Rabu, 15 Januari 2020

MEMESONG SEJARAH DAN CARMA










MEMESONG SEJARAH
DAN CARMA

Minggu  ini  saya meneruskan sambungan tulisan yang muncul akibat heboh heboh  yang ditimbulkan oleh abu mayat Chin Peng. Kali ini saya akan cuba merungkai heboh-heboh yang mengatakan bahawa Tanah Melayu ini tidak pernah dijajah.

Untuk saya pandangan  Tanah Melayu tidak pernah dijajah British  hanya datang dari mulut Mamat Bebal dan Abdul Bangang.  Amin.

Ada daya kerja  memesong dan memadam sejarah Tanah Melayu. Apakah ada niat gelap dibelakang kerja bebal dan usaha bengong  memesong, mengkabur dan memadamkan sejarah Tanah Melayu ini.    

Bebal? Bangang? Bengong? 

Betulkah mereka yang mengatakan Tanah Melayu tidak pernah dijajah sebagai bebal , bengong dan bangang. Ini satu tuduhan yang amat  keterlaluan.  Ini sikap angkuh dan kurang sopan. Apatah lagi sosok-sosok yang mengumumkan bahawa  Tanah Melayu kita ini tidak pernah dijajah oleh British  memiliki pangkat derajah kebesaran bergelar  Datuk, Tan Sri, atau  Tun. Dan ada yang berketayap memakai jubah  professor.

Disini Hishamuddin Rais menjawab : betul mereka ada pangkat derajah kebesaran. Betul mereka ada ijazah berjela-jela.  Betul ada yang bergelar  profesor. Tapi bukan bermakna jika nama ada tersangkut  Datuk, Tan Seri atau Tun atau  berpangkat bergelar profesor itu menjadikan mereka kebal dari menjadi bodoh dan bangang.  Pangkat , ijazah dan derajat bukan kalis bodoh dan bangang. Bodoh , bengong  dan bangang tidak  mengenal  siapa Tun, Tan Seri atau Profesor. Amin

Kenapa mereka yang berpangkat dan sudah jadi profesor mereka  masih lagi bangang, bengong dan bebal?  Inikah sosok-sosok  yang bergelar  profesor yang diheboh-hebohkan sebagai profesor kangkong? Apakah mereka  membebel kerana  meroyan dan membebel adalah   budaya perangai polis pencen? Jawanya tidak. Bukan kangkong dan bukan budaya perangai polis pencen. 
Mereka ini lebih manai dari kangkong. Lebih haprak dari polis pencen. Jangan hina polis pencen.  Sesekali polis pencen boleh diajak  menebang buluh  untuk mengganti  tangga surau. Kalau bukan profesor kangkong dan bukan polis pencen – siapa mereka ini?

Jawabnya:  Mereka ini adalah  Mat Carma dan Minah Carma. Siapa mereka ini.  Carma ini apa? Keturunan  dari suku mana?  

Carma ialah  istilah  yang diperkenalkan oleh Pak Samad   - sasterawan rakyat - penulis nobel Siti Salina dan Daerah Zeni.  Carma ialah singkatan cari makan. Pak Samad menyebarkan konsep  cari makan ini  untuk  kita sesama memahami apa yang sedang berlaku disekeliling kita. Istilah carma dimunculkan oleh Pak Samad agar kita dapat  memahami kenapa ada kelakuan bangang dan bodoh disekeliling kita. Atau kenapa  ada sosok yang melakukan sesuatu yang tak masuk akal.  

Sejarah Tanah Melayu ingin dipesongkan kerana carma?  Biar betul.

Betul. Kalau dikaji maka kita akan mendapti bahawa carma ini ialah ajaran Marxis.  Cari  makan ialah pekerjaan. Pekerjaan  ialah asas untuk hidup.  Bekerja ialah  membuat.  Dari pandangan kaum Marxis membuat adalah asas wujudiah  manusia.   Evolusi manusia yang bermula dari  Lembah Sungai Zambezi di Afrika bermula dengan  membuat sesuatu untuk cari makan. Hakikatnya carma ini amat penting. Amin.

Pada 9 September 2011 Profesor Zainal Keling dilaporkan berkata bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British. Pada 17 September 2018 Profesor  Tan Seri Khoo Kay Kim pula membuat kenyataan yang sama dari laporn portal yang sama – MalaysiaKini.

Kenyaatan dua professor ini muncul kerana  Mat Sabu  dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghina Askar Melayu. Mat Sabu telah  menobatkan  Mat Indera   sebagai pejuang kemerdekaan. 

Dari takrifan Mat Sabu serangan pasukan gerila Parti Komunis Malaya  yang dipimpin oleh Mat Indera terhadap rumah pasong  Bukit Kepong  sebagai sasaran  adalah tidakan yang wajar. Ini kerana pada  ketika itu – 23 Febuari  1950 – rumah pasong itu  adalah rumah pasong Inggeris.  Pegawai risikan pada ketika itu ialah H.W. Straithairn yang bersarang di Pagoh. ASP Muar ialah seorang Mat Saleh bernama Brain Edwards. Mat Saleh inilah yang menjadi kepala kepada anak anak muda Melayu yang menjadi mata-mata upahan.

Jangan lupa sejarah. Konsep balai polis ini baru muncul. Perkatan dan istilah  balai polis dimunculkan dalam tahun 60’an. Nama asalnya ialah rumah pasong. Rumah pasong adalah pemahaman asal Bani Melayu terhadap  bangunan yang memasung para pejuang kemerdekaan.

Jangan lupa ketika serangan Bukit Kepong berlaku yang diserang bukan terhadap polis tapi mata-mata. Mata-mata ialah konsep dan istilah asal Bani Melayu terhadap sosok  upahan yang memerhatikan orang kampong untuk Tuan Orang Puteh mereka.

Bagitu juga perkataan  dan istilah SB ini baru mucul. Nama asal  SB  dari Bani Melayu ialah mata-mata gelap. Mata-mat gelap amat tepat. Berbeza dari mata-mata  terang yang menjaga rumah pasung.
Istilah dan perkataan anti-Inggeris  dan bersifat melawan ini sengaja dipadamkan. Perkaatan dan istilah  ini tanda kebijaksanan Bani Melayu mewujudkan istilah anti-penjajah  dan anti-kuasa  tetapi dilihat sopan. Bani Melayu tidak memanggil mata-mata Inggeris sebagai anjing suruhan atau dalam Bahasa Inggeriss ‘running dogs’. Khalas. 

Mat Sabu yang kini Presiden Parti Amanah negara dan merangkap Menteri Pertahanan telah  membetulkan fakta sejarah kemerdekaan dalam satu ceramah  di Markas Tarbiah PAS Tasek Gelugur pada  21 Ogos 2011.  Ceramah ini disampaikan 10 hari sebelum apa yang dipanggil Hari Kebangsaan.

Untuk Mat Sabu analisanya cukup senang. Sila tanya berapa ramai pemimpin United Malays National Organisation yang dimasukan ke penjara atau dibunuh kerana menentang Inggeris. Atau sila namakan siapa dari pemimpin Parti Ketuanan Melayu ini yang bangun menentang Inggeris.

Hingga ke hari ini tidak ada seorang pun  dari satu juta lebih ahli parti United Malays National Organisation yang dapat mematahkan hujah Mat Sabu. Amin.

Tetiba satu Tanah Melayu heboh dengan berita  abu mayat Ching Peng.  Tetiba hal  merdeka , penjajah dan komunis mucul kembali.

Pada petang Krismas 24 Disember 2019 – Tun Haniff   Omar berucap disatu perhimpunan  bekas soldadu dan askar di Padang Merbuk.  Dalam perhimpunan ini Tun Haniff telah juga mengulangi ayat yang sama: Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British. British datang untuk membantu Raja Melayu memajukan Tanah Melayu. Ucapan Tun Haniff ini telah dilaporkan oleh semau portal dan media. Kah kah kah.

Ucapan Tun Haniff ini bertujuan untuk membakar semangat  askar dan polis pencen  yang sedang ‘naik minyak ’ apabila abu Chin Peng dibawa pulang ke Setiawan tempat tanah tumpah darah  Ong Boon Hua.  Babak abu Chin Peng ini menjadi heboh dan dihebohkan kerana ada badak berendam dalam baldi. Ada Mamat  menakung nira dari kencing tupai. Ada yang menangguk  udang dari Pasar Chow Kit.

Saya mengambil tiga sosok – Haniff, Zainal dan Khoo - yang secara terbuka telah menolak Inggeris sebagai penjajah Tanah Melayu.   Untuk mereka Tanah Melayu tidak pernah dijajah.  Kenapa mereka menolak.

Saya tidak akan bertanya dari sekolah umum mana Khoo dan Zainal  belajar. Dari universiti apa mereka mendapat ijazah. Saya juga tidak akan bertanya bagaimana Hanif boleh  memakai tali leher merah puteh setiap hari Rabu.  Semua ini tidak penting.  Semua ini hanya tokoh tambah untuk menyedap selera.

Apa yang saya yakin ialah tiga sosok ini diikat oleh carma. Carmalah yang memunculkan mereka. Carma lah yang memaksa mereka  mengeluarkan pandangan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah.

Khoo dan Zainal dikatakan pakar sejarah.  Ini kerana mereka menjadi cik gu mengajar sejarah  di univeristi . Mengajar untuk carma.  Untuk saya kepakaran mereka  tahapnya hanya tahap pakar  Utusan dan pakar RTM.  Kenapa Utusan dan kenapa RTM? 

Hanya Utusan milik United Malays National Organisation   yang sentiasa bersedia membuat laporan berita dan memungut pandangan mereka tentang sejarah.  Hanya RTM dibawah kuasa United Malays National Organisation yang  memaparkan wajah dan komen mereka tentang sejarah Tanah Melayu.

Tetapi sosok-sosok ini dianggap  tokok sejarah  tanah air kita. Mereka dianggap jaguh sejarah.. Tokoh? Kita semua adalah tokoh.  Kita semua memiliki ketokohan untuk menjadi apa yang kita mahu. Sabenarnya tidak ada apa-apa penemuan sejarah yang menakjubkan yang keluar dari kepala bana mereka.  Secara jujur saya nyatakan bahawa saya tidak tahu apakah Datuk Zainal dan Tan Seri  Khoo memiliki  Jaguh untuk bercada-canda sebagai hobi masa lapang  mereka. Kah kah kah.

Dalam konteks budaya politik Malaysia kalau kamu memiliki pandangan yang berbeza  atau tidak sealiran dari pandangan United Malays National Organisation maka carmakamu akan susah. Silap hari bulan kamu masuk penjara. Jauh sekali untuk mendapat derajat Datuk, Tan Seri atau Tun. 

Jika kamu dari Bani China dan tidak membodek dan tahu kuasa hegemon United Malays National Organisation maka carma kamu akan ketat payah dan sempit. 

Justeru kesahehan fakta data sejarah, kajian yang profesional, hormat diri, keilmuan  saheh  tidak penting kerana yang berkuasa ialah United Malays National Organisation boneka kuasa kolonial Inggeris. Apabila mengumumkan Tanah Melayu tidak pernah dijajah  ini bermakna  perjuagan para nasionalis dari Kesatuan  Melayu Muda,  Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya  dan dari  Parti Komunis Malaya hanyalah keganasan yang sia-sia. 

Ucapan dan kata-kata dari  sosok-sosk ini  menjadi habuan  merdu untuk   telinga tikus  United Malays National  Organisation.  Senang -senang cakap ini membodek UMNO untuk cari makan. Amin.

Bagaiman pula dengan Tun Haniff.  Sosok ini tidak jauh bezanya dengan mata-mata di rumah pasong Bukit Kepong pada tahu 1950. Mereka adalah mata-mata upahan kuasa kolonial Inggeris. Anak anak muda Melayu direkrut oleh Inggeris  sebagai  mata-mata atau  menjadi   Special Constable (SC). 

Rais bin Manaf kawan sakelas Shamsiah Fakeh  di sekolah Pondok Lebai Maadah di Juaseh Batu Kikir ayah kepada Hishamuddin Rais juga direkrut oleh Inggeris untuk menjadi SC. Arwah ayah saya juga carma dengan kuasa kolonial.  Bezanya  arwah ayah saya direkrut  untuk  jadi mata-mata Inggeris. Haniff Omar direkrut oleh Inggeris untuk menjadi mata-mata  United Malays National Organisation. Amin.(TT)




----------

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Abis klu inggelis bukan penjajah, takyah la join negara2 commonwealth.

Tanpa Nama berkata...

One more time...

https://youtu.be/KVeDKuHPDK8