Jumaat, 4 Julai 2025

FERI KARAM - 30 MASIH HILANG


Arus deras sukarkan operasi mencari dan menyelamat


GILIMANUK: Pasukan penyelamat Indonesia berdepan detik sukar kerana perlu mengharungi arus deras ketika operasi mencari dan menyelamat 30 lagi mangsa feri karam, disambung semula hari ini.

Pegawai yang menyertai operasi berkenaan, Ribut Eko Suyatno berkata feri yang dikenali sebagai KMP Tunu Pratama Jaya itu membawa 65 penumpang yang kesemuanya rakyat Indonesia.

Ia dilaporkan tenggelam kira-kira 30 minit selepas berlepas dari Jawa Timur menuju ke pulau percutian Bali.

Setakat semalam, seramai 29 mangsa berjaya diselamatkan sebelum operasi dihentikan sementara berikutan keadaan penglihatan yang terhad.

Nasib 30 mangsa masih tidak diketahui


JAKARTA: Seorang wanita buntu apabila enam ahli keluarganya yang dalam perjalanan ke Bali untuk bercuti tidak tersenarai sebagai penumpang Feri KMP Tunu Pratama Jaya yang karam pada Khamis, lapor BBC Indonesia.

Wanita dikenali sebagai Helen memaklumkan ahli keluarganya sepatutnya tiba pada waktu pagi di Jimbaran, Bali, pada Khamis.

Namun katanya, tiada sebarang khabar diterimanya sejak kali terakhir berkomunikasi dengan ibunya, jam 9.30 malam Rabu lalu.

"Ada enam orang kesemuanya (ahli keluarganya) termasuk ibu (Mardiana Tri Susanti), ipar serta sepupu mahu bercuti ke Bali sempena cuti sekolah dan semester.

"Namun apabila saya cuba hubungi mereka, tiada yang menjawab," kata Helen sambil menangis ketika ditemu bual oleh wartawan Christine Nababan di Bali untuk BBC News Indonesia.

Helen mengetahui mengenai nahas menimpa feri berkenaan yang karam di Selat Bali melalui media sosial sebelum dia dan suaminya mencari maklumat berkaitan keberadaan ahli keluarganya itu di sekitar Pelabuhan Gilimanuk.

"Saya tidak tahu mereka (ahli keluarganya) menaiki van atau menyertai mana-mana agensi pelancongan.

"Saya tanya kepada semua ahli keluarga lain sehingga jiran, namun tiada siapa yang tahu. Saya sendiri tidak tahu apa-apa sehingga sekarang.

"Bahkan nama-nama mereka (ahli keluarganya yang terbabit) tidak tersenarai dalam senarai penumpang kapal itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pejabat SAR Kelas A Surabaya, Nanang Sigit berkata, kebanyakan mangsa nahas itu yang terselamat menggunakan bot penyelamat, selain berenang ke pesisir pantai sebelum ditemukan nelayan tempatan.

Menurutnya, kebanyakan mangsa sama ada selamat mahupun meninggal dunia ditemukan di perairan Gilimanuk, kecuali seorang mangsa yang maut ditemukan agak jauh dari lokasi mangsa lain.

"Mangsa yang terselamat kini berada di Pelabuhan ASDP Gilimanuk, Bali, manakala yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Umum Daerah (RSUD) Jembrana.

"Mangsa yang terselamat berada dalam keadaan sihat, namun ada yang mengalami keletihan serta dehidrasi yang sedang menerima rawatan," katanya. - AGENSI

AMIN

Tiada ulasan: