80 jemaah haji terkandas di KLIA, gagal berlepas ke Tanah Suci
PUTRAJAYA: Hasrat kira-kira 80 jemaah untuk berlepas ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji terbantut apabila mereka dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Difahamkan, kumpulan jemaah itu ditahan pasukan 'task force' berikutan menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah itu.
Penasihat undang-undang yang juga aktivis Mind Pro Management, Ena Ewil, berkata berdasarkan siasatan awal pihaknya, jemaah berkenaan dijanjikan visa mujamalah, namun gagal mendapatkannya sebelum diberikan visa pelancong.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan oleh jemaah bahawa mereka dijanjikan visa mujamalah untuk ke Tanah Suci, namun disebabkan masalah teknikal pada sistem Nusuk, visa terbabit tidak dapat dikeluarkan.
"Pihak agensi pelancongan yang terbabit tetap memilih untuk menerbangkan jemaah menggunakan visa pelancong," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mujamalah adalah visa dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi yang hanya diberikan kepada individu atau kumpulan tertentu. Ia tidak berkaitan dengan kuota haji rasmi yang diperuntukkan kerajaan negara berkenaan pada Malaysia.
Ena berkata, tindakan agensi pelancongan berkenaan menggunakan visa pelancong untuk menerbangkan jemaah ke Tanah Suci menyebabkan kumpulan itu ditahan pasukan petugas khas di KLIA.
"Difahamkan, seramai 80 jemaah dan dua wakil syarikat ditahan untuk siasatan.
"Berdasarkan maklumat awal, wakil syarikat turut ditahan untuk membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Superintendan Shan Gopal Krishnan ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berkenaan kejadian itu

2 ulasan:
Kulop
Jual pemborong agama ini memang pekerjaan lumayan sejak zaman berzaman, sejak awal wujudnya manusia, tak kira agama apa, asal usul membuat duit, diteruskan melalui kaedah korporat kaedah kapitalis, kah kah kah Tuhan ada tetapi tidak perlukan seseorang atau institusi untuk mengatur langkah jalan menuju ke Tuhan amin syukur alhamdulillah sentiasa kah kah kah
Catat Ulasan