Ahad, 6 Ogos 2023

NAJIB DAN ANWAR


Apa pendirian Najib terhadap kerajaan Anwar?

Ketika jentera parti-parti politik sudah berada di “gear 6” selepas hari penamaan calon, bekas perdana menteri, Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara masih belum menetapkan pendirian berhubung sokongan kepada mana-mana blok parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Penyokong Najib menjadi kumpulan dalam Umno yang tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan yang tidak membela nasib beliau.

Ini sekali gus membuatkan penyokong mereka keliru tentang siapakah harus dipilih pada 12 Ogos ini.

Wan Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo dan seorang individu yang mendakwa penyokong Najib, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz mengadakan program dikenali sebagai “Bossku Nak Apa?”.

Bossku merupakan gelaran popular untuk Najib.

Syed Muhammad Imran mendakwa penyokong Najib sudah hilang sabar terhadap Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan kini mengalihkan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN).

Tetapi menurut anak Najib, Nooryana Najwa, kedua-dua mereka tidak mewakili bekas ahli Parlimen Pekan itu.

Katanya, pendirian rasmi bapanya akan dimuat naik dalam saluran media sosial rasmi Najib.

Di sinilah pendirian Najib menjadi persoalan.

Sejak beberapa bulan lalu, laman Facebook Najib banyak menyindir Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, selain menceritakan kebaikan dan pencapaian di bawah pentadbiran perdana menteri keenam itu.

Rafizi yang kini timbalan presiden PKR antara tokoh utama pembangkang yang terlibat dalam pembunuhan karakter Najib dan isteri, Rosmah Mansor ketika Barisan Nasional (BN) masih berkuasa.

Dalam hantaran pada 31 Julai lalu, Najib menyindir Rafizi tentang penurunan harga minyak.

Rafizi mendakwa penurunan harga minyak akan menjejaskan inisiatif rakyat yang lain.

Bercakap kepada MalaysiaNow, seorang penyokong Najib yang ingin dikenali sebagai Zam Yahaya berkata, bukan lagi rahsia bahawa keluarga Najib tidak gembira dengan kemajuan proses pengampunan beliau.

"Kumpulan penyokong Najib berpecah tiga. Satu yang menyokong PH.

“Kedua, menyokong BN sahaja dan akan memboikot jika tiada calon BN.

“Ketiga, yang akan mengundi PN sebagai protes terhadap kerajaan yang melewat-lewatkan pengampunan beliau," katanya.

Menurut Zam, Syed Muhammad Imran membuat kenyataan sedemikian dua hari selepas bertemu Rosmah.

Sementara itu, penganalisis politik Azizi Safar berkata, Najib tidak mungkin akan menyokong PN atau minta penyokong-penyokong beliau mengundi PN pada PRN ini.

"PRN tidak mengubah kedudukan atau boleh jatuhkan kerajaan pusat.

“Jika tiada perubahan kerajaan, tiada kesan juga kepada kes-kes yang dia hadapi."

Selain mempertahankan reputasi dalam kes-kes mahkamahnya, Najib juga menggunakan media sosial beliau bagi mempertahankan harga barang pada zamannya yang dikatakan jauh lebih murah berbanding waktu ini.

Beliau juga dilihat tidak banyak menyokong inisiatif-inisiatif kerajaan campuran hari ini.

Najib tampak masih berteka-teki dalam soal sokongan beliau terhadap kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan BN itu.

Najib menjalani hukuman penjara pada Ogos tahun lalu setelah gagal mengenepikan sabitan bersalah terhadap pertuduhan kes SRC International.

Beliau dihukum penjara 12 tahun dan denda RM200 juta.

Dalam pada itu, Azizi yang juga bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang berkata, Najib tahu prosedur dan syarat-syarat pengampunan.

"Agak sukar Lembaga Pengampunan Diraja untuk mempertimbangkan pengampunan untuk beliau, pada masa masih banyak kes sedang dibicarakan di mahkamah.

"Cuma pada saya, mungkin beliau sedikit terkilan kerana beberapa kes tambahan berkait 1MDB terus dikenakan ke atasnya."

WOIT

PENDIRIAN NAJIB

SEMUA TAHU

NAK KELUAR

DARI PENJARA

AMIN

RAKYAT NAK TAHU

APA PENDIRIAN

ANWAR TTNG

NAJIB 

AMIN

INI LEBIH PENTING

UNTUK NEGARA

KHALAS

Tiada ulasan: