Khamis, 10 Disember 2015

PERANG DUNIA KETIGA AKAN SAMPAI







PERANG DUNIA AKAN SAMPAI

Dunia hari ini semakin kacau bilau. Di Malaysia - kita semua sedang menjadi saksi. Kita sedang melihat gambar mangsa ledakan, gambar mangsa keganasan, mangsa pelarian perang, mangsa pembunuhan, gambar kemusnahan. Imej  dan gambar-gambar muncul dari TV, dari YouTube, dari FaceBook. Gambar dan imej ini  sedang memaksa kita menjadi saksi.

Kita tidak ada pilihan. Kita warga dunia yang memiliki kesedaran dan sifat kemanusiaan  sedang menjadi saksi terhadap apa yang sedang berlaku dihadapan mata kita.

Perang sedang berjalan di Afghanistan, Pakistan, Iraq, Syria, Lebanon, Yemen, Somalia, Libya, Palestin, Kashmir dan Mali. Sila baca sekali lagi nama negara-negara yang saya tulis. Semuanya negara yang diduduki oleh penganut agama Islam. Sebahagian besar negara Arab.

Apa sebenarnya sedang berlaku? 

Saya membesar dizaman peralihan - ketika kuasa  British sedang melancarkan Perang Kolonial keatas  warga Tanah Melayu. Ini ketika Pasukan Pembebasan Rakyat Malaya sedang bermati-matian melawan kuasa penjajah British untuk membebas dan memerdekakan Tanah Melayu. Ini lebih dari lima puluh tahun dahulu.

Dari ingat-ingatan saya dizaman kanak-kanak ini - Perang Kolonial tahun 50’an dahulu tidak saperti apa yang sedang saya saksikan sekarang. Hari ini dengan bantuan teknoloji, dengan alatan perhubungan  yang canggih -  kamu, kita dan saya -  TIDAK dapat melarikan diri. Kita semua wajib menjadi saksi melihat kemusnahan dan kehancuran. Saya bandingkan Perang Kolonial menghalau British dahulu sama  saperti menghalau babi dengan lembing. Manakala perang hari ini sama saperti menyerang  semut dengan M16.

Maka kita akan bertanya. Apa sebenarnya sedang berlaku? Apa sebenarnya semua ini?

Secara jujur saya nyatakan disini bahawa apa yang saya tulis ini adalah hasil dari pembacaan, hasil dari pengamatan saya. Berita dan maklumat yang bersepah-sepah dalam internet saya kumpulkan untuk dijadikan satu peta  besar. Peta ini akhirnya menjadi satu penceritaan atau naratif induk. Cerita induk inilah yang kadangkala terlepas dari pandangan mata. Kita terlalai oleh kesah sampingan yang sengaja dipaparkan untuk mengkaburi  pandangan. 

Sebenarnya semua berita-berita ini kait mengait. Semuanya  ada hubung berhubung antara satu sama lain. Kita melihat berita ini  terpencar-pencar- bersepah-sepah disana sini - tetapi hakikatnya semua berita ini terpusat dalam satu naratif  induk.

Perang ialah lanjutan dari pebincangan yang telah gagal. Perang bertujuan untuk menundukkan satu kumpulan, satu wilayah, satu negeri atau satu bangsa. Perang bertujuan untuk menawan wilayah, untuk menawan hamba abdi, untuk mencari dan membuka pasaran, untuk merampas harta kekayaan, untuk memiliki bahan-bahan mentah. Hukum perang ini dari zaman berzaman TIDAK pernah berubah-ubah. 

Belanda dan Portugis datang  ke Alam Melayu  untuk menawan ladang dan pasaran rempah rampai. British datang untuk menawan damar, emas dan bijeh. Justeru, jika Iraq dan Libya hanya mengekspot petai dan budu sampai hari ini Saddam dan Gaddafy masih hidup.

Hakikatnya perang adalah perebutan punca-punca ekonomi. Selagi dunia memakai sistem ekonomi yang berimankan  keuntungan maka selagi itulah dunia akan berhadapan dengan bencana perang.

Pada 24 November 2015 yang lalu jet pejuang F-16 Turki telah menembak jatuh sebuah kapalterbang pengebom Sukhoi Su-24 milik Rusia. Turki anggota perjanjian persenjataan NATO yang dikepali oleh Amerika telah menuduh Rusia mencabuli ruang udara Turki. 

Pesawat Su-24 pada ketika  itu sedang mengebom ISIS. Presiden Vladimir Putin telah menafikan Rusia mencabuli ruang udara Turki. Putin telah menuduh  Presiden Turki Recep Tayyip Edorgan berbohong kerana Su-24 ini tidak melintasi sempadan Turki.

Sebelum ini pada  7 November pesawat udara Airbus A321 milik syarikat penerbangan Rusia telah meledak diudara. Seramai 224 warga Rusia termasuk anak kapal yang pulang dari bercuti di Mesir telah tewas. Bahan bukti telah menunjukkan pesawat ini telah dikhianati dengan bom jangka.

Kumpulan ISIS mengakui bahawa bom janga telah dipasang dalam pesawat  sebagai jawapan balas  kepada Rusia yang telah memulakan kempen mengebom pengkalan ISIS di Syria.

Untuk saya semua ini adalah awan mendung yang akan membawa perang yang lebih besar. Berita-berita  ini pada hemat saya adalah rintik-rintik perang yang akan meledak.

Semenjak meledaknya WTC 9/11 dunia kita telah  amat jauh berubah. Atas nama Perang Melawan Kegansan (PMK) banyak negara dalam dunia ini telah memperkenalkan hukum dan undang-udang  baru. Undang-undang ini semuanya dikatakan untuk PMK - untuk menjaga keselamatan rakyat.  

Nama dan bunyi undang-udang ini cukup molek. Di  Amerika ada Akta Patriot, Undang-Undang Keselamatan Tanah Air, di Malaysia kita ada Sosma, kita ada POCA, POTA dan paling terbaru MKN - Majlis Keselamatan Negara. Di UK,  Peranchis,  Australia, Itali malah semenjak 9/11 semakin galak negara memperkenalkan akta dan undang-undang baru atas nama keselamatan dan menumpas keganasan.

Pada hemat saya semua undang-undang yang diwujudkan atas nama keselamatan orang ramai, atas nama PMK dipelbagai negara sebagai satu persediaan untuk menghadapi perang yang lebih besar.

Perang yang sedang berlaku di Timur Tengah pada ketika ini  saya panggil Perang Tempatan. Ini kerana ianya berlaku disatu tempat atau wilayah. Perang Tempatan ini akan merebak dan memaksa  kita semua  berhadapan  dengan  kedatangan  Perang Dunia Ketiga. Awan mendung dan rintik-rintik ini adalah petanda perang dunia akan sampai bila-bila masa sahaja.

Warga dunia, terutama di Amerika Utara, Eropah  dan negara Nordic di Utara Eropah  memiliki gaya hidup bebas dan demokratik. Kebebasan ini sadikit demi sadikit sedang dilupuskan. Undang-undang, akta dan hukum hakam yang disedikan untuk PMK  sebenarnya sedang mengkontrol,   mengawal  warga dan orang ramai.

Hukum-hakam ini dikatakan akan memperkukuh demokrasi tetapi hakikatnya hukum-hukum ini bertentang dengan roh dan gaya hidup demokratik. Hukum hakam ini sedang melanggar hak asasi umat manusia yang paling asas : bebas dari ancaman perang- bebas dari ketakutan.
Kenapa warga perlu dikawal sekarang?

Jangan silap faham - elit politik dunia, elit ekonomi dunia, kaum pemodal antrabangsa dan tuan pemilik media dunia  telah lama sedar bahawa sistem ekonomi kapitalis yang sedia wujud hari ini telah sampai ke tahap amat-amat bahaya. Krisis  ekonomi yang melanda dunia  pada bulan September 2008 dahulu masih lagi belum dapat ditangani. Kini krisis baru akan muncul.

Dunia kapitalis sedang berhadapan dengan pelbagai krisis yang maha besar.

Pertama:menguncupnya ekonomi China yang selama dua dekad ini menjadi penjana ekonomi dunia. Permintaan bahan mentah dari China mengendur maka harga bahan bakar petrolium merundum. Kedua: Ekonomi  Amerika Serikat - ekonomi kapitalis terulung - sedang berhadapan dengan hutang yang bertimbun tambah. Ketiga: nilai dolar semakin susut. Dolar semakin tidak diyakini sebagai mata wang tukaran untuk jual beli. Keempat: Muncul pesaing baru dalam ekonomi dunia. Negara BRIC - Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan dan Iran - sedang menandingi kuasa imperial Amerika.

Mengikut fakta sejarah. Mengikut apa yang telah berlaku  dahulu. Mengikut hukum ekonomi kapitalis apabila sistem kapitalis dalam gawat jalan keluar ialah perang. 

Jelas kelihatan Perang Tempatan  di Timur Tengah pada ketika ini tidak akan menyelesaikan kekalutan sistem ekonomi kapitalis yang sedia ada. Perang Tempatan ini diwujudkan untuk mengolah persetujuan warga dunia bahawa bahaya hari ini bukan datang dari sistem ekonomi kapitalis tetapi dari Islam.

Ketika Perang Dingin antara  USSR dengan USA dahulu - yang menjadi musuh dunia ialah sistem ekonomi Sosialis dan Komunis dari blok China, Vietnam, Korea Utara, Rusia, Cuba dan Eropah Timur.  Sosialis dan Komunis telah digantikan dengan Islam. Agama  Islam sedang  dijadikan musuh utama rakyat dunia.  Secara terancang Islam diperlihatkan sebagai  pembawa keganasan. Islam digambarkan sebagai pembawa huru hara dalam dunia kita hari ini.

Apa yang berlaku sekarang ini  bukan datang dengan sendiri. Semua ini dirancang. Ada ahli fikir, ada kertas kerja, ada idealog,  ada lembaga  kumpulan pemikir yang kerja mereka hanya  berfikir, merancang dan melakar  stratiji untuk memastikan kuasa hegemoni Amerika Serikat dan sistem ekonomi kapitalis akan terus bekuasa.

Di Amerika ada lembaga saperti Rand Coporation,  Brooking Institution, American Enterprise Institute atau Council on Foreign Relation. Manakala di UK ada Chatham House, ada Center for Policy Study. Semua ini adalah lembaga-lembaga yang dianggotai oleh para pemikir pro kapitalis yang akidah  dan cita-cita mereka ialah untuk memastikan sistem kapitalis ini selamat.

Perang Tempatan yang sedang berlangsung sekarang kesemuanya berlaku dalam negara yang penduduknya penganut agama Islam.  Islam dipilih untuk menggantikan Sosialisma dan Komunis bukan secara tidak sengaja. 

Untuk sesebuah daulah terus berkuasa wajib ada musuh luaran agar rakyat dan pengundi akan terus dapat ditakut-takutkan. Islam sedang dijadikan  musuh dan ‘hantu’ untuk  terus menakut-nakut raktyat dunia. Orang ramai yang takut pasti akan mencari perlindungan. Perlindugan hanya datang dari kerajaan yang memiliki undang-undang dan hukum hakam saperti ISA, SOSMA atau Patriot Act.

Wajib saya nyatakan disini pada tahun 1992 Samuel P Huntington seorang ahli sains politik telah menulis  The Clash of Civilisation dalam majalah Foreign Affiars. Tulisan ini mengajukan bahawa  sesudah Perang Dingin tamat maka agama dan indentiti akan menjadi induk perbalahan. Artikel ini akhirnya menjadi sebuah buku dengan nama yang sama terbit pada tahun 1996.

Hari ini garis politik kanan - agama dan identiti  sedang menggantikan Perang Dingin. Islam sebagai musuh telah difikirkan seawal 1992 lagi. Saya cukup yakin pemikir-pemikir ini juga sedang merancang cara terbaik untuk menyelamatkan sistem ekonomi kapitalis yang sedag nazak ini. Perang Dunia Ketiga pasti dalam ajenda. (TT)




NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45



-----------------

4 ulasan:

Awanama berkata...

Perang ke x perang ke,2.6 bilion kena kebas..mungkin utk persediaan perang dgn Amerika. Kakakakaka

Awanama berkata...

Ada COMBAT balik...

Kira OK lah

Melayu Melayu ada can jadi macam VIC MORROW

Business KAIN KAPAN boleh dapat BILYON BILYON okay....

Jom pergi COMBAT

Nazrio berkata...

Payah sangat memahami
tuLisan TT....Lebih senang
ikut jer cakap rusma & najik
Atau mohyudeen & madey
Semua dah ada brim meLayu
Agong bahasa Dan kutty...
Aminnnn amennn...
MaLas membaca tunggu
Derma dari arabiya...

Awanama berkata...

dimalaysia pun menggunakan identiti agama dan identiti..pas mahukan identiti agama..umno mahukan identiti melayu. baru2 ni puteri umno pun menggunakan identiti agama " DIAN"- "Wartawan bukan Islam tidak dibenarkan membuat liputan untuk pelancaran skuad agama Puteri Umno, yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Unit itu, dinamakan "Daulatkan Islam Agama Negara" (DIAN), ditubuhkan untuk mempromosikan Islam kepada generasi muda." . Org2 agama pun main golf pakai duit org lain.tp barak obama dtg dengan beraninya tanpa ada cubitan samada dari pas atau umno.