Sokongan untuk Muhyiddin, pemimpin, ahli Bersatu berkumpul di SPRM
LEBIH 500 individu termasuk pemimpin dan penyokong Bersatu serta media berkumpul di depan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sebagai menyatakan sokongan kepada Muhyiddin Yassin.
Turut kelihatan beberapa pemimpin parti politik seperti Shahidan Kassim dan Azmin Ali yang menunggu di luar pejabat agensi anti rasuah itu.
Muhyiddin tiba
di pejabat SPRM
PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya pagi ini di tengah-tengah spekulasi beliau akan ditahan dan didakwa di mahkamah.
Muhyiddin tiba lebih kurang pukul 11.17 pagi.
Ratusan ahli dan penyokong Perikatan Nasional berhimpun di pekarangan ibu pejabat agensi antirasuah menyambut ketibaan Muhyiddin dan untuk menunjukkan solidariti.
Sejak semalam, desas-desus tersebar mengatakan bekas perdana menteri akan dituduh di mahkamah sama ada hari ini atau esok.
Ketua Penerangan Bersatu Nasional, Razali Idris membayangkan SPRM akan menahan Muhyiddin.
“Muhyiddin sudah diminta hadir ke ibu pejabat SPRM dan kita jangkakan beliau akan ditahan hari ini dan didakwa di mahkamah esok.
“Tindakan ini dilakukan sehari sebelum Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu dan ia dianggap tidak berperikemanusiaan,” katanya kepada wartawan.
Razali enggan mengulas sama ada ramai lagi pemimpin Bersatu akan ditahan oleh SPRM tetapi berkata ia tidak mustahil.
Muhyiddin hadir untuk memberi keterangan dipercayai berkaitan dakwaan penyelewengan dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa atau Jana Wibawa, yang dikeluarkan semasa pandemik Covid-19.
SPRM sedang menyiasat dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan Jana Wibawa, termasuk wang yang masuk ke akaun milik Bersatu dan digunakan semasa pilihan raya umum lepas untuk kempen PN.
Muhyiddin menafikan tuduhan itu dan menyifatkannya bermotifkan politik untuk melemahkan PN.
Sebelum ini dua pemimpin Bersatu didakwa di mahkamah atas tuduhan meminta dan menerima wang daripada kontraktor yang menerima projek Jana Wibawa.
Pada 21 Februari mendakwa bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.
Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad juga dituduh di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 melibatkan projek Jana Wibawa.
Sehari kemudian, Adam Radlan didakwa pula di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dakwaan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama.
Beliau didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 28 Februari atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta berhubung projek Jana Wibawa.– 9 Mac, 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan