Tentera Filipina, India ronda Laut China Selatan
MANILA: Tentera Manila hari ini memaklumkan kapal perang Tentera Laut India julung kali membuat rondaan bersama dengan askar Filipina di kawasan perairan dipertikaikan dekat Laut China Selatan.
Rondaan selama dua hari bermula semalam itu membabitkan tiga kapal India, dibuat sehari sebelum lawatan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos ke New Delhi untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Leftenan Kolonel John Paul Salgado berkata, rondaan 'bermula petang semalam dan berterusan sehingga kini, termasuk pengisian bekalan di laut'.
Kapal Tentera Laut India tiba di Manila untuk lawatan di pelabuhan pada hujung minggu lalu.
Filipina meningkatkan kerjasama pertahanan dengan pelbagai sekutu sejak tahun lalu, susulan siri pertembungan di perairan yang dipertikaikan itu.
Ini kerana, Beijing mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan adalah miliknya walaupun terdapat keputusan antarabangsa yang menegaskan tuntutan itu tidak mempunyai asas undang-undang.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Evangeline Ong Jimenez-Ducrocq, berkata Marcos dalam lawatan ke India, dijangka memeterai beberapa perjanjian dalam bidang perundangan, kebudayaan dan teknologi, namun tumpuan utama adalah terhadap kemungkinan perjanjian pertahanan.
Filipina sebelum ini, membeli peluru berpandu jelajah supersonik BrahMos dari India, iaitu senjata mampu mencapai kelajuan maksimum 3,450 kilometer sejam.
India yang terbabit dalam pertembungan sempadan dengan China di kawasan Himalaya adalah anggota kumpulan dikenali sebagai Quad, yang turut disertai negara demokrasi lain iaitu Amerika Syarikat, Jepun dan Australia.
Beijing berulang kali mendakwa kerjasama empat negara yang pertama kali dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe itu diwujudkan sebagai usaha untuk mengepung China.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan