Khamis, 30 Mac 2023

POLITIK TIK TOK




TikTok mampu guling kerajaan?


APABILA lesen televisyen dan radio dimansuhkan dalam dekad terakhir alaf lalu, tiada lagi pegawai kerajaan turun ke kampung-kampung untuk menyelidik rancangan kegemaran penduduk.

Pegawai dari Jabatan Penerangan ini lazimnya masuk ke segenap ceruk kampung untuk bertanya mengenai sebab pendengar dan penonton meminati sesuatu program.

Pegawai ini juga mahu pemegang lesen menerima siaran ini menyatakan kekerapan mereka menonton TV dan mendengar radio selain tempoh masa dihabiskan untuk mengikuti program.

Hasilnya diolah menjadi rajah dan rumusan yang memberitahu pembuat dasar mengenai rancangan diminati dan juga yang ditolak penonton serta pendengar.

Ia juga dapat memberi gambaran sama ada penonton dan pendengar masih dapat menerima propaganda kerajaan – atau lebih pop dengan istilah naratif pada masa ini.

Selain akhbar, saluran TV dan radio masih menjadi medium penting pada waktu itu untuk mengolah pendapat umum, yang turut bermaksud mempengaruhi undi sewaktu pilihan raya.

Responden dikenalpasti Jabatan Penerangan dari daftar lesen yang dikeluarkan. Bayaran lesen ini pula disalurkan untuk membiaya penerbitan program dan operasi stesen serta pemancar.

Sewaktu peralihan ke alaf baharu itu juga kita diperkenalkan dengan perkhidmatan televisyen berbayar. Beberapa penyedia bertapak dan kini Astro memonopoli arena ini.

Siaran digital tidak lagi memerlukan para pegawai turun menyelidik penggunanya secara berkala kerana sikap penonton dan pendengar ini dapat diperhatikan secara langsung.

Pada setiap masa, petugas di stesen ini dapat melihat berapa ramai penonton mengikuti sesuatu rancangan, dan berapa lama penonton tersebut bertahan di satu-satu saluran.

Petugas ini juga dapat tahu saluran mana menjadi alternatif sekiranya penonton ini hilang minat, dan juga program kegemaran di setiap akaun pengguna.

Sikap ditunjukkan penonton ini memberi pedoman kepada pengusaha stesen untuk mengeluarkan kandungan yang menepati citarasa dan mengekalkan pelanggan mereka.

Tidak kira kandungan agama atau hiburan, mekanisme ini membolehkan kandungan dapat dirancang untuk terus membuatkan pelanggan ketagihan.

Tentulah ramai juga pelanggan yang lari kerana mutu siaran, kandungan, kos dan hal lain.

Namun dengan algoritma lebih cekap, dan dibantu pula dengan kecerdasan buatan, kandungan yang lebih memikat dapat disediakan secara langsung kepada pengguna.

Inilah yang ditawarkan TikTok, platform media sosial yang memberi saingan kepada Facebook dan Instagram pada waktu ini, dan menjadi kebimbangan kuasa besar Amerika Syarikat.

Negara itu berpengalaman menghadapi serangan Cambridge Analytica, satu firma yang menggunakan algoritma Facebook sebagai senjata untuk mengubah pilihan rakyatnya di peti undi.

Pegawai tertinggi TikTok dipanggil menghadap senat AS selepas pelantar itu merampas ramai pelanggan Facebook dan Instagram – yang kini mula dipanggil media sosial tradisional.

CEO TikTok Chew Shou Zi sewaktu memberi keterangan menafikan aplikasi itu berkongsi data dengan Parti Komunis China, atau mempunyai sebarang kaitan dengan parti pemerintah itu.

Beliau juga ditanya sekiranya benar Parti Komunis China dapat menguasai rangkaian peranti elektronik isi rumah melalui TikTok. Ini dinafikannya.

Penguasaan TikTok, pelantar yang diusahakan firma Bytedance dari China ini disebut pegawai tinggi AS sebagai ancaman kepada keselamatan negara itu.

Ketua agensi keselamatan siber AS Rob Joyce dilaporkan berkata, TikTok menjadi ancaman strategik kepada negara – seperti kuda Trojan dalam mitos Greek purba.

Beliau mendakwa China mampu menggunakan TikTok untuk mengawal jenis maklumat yang boleh diterima rakyat AS, dan menapis perkara yang memburukkan kerajaan China.

Badan siasatan AS juga memberi amaran TikTok yang menguasai 150 juta pengguna di negara tersebut mampu digunakan untuk melancarkan serangan melalui kempen mengolah pendapat.

Secara ringkasnya, AS yang berpengalaman luas menggulingkan pelbagai bentuk kerajaan di atas muka bumi kini bimbang China mampu melakukan perkara sama ke atasnya dengan TikTok.

Presiden AS nampaknya sedia memperkenal undang-undang baharu untuk mengharamkan TikTok dan teknologi dari luar negara yang disangka sebagai ancaman kepada keselamatan negaranya.

Pengharaman ini langkah paling mudah untuk memastikan rakyatnya hanya menggunakan media sosial buatan dalam negara.

Tentulah banyak juga pelaburan strategik AS dalam Meta, syarikat induk Facebook dan Instagram. Firma itu meraih pelaburan paling besar di dunia dalam tawaran saham lebih sedekad lalu.

Facebook masih lagi menjadi media sosial paling popular dengan lebih 2.96 bilion pengguna seluruh dunia, sepertiga daripadanya pengguna aktif setiap hari.

Namun angka itu tidak lagi berkembang.

Kebimbangan dan kempen memburuk-burukkan TikTok di peringkat pentadbiran tertinggi AS berlangsung ketika Facebook menghadapi tahun paling teruk.

Harga sahamnya merudum ke paras paling rendah sejak tahun lalu ketika pemadat media sosial negara tersebut semakin meminati TikTok yang lebih mengujakan.

Sebaik membuka aplikasi TikTok, pengguna dihujani dengan pelbagai video. Sekiranya pengguna itu meminati ceramah agama, pantas sahaja akaun TikTok mereka dipenuhi kandungan sedemikian.

Pengguna ini tetap dapat mengikuti ceramah di aplikasi tersebut walaupun penyampai itu tidak mendapat tauliah mengajar agama di surau berhampiran rumah mereka, sebagai contoh.

Dalam negara pula, kita mendengar pemimpin PH dan BN mengeluh mengenai pengaruh lawan mereka yang lebih luas di TikTok sewaktu kempen PRU15 lalu.

Pengaruh itu membolehkan PAS, Bersatu dan sekutunya menguasai kerusi parlimen di lima negeri dan mendabik dada dengan sokongan pengundi Melayu luar bandar.

Kita juga mendengar mengenai momok seperti 13 Mei diratib hantu tertentu di TikTok sewaktu kempen pilihan raya itu.

Adakah PH dan BN masih ketinggalan di TikTok yang menjadi lubuk pengundi baharu sewaktu pilihan raya di enam negeri makin hampir?

Adakah kerajaan perpaduan mahu mengikut langkah AS yang cenderung mengharamkan TikTok?

Dan sejauh mana benarnya TikTok berupaya digunakan untuk mengolah pendapat umum dan menumbangkan kerajaan? Adakah data empiris yang boleh menyokong dakwaan ini?

WOIT

INI POLITIK BARU

INI MEDIUM BARU

AMIN

CARA PROPAGANDA

TERBARU TERKINI

SAPA BIJAK

DIA MENANG

AMIN

BUKAN SALAH

BUKAN BENAR

 TAPI

LAWAK UNTUK

DI LIHAT

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: