Selasa, 7 April 2020

HANYA PERMULAAN







SERANGAN

EKONOMI

BERTERUSAN 

Lebih 80% ahli persatuan pemandu lori hilang kerja ketika PKP

LEBIH 80% sektor pengangkutan terjejas walaupun dianggap sebagai perkhidmatan penting dan dibenarkan beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemain industri memberitahu The Malaysian Insight, ini kerana kesan daripada kebanyakan aktiviti ekonomi yang terjejas.

“Apabila banyak sektor perniagaan dihentikan, kami sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan turut terjejas,” kata Presiden Persatuan Pengusaha Lori Pan Malaysia (PMLOA), Ng Koong Sinn.

Ng menganggarkan hanya 10% hingga 15% ahli persatuan masih beroperasi, kebanyakannya untuk menghantar barangan keperluan.

PMLOA mewakili 2,000 syarikat dan menggaji hampir 80,000 pemandu lori yang menyara hidup melalui komisyen penghantaran barangan.

“Bayaran mereka dikira berdasarkan syif, jadi kalau tiada barangan untuk dihantar, maka tiada pendapatan,” kata Koong Sinn.

Pendapatan bulanan pemandu ini biasanya antara RM4,000 hingga RM5,000 bagi pemandu sepenuh masa, kata Setiausaha Persatuan Lori Selangor dan Kuala Lumpur, Ng Yoon Kin.

Beliau berkata, ada pemandu lori yang bertemu dengannya untuk membincangkan isu mengenai kehidupan mereka dan beliau sebagai majikan juga berada dalam dilema.

Dalam mengumumkan pakej tambahan Prihatin RM10 bilion semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga berkata kerajaan sedar majikan sukar untuk mengekalkan pekerja dalam tempoh sukar ini.

“Disebabkan itu, kerajaan bersetuju membenarkan perbincangan antara majikan dan pekerja berhubung syarat pekerjaan termasuk kemungkinan mengenakan potongan gaji bagi membolehkan kakitangan mengambil cuti tanpa gaji,” kata perdana menteri.

“Kedua-dua majikan dan pekerja boleh mendaatkan nasihat daripada Jabatan Tenaga Kerja. Apa yang penting perlu ada situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak.”

Sementara itu, Yoon Kin berkata pekerja masih boleh bergantung kepada pemandu untuk menghantar barangan dan persatuan akan cuba sedaya upaya untuk membantu, namun ia sangat mencabar. 

Beliau berkata kerana kebanyakan perkhidmatan pengangkutan telah berhenti, banyak syarikat tiada pendapatan. Majikan perlu berunding dengan pemandu mengenai pembayaran gaji.

“Kerajaan perlu melihat isu ini dengan lebih dekat kerana tidak banyak orang dalam industri ini menerima gaji bulanan, kecuali mungkin segelintir kakitangan pentadbiran di setiap syarikat.

“Pemandu dianggap pengguna gaji harian berdasarkan output mereka.”

Koong Sinn turut menggesa kerajaan untuk mengecualikan cukai jalan untuk tiga hingga enam bulan, bagi mengurangkan beban industri.

Beliau berkata kerajaan mesti berunding dengan syarikat insurans untuk mengetepikan insurans bagi trak yang tidak berada di jalan selama beberapa bulan kerana tidak digunakan dan syarikat insurans tidak perlu menanggung sebarang risiko.

Beliau menjelaskan trak yang lebih baru dan lebih besar kini bernilai kira-kira RM600,000 hingga RM700,000, dan insurans tahunan yang dibayar antara RM10,000 hingga RM20,000.

“Kami berharap Kementerian Kewangan boleh berbincang dengan syarikat insurans dan mengurangkan premium untuk trak yang belum berada di jalan raya.”

Koong Sinn berkata pada masa ini, banyak syarikat pengangkutan sebenarnya sedang menunggu Kementerian Perdagangan dan Industri (Miti) untuk meluluskan pemulihan perkhidmatan di sesetengah sektor sebelum mereka boleh menyambung semula kerja.

“Kami juga memerlukan surat kelulusan untuk berada di jalan raya, dan ia masih dalam proses. Setelah pengeluar diluluskan, mereka akan memberikan surat kepada kami.”

Miti pada 28 Mac lalu menyatakan, 2,732 kilang dibenarkan menyambung semula kerja semasa perintah kawalan pergerakan, menyumbang 29.41% daripada jumlah permohonan.

Miti menerima sebanyak 9,290 permohonan dari kilang-kilang di pelbagai bidang penting dan komponen rantaian bekalan untuk memohon sambungan kerja di bawah perintah kawalan pergerakan, dan 2,794 syarikat atau 30.08% permohonan ditolak. – 7 April, 2020



INI HANYA

PERMULAAN
-----------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bila lori sudah kureng di jalanraya, yang paling terkesan ialah golongan
Jabatan
PAU
Jalanan