Khamis, 3 November 2016

MEMBACA ARUS POLITIK



MEMBACA ARUS POLITIK 
DENGAN TEPAT

Dalam tulisan-tulisan  awal saya telah  cuba memberi pencerahan tentang teori dan praktik politik jalan raya. Saya nyatakan dengan jelas bahawa politik jalan raya  memiliki teori untuk difahami. Jika gagal  memahami teori politik jalan raya maka politik jalan raya akan membawa kekecewaan.

Pasti ada yang akan bertanya dari mana datangnya teori? 

Saperti ilmu pengetahuan,  teori juga  wujud dari pengalaman. Pengalaman yang terkumpul - yang dibukukan  dan yang ditulis - menjadi teori. Pengalaman yang terkumpul juga  menjadi asas kepada ilmu pengetahuan. 

Sebelum pengalaman itu menjadi satu hukum atau undang-undang atau syarat sosial ianya hanyalah teori. Wajib disedari bahawa teori adalah  pandangan dan pendapat yang cuba menerangkan sesuatu. Pandangan ini berasaskan prinsip tentang apa yang ingin diterangkan. 

Hakikatnya teori bukan hukum. Teori bukan undang-undang yang terus menerus betul dan tepat. Teori bukan aljebra, bukan ilmu hisab bukan metametik. Justeru ianya dipanggil teori.

BERSIH akan mengadakan perhimpunan mega pada Sabtu 19 November di Dataran Merdeka. Pada ketika ini para aktivis Bersih dari  pelbagai Ngo bersama parti-parti politik sedang menggelodak Malaysia untuk mengajak, untuk menghasut, untuk menjemput anak semua bangsa turun ke jalan raya bersama BERSIH5.

Dari segi teorinya langkah pertama telah tuntas direalisasikan. Penggalangan barisan bersatu yang maha luas telah dilakukan. United Front ini  wajib diwujudkan untuk kejayaan politik jalan raya. Ini langkah  paling asas dalam teori politik jalan raya.

Dengan persetujuan asas - dengan program paling minima - semua NGO - semua parti-parti politik telah bersetuju menuntut pilihanraya yang adil dan bersih. Barisan bersatu ini telah meninggalkan jubah dan baju politik parti masing-masing untuk bersatu hati dalam satu tuntutan. 

Semua telah bersetuju menuntut Najib Rosmah mengudur diri. Tuntutan ini telah dimulakan dari  BERSIH4 tahun lalu.

Tuntutan Najib Rosmah berundur berpunca dari masuknya 2.6 bilion ringgit ke dalam akaun bank  pribadi Najib di AmBank. Apa yang menjadikan kaum kerabat Bersih marah dan naik minyak ialah duit ‘rompakan 1MDB ‘ ini telah digunakan oleh Najib untuk  ‘ membeli’ PRU13. Ini diakui oleh  Najib sendiri. Najib menghalalkan duit samun ini kerana menurut lojik Najib duit ini bukan untuk kegunaan pribadi tetapi untuk PRU13.

Justeru kemenangan United Malays National Organisation dalam PRU13 ialah dengan  ‘membeli undi’. Sah dan saheh PRUI3 telah dicuri oleh Najib dan gerombolan Ketuanan Melayu melalu dana yang amat lumayan - 2.6 bilion ringgit.

Justeru, dari pandangan Bersih, dari pandangan  kaum kerabat  dan parti politik yang bersama menyokong Bersih,   Najib Rosmah adalah  pembawa malapetaka politik negara kita hari ini. Najib telah  menjadi punca  yang sedang menimbulkan suasana budaya politik kacau. Suasana politik kacau ini sedang mempengaruhi kedudukan ekonomi.

Hakikatnya ekonomi Malaysia  sedang merundum. 

Ekonomi  ialah nadi kehidupan.Bila ekonomi jatuh maknanya kehidupan warga menjadi susah. Jika dikaji dari lensa ekonomi - malapetaka ekonomi yang kita hadapi sekarang berpunca dari kerenah dan perangai  Najib Rosmah. Kes rompakan 1MDB adalah bukti yang saheh. Ini rompakan bertaraf global. 

Rompakan ini  sedang menimbulkan   politik kacau. Hampir setiap bulan - hampir setiap minggu ada shaja berita buruk yang melaporkan perkembangan tentang rompakan  1MDB. Laporan  berita dari Wall Street Journal. Atau laporan siasatan Peguam Negara Swiss. Atau laporan dari Monetary Authority of Singapore. Atau laporan FBI sedang mencari Jho Low dan Riza Aziz.

Semua laporan berita ini menambahkan suasana tegang politik kacau yang berpunca dari Najib Rosmah.

Justeru  menjadi tanggung jawab Bersih menuntut Najib Rosmah berundur.Menjadi tanggung jawab anak semua bangs turun ke jalan raya menuntut Najib Rosmah berundur

Dengan penyingkiraan Najib Rosmah barulah kedudukan dan keyakinan ekonomi dapat dipulihkan kembali. Jika Najib Rosmah terus berkuasa maka Malaysia akan tergelincir pantas ke landasan negara gagal. Terbukti pada ketika ini Malaysia dibawah Najib sedang menuju ke taraf  Zimbabwe, Pakistan atau  Somalia. 

Dalam tulisan saya yang terakhir minggu lalu saya ada menulis tentang konsep - berani merebut kemenangan.  Bunyinya cukup senang. Bunyinya amat enteng - merebut kemenangan. Tapi hakikatnya merebut kemenangan dengan garis politik jalan raya  bukan semudah memesan sepinggan Nasi Goreng Kampong.

Kepimpinan yang mengajukan perjuangan politik untuk menjatuhkan kerajaan lama dan mendirikan  kerajaan yang baru wajib miliki kekuatan fikrah. Menghamburkan retorik politik amat mudah. Meraban dengan sumpah seranah politik juga amat senang. Mengutuk sosok politikus juga bukan satu yang susah.

Yang susah ialah merebut kemenangan. 

Asas utama merebut kemenangan ialah bijak membaca nadi dan suasana politik. Membaca nadi politik ini amat-amat penting dalam garis politik jalan raya. Malah dalam politk pilihan raya juga membaca  nadi politik cukup  penting.
Apa makna membaca nadi politik?

Membaca nadi politik bermakna kita tahu  masa dan saatnya telah sampai untuk merebut kemenangan. Atau masa dan saatnya belum ranum untuk merebut kemenangan. Sama saperti Pak Tani melihat padi disawah - pemimpian gerakan politik - jalan raya mahu pun pilihan raya - tahu bila padi itu telah masak. Bila padi itu wajib dituai. Jika terlewat tarikh dan harinya maka semuanya akan gagal.

Bagaimana untuk mendapat tahu bila masanya  telah sampai untuk merebut kemenangan itu? Apa tanda-tanda dan syarat-syarat yang menunjukan bahawa kemenangan akan sampai.

Merebut kemenangan juga sama saperti menanam padi. Kita bekerja keras membajak. Menanam benih. Membubuh baja. Memastiika air yang cukup. Melihat cuaca yang tepat dan betul. Semua semua ini diatur hingga akan sampai masanya untuk kita menuai merebut kemenangan.

Dari mana dapat kita tahu? Macam mana kita hendaka tahu bila kita wajib menuai?

Semua ini datang dari pengalaman. Pengalaman adalah guru. Pengalaman adalah buku yang mengajar kita untuk membaca saat dan waktu tepat untuk merebut kemenangan. Pengalaman yang telah dibukukan wajib menjadi bacaan  rujukan  untuk kita merebut kemenangan.

Saya mahu membawa para pembaca kepada apa yang berlaku di Pilipina pada awal 1980’an dahulu. Sila rujukan dan baca kembali bagaimana media antarabangsa sadikit demi sadikit - tetapi berterusan - telah membuat laporan tentang kerenah Presiden Marcos. Media dunia mula tertarik hati dengan kerenah Imelda Marcos. Tentang gaya hidup mewah bekas ratu cantik yang bernama Imelda. 

Untuk saya  - laporan media dunia - adalah tanda tanda awal bahawa hari hari akhir untuk Marcos telah sampai. 

Saya  masih ingat lagi bagaimana media antarabangsa mula melaporkan tentang kesehatan  Presiden Marcos.  Bagitu kerap sekali laporan media dunia ini sehinggakan  telah memaksa Presiden Marcos berbuat sesuatu. 

Ketika lawatan resmi ke Amerika, Presiden Marcos pergi menziarahi Cancun. Cancun adalah kota peranginan tepi laut untuk gulungan elit yang kaya raya berpoya-poya. Di pantai Cancun  Marcos telah main water ski. Ini untuk menunjukkan kepada dunia - kepada media dunia -  bahawa tubuh badan Marcos adalah sehat walafiat. Enam  tahun kemudian Marcos diterajang keluar dari Manila.

Jika surah saya ini  yang agak kuno maka mari kita buka surah Saddam Hussein. Lihat bagaimana media antarabangsa membuka kesah Saddam Hussein seawal tahun tujuh puluhan. Dunia diberitahu tentang kueh hari jadi Saddam yang beratnya  melebihi satu tan. 

Bila saya membaca laporan ini maka  saya anggap inilah permualaan hari hari akhir untuk Saddam.

Mungkin babak  Marcos dan Saddam masih terlalu jauh untuk ingatan para pembaca yang masih muda. Biar saya buka surah yang kita semua tahu. Yang kita semua masih ingat.  Surah ini ialah bagaimana   Mahathir Muhamad telah dinyahkan dari tampok kerajaan satelah Anwar Ibrahim dimasukan ke penjara pada tahun 1998.

Lihat bagaimana media dunia - ingat kembali kepada media antarabangsa -  yang membuat laporan Reformasi 1998 di Kuala Lumpur. Ingat kembali kepada imej demo yang dimainkan oleh  CNN setiap kali berita CNN dimulakan.  Malah ketika imej Presiden Clinton memelok  ceweknya Monica Lewinsky - telah diselitkan  juga gambar demo di Kuala Lumpur. Setiap jam ada gambar demo  Reformasi. Ini berulang-ulang. Ini menjadikan Mahathir tidak selesa. Malah akhirnya  Mahathir telah bersuara mempertikaikan sikap CNN dan media dunia.

Untuk saya ini adalah tanda  hari hari akhir untuk Mahathir. Ramalan saya tepat. Mahathir dengan bijak sebelum dilungkupkan telah meletak jawatan. Mahathir bijak dan licik untuk menyelamatkan diri.

Kenapa saya berani menjadikan laporan berita luar negara ini sebagai tanda-tanda hari hari akhir untuk Saddam, Marcos atau Mahathir?

Ini kerana ada berpuluh-puluh Presiden, ada berpuluh-puluh Perdana Menteri - dari Afrika, dari Amerika Latin, dari Eropah Barat dan Timur tetapi  kita tidak dengar berita mereka.  Hanya berita Najib yang terus menjadi induk berita.

Mustahil para presiden di Afrika tidak rasuah. Mustahil Perdana Menteri Zambia bersih suci tidak ada skandal sex atau  tidak ada kes bunuh  model atau bunuh pegawai kerajaan dalam tong simin. Mustahil Tok Arab di Negara Telok baik dan suci belaka.

Tetapi media antara bangsa memilih Najib.  The Wall Street Journal, The New York Times, The Guardian, Financial Times dan dan dan… memilih Najib  untuk di jadikan berita. 

Lalu akhbar dunia melaporkan biras Rosmah mencuri beg Hermes di New York. Lalu media melaporkan bakal menantu Rosmah menipu kelulusan untuk memasuki Universiti Colombia.  Lalu media antara bangsa menulis tentang besan Rosmah yang juga terlibat dalam kes bunuh.

Untuk saya ini amat amat jelas. Untuk saya ini adalah tanda tanda padi telah ranum. Untuk saya  musim menuai telah sampai. 

Apakah ini yang dikatakan masa dan saat merebut kemenangan telah sampai? Sabar dahulu. Masih ada lagi tanda tanda yang wajib dilihat. Tunggu minggu hadapan. (TT)



NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45



---------------

3 ulasan:

DIDI KOTA BELUD berkata...

puiklah kau...profesional sangat..menakutkan...puiklah...aku benci laporan benar ni..'benciiiii....kakakakkaka

Awanama berkata...

ini tepat bro..gua menunggu padi panen, padi masak..gua tunggu arah angin..gua tungu semua itu..gua tetap berdoa agar setiap solat jumaat agar najib jatuh dihempap badak rosmah..china sudah dpt tanah, tak mungkin tppa tak jadi..saka chengho masih dlm agenda utama..parameswara hanya mahu duduk dibelakang mjd pemantat china..gajah putih masih kuat utara..malaysia ada penyamun menyorok dlm tempatan minyak, kurang pasti minyak apa, samada minyak petrol atau minyak sawit..saudara minyak yg menjual minyak di china..wali2 sakti hilang diangkat tuhan atau wali2 sakti melarikan diri dari tanggungjwb kitab masyhur dan bukan rosmah mansur atau tengku adnan mansur..

Awanama berkata...

teori taik kucing

wei tak boring ke tulis propaganda sama bertahun tahun?