Sabtu, 12 Januari 2013

ANAK MUDA SABAH BANGUN MELAWAN



 GABUNGAN NGO MENUNTUT HAK RAKYAT SABAH (GEGAR)

KENYATAAN MEDIA : 11 JANUARI 2012

UITM SABAH PERLU HENTIKAN INTIMIDASI TERHADAP MAHASISWA

Dalam keterbukaan Pihak polis dan Kerajaan Malaysia untuk menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman, Pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UITM) cawangan Sabah dilihat masih terkebelakang dalam memberikan ruang yang sama untuk penuntut di Universiti itu. 

Terbaru, pada 10 Januari 2013, pihak GEGAR mendapat maklum dua bilik mahasiswi UITM Sabah telah diserbu oleh 5 orang lelaki yang terdiri daripada 3 orang pegawai Universiti dan 2 orang Polis bantuan. Serbuan itu dipercayai dilakukan bagi mencari bukti keterlibatan mahasiswi tersebut dengan penganjuran Himpunan Sabah Bangkit pada 12 januari ini dan pengedaran risalah bertajuk  “Hak untuk Berhimpun” yang dimasukkan ke bawah setiap pintu bilik asrama UITM baru-baru ini.

KEJADIAN SATU :
Kejadian pertama berlaku pada jam 9.30 malam apabila 5 orang pegawai universiti menyerbu masuk ke bilik yang sedang diduduki oleh 4 orang mahasiswi. Semasa serbuan, keempat-empat mahasiswi tersebut sedang menyiapkan tugasan kuliah dan sangat terkejut apabila mendapati 5 orang lelaki sedang berada dihadapan pintu bilik mereka. Kelima-lima lelaki tersebut memasuki bilik mereka dan bertanyakan beberapa soalan. Antara soalan yang ditanya ialah, apakah kamu yang mengedarkan risalah baru-baru ini? Apakah kamu akan hadir ke perhimpunan pada sabtu ini?. Sebelum beredar, salah seorang daripada pegawai tersebut telah memberi amaran bahawa sekiranya mahasiswi berkenaan hadir ke perhimpunan Sabah Bangkit pada 12 Januari ini, mereka akan dibuang kolej.

KEJADIAN DUA :
Dalam kejadian kedua pula, Mahasiswi berkenaan memaklumkan serbuan tersebut berlaku pada jam 9.40 malam sewaktu beliau berseorangan dalam bilik dan sedang menyiapkan tugasan persatuan. Pintu bilik beliau diketuk dengan kuat dan beliau sangat terkejut apabila melihat 5 orang lelaki sedang menunggu dihadapan pintu bilik. Pegawai tersebut telah memeriksa buku dan fail untuk mencari bukti yang mereka kehendaki. Mereka juga cuba membuka almari pakaian namun dihalang oleh mahasiswi tersebut kerana disifatkan sebagai melanggar hak peribadi. Sebelum beredar, pegawai universiti itu mengatakan bahawa dalang disebalik pengedaran risalah itu ialah orang bukan Islam yang cuba menghasut warga UITM.  Akibat daripada serbuan ini, mahasiswi yang terlibat dikatakan berada dalam keadaan sedikit trauma kerana terkejut dengan tindakan pihak Universiti menghantar staff lelaki untuk membuat serbuan.

PANDANGAN PIHAK GEGAR :
Tindakan pihak pentadbiran UITM ini dilihat melanggari tiga hak asas yang dijamin dalam prinsip Hak Asasi Manusia Sejagat yang memberi peruntukan esklusif kepada setiap individu untuk bebas memberi pandangan, bebas berhimpun secara aman, dan hak untuk mendapat perlindungan privasi.Tindakan menyerbu bilik mahasiswi pada waktu malam tanpa sebarang notis pemberitahuan merupakan perbuatan tidak bertamadun dan tidak beretika. Biarpun pihak universiti mempunyai hak untuk memasuki  biliki seseorang mahasiswa tanpa notis mengikut Akta Institusi Pelajaran 1976, namun pihak Universiti sepatutnya mendahulukan budi bicara memandangkan tindakan yang dilakukan boleh mengganggu privasi mahasiswa yang sepatutnya dilindungi.

Pihak GEGAR juga menggesa pihak pentadbiran UITM Sabah menghayati transformasi politik yang cuba dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan. Biarpun ada kritikan terhadap transformasi tersebut, namun semangat untuk membuka ruang rakyat berpatisipasi dengan amalan demokrasi yang terbuka perlu dihayati. Tindakan terbaru pihak UITM Sabah ini juga bercanggah dengan semangat pindaan Auku 2012 yang membuka ruang untuk mahasiswa terlibat dengan aktiviti luar samada berunsur politik ataupun tidak.

SARANAN GEGAR :
Pihak GEGAR menyarankan agar pihak Kerajaan meneliti semula Akta UITM 173 dan Akta Institusi Pelajaran 174 yang mengandungi elemen kekangan untuk mahasiswa terlibat secara langsung dengan aktiviti demokrasi secara terbuka. Kedua undang-undang ini perlu mengalami rombakan atau dimansuhkan dan digantikan dengan undang-undang yang lebih bersifat progresif seiring dengan keterbukaan pihak kerajaan.

Pihak GEGAR juga menggesa pentadbiran UITM Sabah agar menghentikan sebarang intimidasi terhadap mahasiswa yang ingin terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh memberi pendidikan demokrasi terhadap mahasiswa itu sendiri. UITM Sabah sepatutnya mempercayai kemampuan mahasiswa untuk berfikir secara matang dalam menilai tindakan yang sepatutnya mereka lakukan demi masa depan Negara dan masa depan mereka secara aperibadi.

Sekian. Terima Kasih
Yang Benar.

HARIYADIE KARMIN
Kordinator GEGAR
Gabungan NGO menuntut hak rakyat Sabah (GEGAR)
014 – 875 0414 / 013 – 899 5744

--------

Tiada ulasan: