Jabatan Perikanan Malaysia sekiranya kes seumpama itu berlaku lagi selepas ini.

“Perkara pertama sekiranya ternampak haiwan marin spesis terancam ini terdampar mestilah menghubungi pegawai perikanan di pejabat Perikanan Daerah yang terdekat.

“Pastikan haiwan yang diselamatkan itu berada dalam keadaan baik seperti mempunyai teduhan dan membuat kolam cetek dengan air laut.

“Mengendalikan lumba-lumba dengan berhemah dan lembut, memberi bantuan kelembapan dan pernafasan yang baik kepada lumba-lumba kerana lubang pernafasan tidak boleh ditutup dengan air dan apabila keadaan lumba-lumba itu stabil barulah ia dilepaskan perlahan-lahan ke laut dengan menunggu dan memerhati tingkahlakunya,” katanya.

Beliau berkata apa yang tidak sesuai dilakukan ialah meletakkan lumba-lumba dalam kawasan air tawar mengabang dan tidak menjaga bahagian lubang pernafasan dari air tawar dan air laut tersebut.

“Bagaimanapun, ikan lumba-lumba yang diselamatkan pelajar UMT itu kelihatan boleh berenang semula ke laut dan saya mengucapkan tahniah kepada mereka.

“Jabatan Perikanan Malaysia melalui FRI Rantau Abang dan Pejabat Perikanan Negeri dan Daerah boleh membantu mereka dalam memberi tunjuk ajar dan ilmu pengetahuan mengenai cara menyelamat spesis haiwan marin terancam ini jika dijumpai terdampar.

“Hubungi kami pada bila-bila masa sekiranya terserempak dengan kes seperti ini sekiranya ia berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Tujuh pelajar UMT itu ialah Mohd Nur Aiman Suhaimi, 23, Akalili Zanudin, 21; Wan Amirul Syafiq Wan Nazari, 22; Syakirah Sukery, 21; Farah Syahirah Ishak, 21; Syafiqah Nabilah Mutalib, 21 dan Nur Aini Othman, 21.

Mereka mengambil masa kurang lima minit untuk mengalihkan haiwan itu dari kawasan air cetek ke kawasan yang lebih dalam dan melepaskannya semula ke laut dengan selamat.- BERNAMA

TANDA JELAS

KESEDARAN

ALAM SEKITAR

TELAH WUJUD

INI PETANDA 

AMAT BAIK



----------------

Tiada ulasan: