Selasa, 1 Julai 2025

MALAPETAKA IKLIM - PARAS MEMBIMBANGKAN !!!


Eropah kepanasan kerana bahang haba melampau


MARSEILLE: Penduduk Eropah Selatan bersedia menghadapi gelombang haba pertama musim panas hemisfera utara ketika perubahan iklim meningkatkan suhu di benua yang paling cepat panas di dunia ke paras membimbangkan.

Sejak sekian lama saintis sering memberi amaran bahawa pembakaran bahan api fosil oleh manusia membuatkan bumi semakin panas termasuk mengakibatkan kesan buruk terhadap alam sekitar.

Katanya, gelombang haba musim panas yang semakin tinggi suhunya dan makin kerap melanda Eropah adalah disebabkan kesan langsung daripada pemanasan global itu.

Misalnya di Itali, sebanyak 17 bandar dari Milan di utara hingga Palermo di selatan, diletakkan dalam amaran merah susulan suhu tinggi dengan bacaan tertinggi mencecah 39 darjah Celsius.

Di Rom pula, suhu tinggi menyebabkan pelancong dan penganut Kristian dilihat memenuhi 2,500 pancuran air awam di ibu kota itu untuk menyejukkan badan.

Sementara itu di Perancis, ketika suhu di bandar pelabuhan selatan Marseille mencecah hampir 40 darjah Celsius, pihak berkuasa mengarahkan kolam renang awam dibuka secara percuma bagi membantu penduduk meredakan bahang panas Mediterranean.

Dua pertiga wilayah Portugal dijangka diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga hari ini (Ahad) susulan amaran cuaca panas melampau dan kebakaran hutan dengan suhu mencecah 42 darjah Celsius dijangka di ibu negara, Lisbon.

Gelombang haba itu diramalkan menjadi lebih teruk hari ini.

Sepanyol yang sebelum ini pernah berdepan siri kebakaran maut pada musim panas, turut menjangkakan suhu melebihi 40 darjah Celsius di kebanyakan kawasan negara itu.

Menurut agensi kaji cuaca negara itu, AEMET, kawasan El Granado di wilayah Huelva, barat daya Sepanyol, mencatatkan suhu 46 darjah Celsius dan jika disahkan, bakal menjadi suhu tertinggi pernah direkodkan di negara itu bagi Jun.

Untuk rekod juga, tempoh tiga tahun kebelakangan ini menjadi tempoh paling panas dalam sejarah Sepanyol.

Dengan suhu tertinggi dijangka mencecah 39 darjah Celsius di Palermo, pihak berkuasa Sicily mengarahkan larangan kerja luar bangunan pada waktu paling panas ketika siang hari.

Langkah sama turut diambil wilayah Liguria di utara Itali.

Di Perancis, amaran gelombang haba yang dilanjutkan sehingga semalam (Sabtu) ke seluruh negara menyaksikan bandar Tours di tengah Perancis mengarahkan semua sekolah yang melaksanakan pembelajaran sesi petang ditutup pada Isnin dan Selasa.

Di Seville, Sepanyol, di mana ramalan menunjukkan suhu boleh mencecah sehingga 43 darjah Celsius, menyaksikan penduduk tempatan dan pelancong menggunakan kipas tangan dan topi untuk melindungi diri daripada terik matahari.

Gelombang haba itu berlaku sejurus selepas beberapa rekod cuaca dipecahkan, termasuk rekod hari paling panas yang pernah dicatatkan di Eropah pada Mac, menurut pemantau iklim Kesatuan Eropah, Copernicus.

Menurut Copernicus dan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), Eropah telah mengalami kadar pemanasan kira-kira dua kali ganda lebih pantas berbanding purata global sejak 1980-an.

Saintis memberi amaran bahawa akibat pemanasan global, kejadian cuaca melampau seperti taufan, kemarau, banjir dan gelombang haba seperti hujung minggu ini, kini berlaku dengan lebih kerap lagi intensif.

Berdasarkan beberapa anggaran, 2024 yang kini direkodkan sebagai tahun paling panas dalam sejarah telah menyaksikan bencana global mengakibatkan kerugian melebihi AS$300 bilion (RM1.26 trilion). – AFP



APAKAH KITA

MASIH BELUM

SEDAR 

AMIN

 MALAPETAKA

MAKIN HAMPIR

SAMPAI

AMIN

UMAT MANUSIA 

AKAN MUSNAH

KERANA

 PERBUATAN

MANUSIA SENDIRI

KHALAS

Tiada ulasan: